Diterbitkan pada 1 Februari 2025, 09:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pada setiap tahun, tanggal 1 Februari hadir sebagai peringatan kepada perjalanan sebuah wilayah yang dibina atas harapan rakyat dan usaha tanpa henti. Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bukan sekadar titik di peta, tetapi denyutan nadi yang menggerakkan perjalanan sebuah negara.

Di celah-celah menara tinggi yang menjulang, jalan-jalan yang berdenyut dengan kesibukan dan lorong-lorong kecil yang menjadi saksi kehidupan seharian rakyat, semuanya melambangkan helaian kisah yang membentuk identiti sebuah kota. Daripada penjaja kecil kepada pemimpin korporat, setiap langkah yang menapak di tanah ini menjadi bukti perjuangan dan impian yang tidak pernah padam.

Dalam kesibukan mengejar kemajuan, apakah sebenarnya erti sebuah kota? Adakah sekadar tentang mercu tanda yang mempamerkan bangunan pencakar langit, pusat ekonomi atau pusat pentadbiran? Atau kota ini sebenarnya adalah tentang insan yang mengisinya, membina kehidupan dan mencorakkan peradaban?

Wilayah yang Didirikan dengan Cita-cita

Kuala Lumpur tidak dibina dalam tempoh sehari. Sejarahnya bermula sebagai sebuah penempatan kecil di pertemuan Sungai Gombak dan Sungai Klang yang berkembang sebagai pusat perlombongan bijih timah, sebelum berfungsi sebagai pusat perdagangan yang menarik pedagang dari seluruh dunia. Deretan kedai lama di Jalan Petaling, lorong-lorong sempit di Kampung Baru, dan bangunan kolonial di sekitar Dataran Merdeka semuanya menjadi bukti bahawa kota ini tidak pernah berhenti berkembang.

Putrajaya pula melabangkan sebuah impian yang kini menjadi nyata. Kota ini lahir daripada cita-cita sebuah negara yang mahu mengimbangi kemodenan dengan kelestarian tanpa mengorbankan nilai warisan yang menjadi akar peradaban. Setiap lengkungan gerbang, setiap kubah yang gah dan setiap ukiran yang menghiasi bangunan, membuktikan warisan budaya yang tidak mungkin akan dilupakan.

Labuan, sebuah pulau yang menyimpan jejak sejarah pula menyaksikan pertukaran kuasa, peperangan dan kebangkitan sebuah bangsa. Dari perairan yang pernah menjadi saksi pertarungan penjajah, kini muncul sebagai hab kewangan luar pesisir dan pintu gerbang perdagangan maritim. Di sebalik gedung-gedung moden dan pelabuhan yang sibuk, warisan maritim terus beroperasi tanpa henti. Perahu-perahu sang nelayan masih setia di persisir dengan menuturkan kisah laut yang tidak pernah terputus daripada nadi kehidupan.

Setiap wilayah ini mengukir naratif tersendiri, yakni terjalin dalam satu cita-cita yang sama dalam usaha membina kota yang menjulang tinggi tanpa kehilangan jiwa dan keasliannya. Kemajuan bukan sekadar diukur pada bangunan yang mencakar langit, namun pada makna yang meresapi di setiap jalan, setiap tasik yang membiru dan setiap insan yang memanggilnya rumah.

Menata Kehidupan dalam Kota yang Terus Berdenyut

Kehidupan di kota tidak hanya berkisar pada pekerjaan dan mencari rezeki, malah turut berbicara tentang kesejahteraan dan kemakmuran yang dinikmati oleh warganya. Pembangunan yang pesat tidak bermakna sekiranya rakyat tidak merasai manfaatnya.

Sebagai contoh, harga rumah yang terus melambung menjadi dilema bagi kebanyakan penduduk bandar. Menyedari akan hakikat ini, Program Residensi Wilayah memberikan sinar harapan kepada mereka yang ingin memiliki kediaman sendiri. Namun begitu, perancangan yang lebih menyeluruh diperlukan agar kota ini tidak sekadar menjadi persinggahan sementara, sebaliknya tanah yang membolehkan impian berakar dan berkembang.

Sistem pengangkutan awam yang semakin berkembang membuka lebih banyak ruang untuk rakyat bergerak dengan lancar. Sambungan pengangkutan awam seperti MRT, LRT dan Monorel bukan sekadar memudahkan perjalanan, malah turut membantu membentuk kota yang lebih teratur dan bebas daripada kesesakan.

Di Tengah-tengah hiruk-pikuk kota, kini masih tersisa ruang hijau yang menjadi tempat masyarakat kembali mencari damai. Taman KLCC merimbun di bawah bayangan Menara Berkembar; tasik Putrajaya beralun tenang dalam keheningan senja; sementara deretan pantai di Labuan terus menyimpan keindahan yang belum ternoda. Setiap sudut ini membuktikan bahawa kemajuan yang dikecap tidak semestinya menyesakkan, sebaliknya masih mampu memberikan ruang untuk kota terus bernafas dengan udara yang segar.

Walau bagaimanapun, kota ini tidak hanya berdenyut dengan pembangunan infrastruktur. Keberagaman kaum dan budaya yang menghuni wilayah ini juga menuntut keseimbangan sosial yang harmoni. Kuala Lumpur, sebagai ibu kota, menjadi simbol perpaduan dengan warung kecil Melayu, kedai kopi Cina dan restoran mamak India yang berdiri seiring. Semangat ini bukan sekadar slogan. kerana menonjolkan realiti yang terus mengukuhkan identiti Malaysia.

Wilayah Persekutuan: Sebuah Warisan yang Perlu Dipelihara

Wilayah ini bukan sekadar pusat pentadbiran atau nadi ekonomi. Setiap jalan yang dilalui, setiap bangunan yang menjulang dan setiap ruang yang dihuni membawa kisah yang tidak boleh dibiarkan luput begitu sahaja. Kota ini lahir daripada sejarah, membesar dengan kemajuan dan harus terus dipelihara dengan kesedaran bahawa nilai yang terbina di dalamnya tidak hanya berkisar tentang hari ini, tetapi turut menyentuh tentang masa depan yang diwariskan.

Usaha membangunkan sebuah kota menuntut lebih daripada sekadar menegakkan bangunan dan membina infrastruktur. Kuala Lumpur perlu terus menjadi pusat kemajuan tanpa kehilangan roh budaya yang telah membentuk jati dirinya. Putrajaya mesti kekal sebagai kota yang tersusun dengan perancangan yang berakar pada kesejahteraan. Labuan pula harus terus berkembang sebagai pelabuhan ekonomi yang memanfaatkan kedudukan strategiknya tanpa mengabaikan warisan maritim yang telah sekian lama menjadi nadi kehidupannya.

Wilayah Persekutuan bukan hanya ruang untuk membina masa depan, tetapi juga cerminan sebuah perjuangan masyarakat. Di sinilah pelbagai impian bertunas, peradaban terbina dan kehidupan berdenyut tanpa henti. Kota ini bukan dinilai hanya pada kemegahannya. Jiwanya terletak pada nadi yang berdenyut dengan harapan dan usaha setiap insan yang membinanya.

Penulis, berkelulusan Sarjana Sains Politik dan kini sedang mengikuti pengajian pada peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau merupakan pensyarah sambilan di Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE), Universiti Utara Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi