Diterbitkan pada 4 Februari 2025, 10:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dengan slogan “Buku Impian, Harga Idaman”, Jualan Gudang Mega Tahun 2025 (JGMT2025) yang diadakan di Kompleks Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Hulu Kelang menawarkan pelbagai judul buku dengan diskaun menarik.

Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) melalui satu sesi audio siar semalam memperkenalkan acara jualan gudang yang berlangsung selama seminggu bermula pada hari ini sehingga 11 Februari. 

Moderator sesi audio siar tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif ITBM, YBrs. Encik Sakri Abdullah, bersama-sama ahli panel Pengurus Besar Bahagian Pemasaran dan Pengedaran DBP, YBrs. Encik Saifudin Abu Bakar dan Presiden Pertubuhan Penulis Kuala Lumpur, YBrs. Profesor Ishak Hamzah berkongsi maklumat mengenai keistimewaan jualan gudang kali ini.

Menurut YBrs. Encik Saifudin, Jualan Gudang Mega 2025 menyaksikan kerjasama antara DBP dengan sembilan penerbit utama, termasuk ITBM, Ana Muslim, PTS Media Group, Rimbunan Ilmu, Manes Wordworks, Galeri Ilmu, Patriots Publishing, Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dan Iman Publication. 

“Jualan gudang kali ini yang turut melibatkan penerbit-penerbit lain merupakan satu peluang untuk DBP bekerjasama dengan mereka. Pada pandangan saya, jika sesuatu usaha dilaksanakan secara berjamaah atau kolektif, kesan positifnya lebih luas dan mencakupi seluruh lapisan masyarakat,” jelas beliau.

Sebanyak 4500 judul buku dipamerkan, dengan 3500 judul daripadanya disediakan oleh DBP. “Ini adalah peluang terbaik untuk peminat buku mendapatkan judul pilihan mereka dengan harga yang sangat berpatutan,” ujar beliau.

DBP menawarkan diskaun sehingga 50 peratus untuk buku terbitan 2019 dan sebelumnya, manakala buku terbitan tiga tahun kebelakangan ini diberikan diskaun sebanyak 30 peratus. Penerbit-penerbit lain turut menawarkan diskaun yang tidak kurang hebatnya, iaitu antara 15 hingga 90 peratus.

Menurut beliau, Ana Muslim memberikan potongan diskaun sebanyak 15-80 peratus; PTS Media Group Sdn Bhd (15-80 peratus); Rimbunan Ilmu Sdn Bhd (sehingga 80 peratus); ITBM (sehingga 90 peratus); Manes Wordworks (sehingga 50 peratus); Galeri Ilmu Sdn Bhd (sehingga 50 peratus); Patriots Publishing Sdn Bhd (sehingga 50 peratus); Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) (sehingga 50 peratus) dan Iman Publication (sehingga 40 peratus). 

Selain jualan buku, pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan sepanjang minggu ini. Antaranya termasuk sesi bersama-sama penulis, program Bicara Sastera dan aktiviti mewarna untuk kanak-kanak. “Jualan gudang ini bukan sekadar tempat membeli buku, tetapi juga ruang untuk masyarakat menikmati aktiviti berilmu dan berfaedah,” tambah YBrs. Encik Saifudin.

YBrs. Profesor Ishak Hamzah, turut menyuarakan rasa terima kasih kepada DBP kerana membuka ruang kerjasama dengan penerbit-penerbit lain. 

Beliau berkata acara seumpama ini amat penting bagi penerbit yang tidak mempunyai ruang atau sumber untuk menganjurkan jualan gudang sendiri. Dengan menggabungkan usaha, penerbit-penerbit buku dapat menawarkan lebih banyak judul dan diskaun yang lebih tinggi kepada pengunjung.

“Saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada DBP kerana telah berlapang hati untuk bekerjasama dengan industri dengan memberikan ruang kepada acara tahunan khusus bagi memasarkan produk berupa kandungan bercetak DBP dan berkongsi ruangan dengan penerbit-penerbit luar. Realitinya ada penerbit di luar sana tidak mampu membuat jualan gudang kerana tiada ruang di premis-premis operasi mereka,” ujar beliau.

YBrs. Profesor Ishak turut menekankan bahawa jualan gudang ini bukan sahaja menguntungkan pengunjung, malah turut membantu penerbit mengurangkan kos penyimpanan stok buku.

Jualan Gudang Mega 2025 beroperasi dari pukul 9:00 pagi hingga 9:00 malam pada hari biasa dan dari pukul 9:00 pagi hingga 7:00 malam pada hujung minggu.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi