Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Hazami Jahari, telah dianugerahkan Darjah Kebesaran Panglima Jasa Negara (P.J.N.) yang membawa gelaran “Datuk”.
Pengurniaan berprestij ini diperkenan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan rasmi baginda di Istana Negara, awal pagi tadi.
Pengurniaan itu merupakan satu pengiktirafan tertinggi kerajaan atas jasa dan sumbangan cemerlang beliau terhadap institusi yang diwakilinya.
Penghargaan ini juga diberikan khusus atas sumbangan dan komitmen beliau dalam usaha mempertingkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kerajaan yang cekap demi kesinambungan perkhidmatan awam yang cemerlang terutama dalam lapangan bahasa dan sastera tanah air.
YBhg. Datuk Dr. Hazami Jahari, merupakan seorang tokoh yang mempunyai pengalaman yang sangat luas dalam bidang bahasa dan sastera. Beliau mula berkhidmat di DBP pada tahun 1992 dan sepanjang lebih 30 tahun, beliau telah membuktikan dedikasi yang tinggi dalam usaha mengangkat dan memartabatkan bahasa kebangsaan melalui pelbagai program pembinaan, pengembangan serta penerbitan.
Beliau memiliki latar belakang akademik yang kukuh dalam bidang kepakarannya, antaranya termasuklah:
Sebelum diberikan kepercayaan menerajui DBP sebagai Ketua Pengarah, beliau menyandang pelbagai portfolio kepimpinan penting, antaranya termasuklah:
Atas komitmen dan usaha cemerlang beliau, YBhg. Datuk Dr. Hazami Jahari telah dianugerahkan beberapa pingat kebesaran, antaranya termasuklah:
Sejak menerajui kepimpinan DBP, YBhg. Datuk Dr. Hazami Jahari telah membuktikan kewibawaannya menerusi pelbagai transformasi dan pencapaian program berimpak tinggi, yang merangkumi agenda nasional mahupun jaringan antarabangsa.
Antara sumbangan utama beliau termasuklah pemerkasaan program Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK), Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) dan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK).
Menerusi program tersebut, beliau menggiatkan pelbagai program dan agenda pembudayaan membaca negara secara inklusif dan holistik menerusi pendekatan rentas sektor yang melibatkan peringkat sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT), sektor awam, sektor swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Bagi mengukur kecekapan penggunaan bahasa Melayu sebenar penutur, di bawah pimpinan beliau, DBP berjaya membawa dokumen rujukan Kerangka Standard Bahasa Melayu (KSBM) pada peringkat yang lebih tinggi sehingga diluluskan oleh Jemaah Menteri.
Selain melaksanakan Program Munsyi Dewan (Munsyi Bahasa, Munsyi Sastera, dan Munsyi Jawi) serta membantu Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dalam program Munsyi Muda, DBP turut menggerakkan program Munsyi Siswa dan Munsyi Remaja. Usaha ini bertujuan untuk melahirkan duta dan pembimbing bahasa dalam kalangan pelajar institusi pendidikan tinggi serta sekolah menengah.
Sejajar dengan usaha DBP untuk memperkembang bakat sastera dalam bahasa kebangsaan, beliau komited menggiatkan semula penganugerahan sastera pada peringkat negeri seluruh Malaysia. Pada masa yang sama, agenda pengantarabangsaan bahasa, sastera dan penerbitan terus diperkasakan pada peringkat global, termasuklah di China dan Rusia.
Bagi memperkukuh penerbitan buku berbahasa Melayu, penganjuran seminar buku, majalah, dan media berbahasa Melayu turut dipergiat. Langkah ini penting bagi memastikan karya yang diterbitkan terus berkembang serta mencakupi pelbagai bidang ilmu, selaras dengan peranan DBP sebagai badan penerbitan utama di Malaysia. Selain itu, agenda pendigitalan bahan penerbitan dan perkamusan terus dilestarikan menerusi inisiatif seperti pembangunan portal Kamus Dewan Perdana.
Bagi memastikan DBP terus unggul sebagai institusi bahasa dan gedung ilmu, beliau turut menerajui usaha pemberian geran penyelidikan kepada pihak luar pada tahun ini. Geran ini bertujuan untuk menyokong penyelidikan yang menyumbang kepada pembangunan, pengembangan dan pemerkasaan bahasa serta persuratan Melayu, selaras dengan peranan DBP sebagai institusi peneraju dalam perancangan bahasa kebangsaan.
Di samping tanggungjawab hakiki di DBP, beliau juga aktif menyumbang kepakaran korporat dan akademik sebagai Ahli Lembaga Pengarah, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Berhad (ITBM), Profesor Adjung, Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Profesor Adjung, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kedah.
Pengurniaan gelaran “Datuk” kepada YBhg. Datuk Dr. Hazami Jahari ini melambangkan manifestasi dan penanda aras tertinggi terhadap usaha DBP dalam memastikan bahasa kebangsaan dan ranah sastera tanah air terus relevan serta mekar pada peringkat nasional mahupun antarabangsa.