Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan Program Bicara Buku yang memperkenalkan dua judul baharu dalam Siri Bicara Perundangan, iaitu Mahligai Pasir: Krisis Kewangan Punca Perceraian dan Malnutrisi di Malaysia. Program ini berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 pada petang tadi.
Program ini yang dikendalikan oleh Bahagian Buku Umum telah menampilkan YBrs. Profesor Madya Dr. Mohamed Helmi Md. Said sebagai pembicara. Beliau ialah penulis bagi kedua-dua buku, manakala buku Malnutrisi di Malaysia turut dihasilkan bersama-sama dengan YBrs. Puan Rabiatul Nur Hidayati Jalaludin Helmi.
Semasa berbicara tentang buku Mahligai Pasir: Krisis Kewangan Punca Perceraian, Dr. Helmi menjelaskan bahawa krisis kewangan merupakan antara faktor utama yang boleh menggugat keharmonian rumah tangga sekiranya tidak diurus dengan baik sejak sebelum perkahwinan.
Menurut perkongsian beliau berdasarkan buku tersebut, pasangan yang bakal berkahwin perlu bersikap telus mengenai kedudukan kewangan masing-masing termasuklah komitmen hutang seperti kad kredit dan pinjaman pendidikan.
“Pasangan perlu mendedahkan status kewangan dan komitmen hutang masing-masing supaya perancangan kewangan dapat dibuat secara bersama-sama. Selain itu, komunikasi yang baik dan perbincangan mengenai belanjawan keluarga yang berteraskan keperluan asas juga amat penting,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya pasangan mewujudkan sistem pengurusan kewangan yang tersusun, sama ada melalui akaun sendiri atau akaun bersama bagi tujuan simpanan kecemasan dan perbelanjaan keluarga.

Mengulas persepsi bahawa buku tersebut menggalakkan perceraian, Dr. Helmi menegaskan bahawa perceraian yang dibincangkan dalam buku berkenaan merupakan jalan terakhir atau remedi apabila segala usaha gagal mencapai perdamaian.
“Buku ini bukan menggalakkan perceraian, sebaliknya menekankan aspek tanggungjawab, khususnya apabila berlaku pengabaian nafkah dan kegagalan melaksanakan kewajipan terhadap keluarga,” jelasnya.
Kata beliau lagi, buku itu turut mengupas kedudukan undang-undang berkaitan dengan perceraian yang berpunca daripada masalah kewangan, khususnya dalam kalangan masyarakat yang bukan beragama Islam. Menurut beliau, golongan tersebut masih berdepan dengan kekangan dari sudut peruntukan undang-undang yang khusus di mahkamah sivil berbanding dengan peruntukan undang-undang di mahkamah syariah yang dilihat lebih komprehensif.
Sementara itu, semasa membincangkan buku Malnutrisi di Malaysia, Dr. Helmi menjelaskan bahawa malnutrisi bukan sahaja merujuk kekurangan nutrisi, tetapi turut melibatkan lebihan nutrisi (overnutrition) yang boleh menjejaskan kesihatan seseorang.
Berdasarkan takrifan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), beliau menjelaskan bahawa malnutrisi merangkumi kekurangan, lebihan atau ketidakseimbangan nutrisi dan pengambilan kalori.
Antara isu utama yang diketengahkan dalam buku tersebut termasuklah kelompongan undang-undang bertulis di Malaysia berkaitan dengan malnutrisi. Menurutnya, tiada sebarang akta khusus yang memaktubkan definisi atau peruntukan yang berkaitan dengan malnutrisi.
“Ketiadaan kerangka perundangan yang komprehensif menyebabkan isu malnutrisi sukar diklasifikasikan secara muktamad dari sudut undang-undang. Hal ini menimbulkan cabaran kepada badan kehakiman,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa banyak kes berkaitan dengan malnutrisi telah diputuskan di mahkamah, namun kebanyakannya menggunakan peruntukan undang-undang yang sedia ada kerana tiada akta khusus yang digubal untuk menangani isu tersebut.

Dalam sesi tersebut, Dr. Helmi turut mengupas konsep perbuatan (commission) dan peninggalan (omission) dalam undang-undang jenayah, iaitu Kanun Keseksaan yang boleh dikaitkan dengan kes-kes malnutrisi. Beliau menjelaskan bahawa keadaan ini boleh berlaku apabila seseorang yang mempunyai tanggungjawab undang-undang seperti ibu bapa, anak atau majikan, gagal menyediakan makanan dan penjagaan yang sewajarnya sehingga menyebabkan kemudaratan atau kematian.
Beliau turut berkongsi hasil kajian perbandingan dengan India yang mempunyai undang-undang khusus berkaitan dengan malnutrisi melalui National Food Security Act (NFSA) 2013. Menurut beliau, Malaysia boleh menjadikan undang-undang tersebut sebagai contoh rujukan terbaik dalam usaha memperkukuh kerangka perundangan negara.
Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan penggubalan akta khusus berkaitan dengan malnutrisi dengan menyediakan definisi yang jelas dan mengklasifikasikan kesalahan yang berkaitan dengan isu tersebut.
Selain itu, beliau turut mengesyorkan agar pemeriksaan dan penilaian risiko malnutrisi dilaksanakan secara mandatori dan berkala terhadap murid sekolah rendah dan sekolah menengah bagi memastikan masalah kekurangan atau lebihan nutrisi dapat dikesan lebih awal.
Mengakhiri sesi bicara, Dr. Helmi berharap agar kedua-dua buku tersebut dapat dimanfaatkan sebagai bahan rujukan oleh pelajar universiti, pengamal undang-undang, penyelidik serta masyarakat umum kerana kandungannya mengupas tentang pelbagai kelompangan dan cabaran semasa dalam sistem perundangan Malaysia.
Pada masa ini, kedua-dua judul buku tersebut boleh didapati di seksyen buku pelancaran DBP dengan harga istimewa bersempena dengan PBAKL 2026.