Oleh H.R. Hafiz
Diterbitkan pada 21 Februari 2025, 11:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pada zaman perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) ini, masyarakat turut berevolusi sehingga menyebabkan kemunculan budaya hidup baharu. Fenomena ini tercetus kerana masyarakat terutamanya generasi muda pada ketika ini sudah berfikiran terbuka, sekali gus menjadikan kedatangan budaya luar tidak lagi dianggap janggal dan mudah diterima di negara ini. Tidak dapat dinafikan bahawa kedatangan budaya baharu ini boleh memberikan pengaruh yang positif dan negatif bergantung pada situasi, misalnya budaya pemburuan kafe atau dikenali sebagai cafe hunting yang semakin menjadi ikutan golongan belia.

Terlebih dahulu, kita perlu memahami maksud budaya pemburuan kafe sebelum mengupas dengan lebih lanjut mengenai faedah serta kemudaratannya yang tidak disedari oleh kebanyakan orang. Budaya pemburuan kafe bermula daripada gelombang populariti kopi yang asalnya sekadar minuman harian atau minuman untuk “berjaga malam” kepada satu bentuk apresiasi seni dan gaya hidup (Mohd Faizuddin Muhammad Zuki dan Razinda Tasnim Abdul Rahim, 2025).

Kebanyakan sajian kopi tidak lagi hanya tertumpu di restoran mewah disebabkan boleh didapati di kafe jalanan yang terdapat di mana-mana kini bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Kafe ini bukan sahaja menyajikan hidangan kopi, bahkan turut menggabungkan rasa, estetika serta nilai kebudayaan yang tersendiri.

Selain itu, kafe juga telah ditempatkan di pelbagai lokasi yang menarik selain di kawasan bandar, iaitu di sekitar rumah kampung, kedai lama, tepian pantai dan di tengah hutan. Keunikan ini telah berjaya membentuk kehidupan yang menyeronokkan buat masyarakat yang selalu dibelenggu dengan cabaran hidup melalui kunjungan ke kafe yang menyajikan kopi beraroma serta persekitaran yang mendamaikan, seterusnya menyumbang kepada perkembangan budaya pemburuan kafe.

Di samping itu, generasi muda juga mengembangkan budaya ini melalui kegiatan promosi di platform media sosial mereka seperti Instagram dan Tiktok. Dengan kemajuan media sosial, platform tersebut menjadi wadah utama mereka untuk berkongsi pengalaman manis mereka melalui hantaran gambar makanan, minuman dan suasana kafe yang mampu menambat hati pemerhati. Perkara ini turut didorong oleh kewujudan budaya healing atau pemulihan diri daripada masalah kehidupan yang sering dicanang oleh generasi muda pada masa kini. Fenomena ini sedikit sebanyak telah merubah gaya hidup yang lebih terbuka dalam menghargai nilai seni dan estetika mengikut minat masing-masing. Maka itu, budaya pemburuan kafe mendapat sambutan walaupun kafe ini telah beroperasi sekian lama sebelum kewujudan budaya tersebut.

Melalui sejarah perkembangan budaya pemburuan kafe ini, dapatlah kita menyedari bahawa budaya ini didominasi oleh penggemar kopi. Peningkatan bilangan penggemar kopi berlaku atas faktor kesedaran masyarakat terhadap kebaikan pengambilan kopi dari sudut kesihatan apabila diminum pada tahap yang terkawal. Kajian oleh Ribeiro et al., (2022) menunjukkan bahawa minuman kopi merupakan ejen yang bermanfaat untuk pelbagai penyakit termasuklah kemurungan, diabetes, penyakit kardiovaskular dan obesiti.

Misalnya, biji kopi yang kaya dengan kandungan kafein, antioksidan dan sebatian fenolik boleh memodulasi komposisi mikrobiota usus dan mengurangkan keradangan serta tekanan oksidatif yang merupakan ciri-ciri biasa yang terdapat pada seseorang apabila dibebani dengan tekanan hidup. Walau bagaimanapun, pengambilan kopi perlulah seimbang dan tidak berlebihan kerana khasiat kopi sebenar boleh bertukar kepada kemudaratan sekiranya tidak dikawal dengan sebaik-baiknya. Tambahan lagi, golongan penggemar kopi ini suka mengunjungi variasi kafe untuk merasai sendiri pengalaman penyediaan kopi yang berbeza-beza dari segi rasa dan cara hidangan. Perkara ini melahirkan nilai penghargaan yang sangat tinggi kepada sang pembuat kopi untuk berkarya dalam hidangan mereka.

Namun begitu, berdasarkan pemerhatian dan analisis penulis sendiri, terdapat keburukan dari segi perkembangan budaya mengunjungi kafe ini. Satu daripadanya ialah masalah kafe yang indah khabar daripada rupa dipromosikan atau ditularkan melalui media sosial. Masalah ini merangkumi kualiti makanan, minuman serta perkhidmatan yang ditawarkan. Perkara ini sememangnya pernah dilalui oleh sebilangan besar warga maya yang terjerumus dalam perangkap tersebut. Meskipun begitu, kafe ini masih lagi dipenuhi dengan pelanggan yang barangkali mempunyai tujuan lain semasa berkunjung, iaitu menjadikan kafe sebagai tempat perjumpaan yang selesa bersama-sama dengan rakan sehingga menyebabkan kekurangan kafe itu tidak lagi menjadi isu.

Sebagai kesimpulannya, budaya pemburuan kafe ini berjaya merubah gaya hidup masyarakat terutamanya generasi muda ke arah menghargai nilai keseniaan serta estetika dalam hidangan makanan dan minuman. Pada masa yang sama, budaya ini mampu membuang tanggapan buruk terhadap aktiviti melepak yang kini dikira sebagai aktiviti yang membuka minda serta mengeratkan hubungan silaturahim sesama manusia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi