Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSejak beberapa tahun kebelakangan ini, industri Kecerdasan Buatan (AI) telah menjadi sebuah industri yang berkembang dengan pesat. Amerika Syarikat (AS) menjadi peneraju utama dalam bidang ini dengan didominasi oleh syarikat gergasi seperti Open AI, Google, Microsoft, Meta dan beberapa lagi syarikat lain. Dominasi ini seakan-akan tiada tentangan, yakni menyebelahi satu pihak sahaja tanpa tentangan daripada negara kuasa dunia yang lain.
Situasi ini tiba-tiba berubah apabila pada 20 Januari 2025, DeepSeek melancarkan large language model (LLM) mereka yang pertama, iaitu dikenali sebagai R1. Model ini didakwa mampu untuk mengatasi perisian yang sedia ada seperti ChatGPT dan Gemini dalam beberapa aspek. Kemunculan DeepSeek sebagai sebuah syarikat bukan ternama yang mampu bersaing dengan syarikat gergasi lain di AS telah menarik perhatian masyarakat dunia.
Antara beberapa perkara yang menarik perhatian ialah pengasas syarikat ini, Liang Wenfeng, 40 tahun merupakan graduan dari Universiti Zhejiang. Sebelum ini, beliau telah mengasaskan syarikat dana lindung nilai (hedge fund company) yang dinamakan High Flyer. Syarikat ini ditubuhkan pada Julai 2023, menggunakan AI dalam membuat keputusan pelaburan dan melihat corak-corak yang mungkin terlepas pandang oleh para pelabur.
Pelbagai media massa di seluruh dunia melaporkan tentang DeepSeek yang dikatakan sebagai satu pencapaian teknologi yang telah mengejutkan AS. Kenyataan ini mempunyai kebenarannya kerana berdasarkan senarai aplikasi yang paling banyak dimuat turun di Play Store and Apps Store, DeepSeek menduduki tangga pertama dengan mengatasi ChatGPT yang berada di tangga kedua. Selain itu, saham untuk beberapa syarikat AI di AS seperti Nvidia (syarikat pembuatan cip terkemuka di AS) turut mengalami kerugian disebabkan tindak balas berlebihan para pelabur dalam industri berkenaan.
Apabila menelusuri sejarah peradaban dunia, pertelingkahan geopolitik antara Amerika-China bukanlah sesuatu yang baharu. Hal ini telah berlangsung untuk satu tempoh yang agak lama dan kini memasuki satu era baharu dengan persaingan dalam bidang AI. Naratif ini seperti mana syarikat-syarikat terdahulu yang mendapat sokongan Kerajaan China (CCP) seperti teknologi 5G, Huawei, panel solar, kereta berkuasa elektrik dan lain-lain lagi, bertujuan untuk menunjukkan bahawa China merupakan kuasa dunia yang boleh bersaing dan mampu mengatasi penguasaan AS. Persepsi bahawa Barat akan tumbang, Timur akan naik merupakan slogan yang sering dilaung-laungkan oleh Presiden China, Xi Jinping. Kata-kata ini bukan ditujukan kepada AS sebagai seteru utama mereka, namun sebagai satu perlambangan persaingan sihat secara umum.
Disebabkan sistem kapitalis yang berkonsepkan komunis yang diamalkan di China sejak beberapa dekad terdahulu, iaitu lebih menjurus kepada rejim pemerintahan autoritarian (perintah dari atas ke bawah), telah menunjukkan bahawa kerajaan pusat akan menetapkan sasaran dan matlamat. Hal ini bermakna semua wilayah, perbandaran, anggota masyarakat akan berusaha bersama-sama untuk mencapai matlamat yang telah digariskan tersebut. Dengan ini, dana dan sumber dapat diperuntukkan dengan lebih berkesan, sekali gus mengelakkan pembaziran sumber.
Makalah ini bukanlah bertujuan untuk memperkecil kejayaan China dalam membina perisian yang boleh berdiri sama tinggi dengan mana-mana syarikat gergasi USA telah lama bertapak dalam industri AI ini. Penulisan ini sekadar menyuarakan sedikit desas-desus yang berlegar dalam kalangan masyarakat mengenai kelangsungan dan keberkesanan perisian DeepSeek ini dalam jangka masa yang panjang.
Khabar angin yang mengatakan bahawa DeepSeek ini merupakan versi cetak rompak ChatGPT yang berkualiti rendah lantang kedengaran dalam kalangan mereka yang anti-CCP (kerajaan China). OpenAI dalam kenyataan mereka menuduh DeepSeek menggunakan model mereka untuk melatih DeepSeek, selain dipercayai wujudnya isu pelanggaran etika penggunaan, namun terpulang kepada OpenAI untuk menyatakan perincian mengenai perkara yang dimaksudkan dengan pelanggaran etika penggunaan dalam konteks ini.
Sama seperti produk-produk terdahulu, elemen kenegaraan disuntik dan diselitkan bersama, menyebabkan situasi yang berlaku digembar-gemburkan secara berlebih-lebihan yang pada akhirnya akan dilupakan. Selain itu, disebabkan perisian ini terikat kepada CCP yang berpangkalan di Beijing, maka sekatan untuk mendapatkan maklumat-maklumat yang sensitif seperti kejadian yang berlaku semasa pembersihan etnik Uighyur di Xinjiang. Penulis sendiri telah mengambil peluang untuk mencuba sendiri perisian DeepSeek dan bertanyakan beberapa soalan yang agak sensitif dan seperti yang dijangka, DeepSeek tidak dapat memberikan jawapan kepada soalan berikut.
Persaingan dalam bidang AI ini sebenarnya tidak seimbang, dengan US mengenakan sekatan ekonomi dari segi tarif, menyebabkan keupayaan untuk membeli cip-cip berkualiti tinggi dan lain-lain lagi memberikan kesan kepada perkembangan industri ini kepada China. Namun begitu, dalam berhadapan dengan semua kekurangan ini, hal tersebut tidak menjadikan China patah semangat dan menyebabkan mereka berusaha dengan gigih sehingga mampu berdiri di atas kaki sendiri.
Keadaan yang sama turut dibuktikan dalam industri angkasa lepas, walaupun angkasawan dari China tidak dibenarkan untuk mendarat Pusat Angkasa Antarabangsa (ISS) seperti negara-negara pemula yang lain. Larangan ini berkuat kuasa sejak tahun 2011 dengan menjadikan alasan keselamatan negara sehingga menyebabkan tindakan tersebut diambil. Walau bagaimanapun, hal tersebut tidak menjadi batu penghalang kerana terus menjadi faktor pendorong kepada China untuk membina pusat angkasa mereka sendiri yang dinamakan Pusat Angkasa Tiangong (Heavenly Palace).
Persaingan ini dipercayai tidak akan berakhir dengan kedua-dua buah negara cuba untuk mengatasi antara satu sama lain. Dari satu pihak, ada “polis dunia” yang mempunyai sejarah sebagai antara negara merdeka yang mencapai kemerdekaan dalam peradaban manusia, manakala dari satu sudut lain,negara yang diasaskan dengan konsep komunis, mempunyai sumber tenaga manusia yang ramai, poket yang tebal, iaitu perlahan-lahan meluaskan pengaruh mereka di negara dunia ketiga terutamanya di benua Asia Tenggara. Persaingan ini akan berterusan berkemungkinan besar dengan meneroka bidang baharu selepas ini dalam perlumbaan kedua-dua negara untuk terus mendominasi dunia.