Diterbitkan pada 12 Mac 2025, 08:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sesetengah orang menyangka bahawa menjadi penyampai radio itu adalah mudah. Dengan hanya berbekalkan suara lunak, pandai berceloteh dan melawak, seseorang individu boleh menjadi penyampai. Kemungkinan dengan menjadi pengacara lagu (DJ) di kelab malam atau disko adalah lebih mudah kerana di situ, pengunjung tiada masa untuk menyemak aspek fakta dan bahasa. Pengunjung di situ tidak peduli fakta yang betul atau salah.  Mereka ke disko hanya untuk berhibur dan menari.

Memang benar DJ hanya bekerja di disko dan bukannya di stesen radio. Stesen radio mempunyai juruhebah, penyampai, penyiar dan peneraju. Sekiranya terdapat penyampai radio yang menganggap mereka ialah DJ, maka sudah sampai masanya mereka menyedari bahawa tugas hakiki mereka adalah untuk menyampaikan maklumat sambil berhibur, bukan berhibur sambil berceloteh dan melontar kata-kata lawak yang hanya mampu menggeletek hati mereka sahaja. Sekiranya perkara asas tersebut juga tidak difahami, bagaimanakah seseorang penyampai dapat melaksanakan tugas sebagai penyiar dengan baik?

Seorang penyiar tidak seharusnya memandang remeh terhadap tahap pendidikan dan pengetahuan pendengar. Mereka bukan hadir untuk mendengar celoteh hambar dan lawak yang membosankan. Mereka mencari hiburan dan maklumat berguna dan bukan cakap kosong yang tidak mempunyai sebarang makna. Kuasa berada di tangan pendengar. Mereka boleh terus bersabar dengan omongan kosong atau menukar saluran, jika mereka mahu.

Kriteria Pemilihan Penyampai Radio

Penulis tidak berminat untuk mengulas tingkah laku penyampai di sebuah stesen radio swasta baru-baru ini. Perbincangan tentang hal tersebut tidak akan menyelesaikan masalah.  Biarlah penguat kuasa undang-undang menjalankan siasatan mengikut akta sedia ada. Setakat ini, penulis hanya boleh menyatakan bahawa perkara tersebut merupakan akibat sekiranya pengurusan stesen penyiaran tidak mengambil berat urusan pengambilan kakitangan terutamanya penyampai yang berhubung dengan pendengar di udara.

Sebagai mantan penyiar radio, penulis berpendirian bahawa pengambilan calon penyampai mestilah berdasarkan kriteria profesional dan bukan berdasarkan populariti. Personaliti hiburan atau pempengaruh yang tidak mempunyai asas kemahiran bersiaran di udara tidak mungkin mampu melakukan tugas tersebut dengan berkesan.

Kemahiran bersiaran boleh diperoleh daripada pelbagai pengalaman peribadi, termasuklah kemahiran pengucapan awam selain perlu mempunyai kemahiran mengawal fikiran, tingkah laku dan kata-kata.

Dalam bidang kerjaya sebagai penyiar, tahap pengetahuan terhadap akta dan undang-undang yang mengawal industri penyiaran haruslah menjadi panduan dalam melaksanakan tugas. Pengurusan stesen bertanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan peruntukan dalam akta berkenaan difahami oleh setiap petugas di bawah seliaannya. Hanya dengan amalan perkhidmatan mengikut peraturan standard akan melahirkan penyampai yang beretika, berintegriti dan profesional. Penulis ingin berkongsi kriteria pemilihan penyampai berdasarkan pengalaman peribadi selama empat dasawarsa dalam industri media.

Kemahiran Berkomunikasi yang Baik

Untuk menjadi penyampai radio yang berjaya, perkara utama yang perlu dimiliki ialah kemahiran berkomunikasi. Penyampai radio seharusnya mampu berkomunikasi dengan jelas dan menarik. Mereka harus berbicara dengan lancar dan menggunakan bahasa yang betul tetapi mudah difahami.

Ramai yang beranggapan bahawa penyampai radio mesti memiliki suara yang lunak. Dalam konteks suara, “lunak” ialah kata sifat yang subjektif dan tidak mudah diberikan definisinya. “Lunak” pada seseorang mungkin sebaliknya pada seorang yang lain. Perkara tersebut adalah bergantung pada penilaian individu. Sesetengah individu lebih menggemari suara yang garau dan ada pula yang menggemari suara yang lembut.

Dalam industri penyiaran radio, kebanyakan penyampai diingati bukan disebabkan oleh kelunakan suara tetapi kerana keunikannya. Terdapat penyampai yang mempunyai suara yang tidak “sedap” tetapi lunak didengar kerana ucapan yang teratur, jelas dan menenangkan jiwa individu yang mendengarnya. Suatu ketika dahulu, seorang penyampai yang menggunakan nama samaran Fly Guy dilaporkan menjadi penyampai pertama menerima pendapatan RM1 juta setahun di sebuah stesen radio milik Astro. Penulis kerap mengikuti program yang dikendalikannya dan bersetuju bahawa beliau tidak mempunyai suara yang lunak. Namun begitu, beliau mampu memikat pendengar dengan gaya penyampaian yang berjaya meyakinkan mereka.

Dalam hal ini, penulis tidak ingin membuat perbandingan, namun carilah kembali berita lama mengenai juruhebah atau penyampai bersuara lunak seperti Noramin, Zainaldin Zainal, Ngasri Sain, Zazmie Zain, Noraini Ibnu, Constance Haslam, Amelia Teh, Patrick Teoh, George Abraham, Alan Zachariah (sekadar menyebut beberapa nama) dan bandingkan dengan penyampai generasi terkini.  Hayati perbezaannya dan anda akan memahami maksud yang ingin penulis sampaikan.

Kemahiran Menulis Skrip

Bukan semua penyampai mahir menulis skrip. Perkara ini merupakan kelemahan yang perlu diatasi oleh seorang penyampai. Mengapakah seseorang penyampai perlu mahir menulis? Penyampai hanya menyampaikan maklumat melalui percakapan, dan mengapakah mereka perlu mahir menulis? Persoalan ini tidak seharusnya wujud pada seorang penyampai.

Barangkali perkara ini juga merupakan kesilapan pengurusan stesen. Sikap pengurusan stesen yang melantik penyampai dalam kalangan orang seni yang tidak mempunyai kemahiran menulis mungkin melahirkan penyampai yang mempunyai ciri-ciri rancu dan perosak bahasa. Akhirnya mereka akan menjadi perosak budaya dan penghancur bangsa. Peristiwa yang berlaku baru-baru ini menjadi bukti bahawa pelantikan penyampai atau penyiar mesti dilakukan secara profesional, bukan secara tangkap muat.

Penulisan skrip radio bukanlah suatu perkara yang rumit. Penulisan dan penyampaian radio menggunakan konsep yang disebut sebagai bahasa percakapan. Caranya begitu mudah, iaitu dengan menulis perkara yang ingin diujarkan. Teknik penulisan skrip begini mesti mengikut gaya percakapan seseorang penyampai asalkan tidak merancukan bahasa.

Tulislah menggunakan laras ejaan yang betul kerana ejaan akan mempengaruhi sebutan.  Sekiranya anda mengeja perkataan “gembeling”, maka begitulah akan disebut tanpa mengetahui bahawa ejaan dan sebutan itu adalah salah.  Dalam konteks ini, seseorang harus peka dengan mengeja dan menyebut perkataan “gembleng” dengan betul. Penyampai harus tahu membezakan ejaan “hujan reda” (e pepet) dan “saya reda” (e taling) untuk memastikan anda mengetahui cara yang betul untuk menyebut perkataan “reda” mengikut konteksnya. Dalam hal ini, tidak perlu bimbang jika anda tidak mengetahui format penulisan skrip kerana skrip radio berfungsi sebagai panduan dan rujukan jika sesuatu pertikaian timbul mengenai kandungan program yang dilakukan.

Ketahui Audiens Anda   

Pemahaman mengenai audiens atau pendengar sangat penting bagi memastikan mesej siaran sampai kepada golongan sasaran yang tepat. Seseorang penyampai seharusnya mengetahui siapa pendengar anda dan memahami gaya hidup dan cita rasa mereka. Gunakanlah bahasa yang difahami oleh pendengar dan bercakaplah tentang perkara yang wujud dalam kamus hidup mereka. Kesemua perkara ini merupakan kunci bagi menyampaikan kandungan yang relevan dengan minat, kehendak dan keperluan mereka.

Merujuk insiden yang menyentuh sensitiviti kaum Hindu baru-baru ini, terdapat kemungkinan bahawa penyampai terbabit tidak menyedari bahawa siaran mereka diikuti oleh pendengar daripada pelbagai kaum dan agama. Hal ini mungkin mendorong mereka melakukan perkara demikian sebagai gurauan tanpa menyedari bahawa gurauan tersebut melanggar batasan dan menyentuh sensitiviti audiens.

Kecekapan dan Fleksibiliti

Penyampai radio perlu bijak menyesuaikan diri dengan perubahan keadaan. Pelbagai perkara boleh berlaku semasa sesi temu bual secara langsung dalam konti, perbualan langsung melalui platform dalam talian atau komen dalam media sosial ketika bersiaran. Jika penyampai kedengaran seperti memerlukan bantuan untuk mengendalikan sesuatu kejadian luar jangka, penerbit harus menangani keadaan dengan segera, seperti memutuskan talian atau pelbagai alternatif lain, asalkan kejadian tidak menjadi lebih buruk dan tidak dapat dikawal.

Dalam hal ini, perkara paling asas yang perlu diambil kira ialah kembali kepada peraturan dalam prosedur operasi standard (SOP). SOP mesti menjadi pegangan setiap penyiar sama ada penerbit atau penyampai. Segala urusan siaran daripada pemilihan tajuk perbincangan dan tetamu mesti mematuhi peraturan tertentu. Skrip dan senarai soalan perlu disemak oleh pegawai tertinggi bagi memastikan tiada isu sensitif terbit daripada perbincangan. Oleh itu, penyampai perlu menguasai aspek penulisan skrip daripada pemilihan tajuk, kandungan skrip dan senarai soalan dan tidak seharusnya berharap pada orang lain untuk menulis skrip tersebut.

Kemahiran Kreatif dan Inovatif

Asas kemahiran kreatif dan inovatif adalah wajib bagi sesiapa sahaja yang terlibat dalam industri kreatif. Penyampai radio seharusnya mampu menghasilkan idea yang kreatif dan inovatif bagi memastikan program mereka mempunyai kelainan. Dalam dunia media yang dibanjiri oleh pelbagai bentuk konsep, tugasan dalam menarik minat audiens menjadi sangat mencabar.

Tiada tempat bagi konsep omong kosong dan lawak slapstik dalam ekosistem penyiaran zaman moden. “Lawak sendiri, ketawa sendiri” bukan formula terbaik untuk program yang disasarkan kepada pendengar generasi terkini.  Pendengar di luar bandar juga mempunyai cita rasa yang sukar dijangka. Dalam situasi sebegini, hanya penyampai yang kreatif dan inovatif sahaja yang mampu bertahan.

 Melengkapkan Diri dengan Pengetahuan Am

Sekiranya ditanya kepada mana-mana penyampai, apakah panggilan untuk mata wang negara? Penulis pasti, jika ada yang menjawab “Ringgit”, penyampai tersebut pasti seorang penyampai berita atau pernah menyampaikan berita sepanjang kerjayanya. Kebanyakan penyampai program hiburan pasti akan menyebut “Ringgit Malaysia” kerana frasa tersebut merupakan sebutan lazim bagi mereka yang tidak mengetahui frasa atau istilah sebenar.

Memang tidak mudah untuk menjadi penyampai yang baik. Kelunakan suara dan mahir berkomunikasi sahaja tidak mencukupi untuk berjaya dalam bidang penyiaran. Penyampai perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan am dan ilmu lain jika ingin menjadi penyampai yang cemerlang.

Kini, segala maklumat berada di hujung jari. Penyampai seharusnya perlu aktif dalam mencari maklumat terkini sama ada berita semasa, trend industri dan isu-isu terkini. Gunakanlah maklumat tersebut terutamanya dalam perbincangan secara langsung yang tidak memungkinkan kita berfikir bagi mencari jawapan segera.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi