Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKetika serangan terbaharu tentera rejim Israel di Gaza menyebabkan sekurang-kurangnya 404 orang di Palestin terkorban dan mencederakan ratusan lagi, termasuklah enam orang petugas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Yaman kembali bergolak menerusi tindakan unilateral Amerika Syarikat-United Kingdom (AS-UK) dengan alasan menghukum pejuang Houthi kerana menyerang kapal dagang di Laut Merah susulan perang Hamas-Israel sejak 7 Oktober 2023.
Serangan tanpa perbincangan atau pelaksanaan melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu dianggap bertentangan prinsip asas terkandung dalam Piagam PBB yang mengutamakan penyelesaian aman dan kerjasama antarabangsa, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keabsahan dan moraliti tindakan itu.
Mengikut Piagam PBB, khususnya dalam Bab VII, sebarang tindakan ketenteraan di luar negara mesti diluluskan Majlis Keselamatan PBB kecuali dalam keadaan mempertahankan diri secara sah. Dalam kes ini, serangan AS-UK ke atas Houthi dilakukan tanpa mendapat sebarang resolusi atau keputusan badan antarabangsa itu
Dalam kekalutan itu, sejumlah 1,200 orang rakyat Malaysia yang menetap di Yaman, khususnya pelajar yang menyambung pengajian di negara itu berada dalam keadaan selamat.
Setiausaha Agung Persatuan Pelajar Malaysia Yaman (PERMAYA), Muhammad Syakir Mahazir, kebanyakan penduduk negara tersebut menetap di bahagian selatan Yaman,iaitu di Hadramaut, manakala konflik itu pula berlaku di utara negara berkenaan.Beliau berkata, hanya satu keluarga sahaja yang berada di utara Yaman, manakala sebanyak 20 keluarga lagi pula berada di Aden.
Serangan ini diopercayai akan mencetuskan semula dinamik konflik serantau apabila Yaman muncul sebagai pemain utama dalam perubahan keseimbangan kuasa.
Ketika Sanaa meneruskan sekatan tentera lautnya ke atas kapal yang menuju ke Israel sebagai tindak balas kepada larangan bantuan ke atas Gaza, AS dengan pantas campur tangan untuk melindungi sekutunya dengan melancarkan serangan udara berskala besar merentasi beberapa buah daerah di Yaman sehingga menyebabkan ratusan penduduk terkorban.
Tidak lama selepas itu, Yaman menggerakkan serangan balas apabila angkatan bersenjatanya melaksanakan operasi ketenteraan peringkat tinggi dengan menyasarkan kapal pengangkut pesawat AS USS Harry S.Truman dan kapal tentera laut yang mengiringinya di Laut Merah – peningkatan yang menandakan permulaan fasa baharu konfrontasi antara Yaman dengan kuasa besar, iaitu AS dan Britain.
Walau bagaimanapun, kesan daripada serangan ini tidak terbatas kepada wilayah maritim kerana di Yaman sendiri, pertempuran untuk persaingan pengaruh antara Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) kelihatan semakin sengit.
Dalam hal ini, usaha mengawal wilayah timur bermakna menjamin laluan perdagangan global yang penting merentasi Laut Merah dan Selat Bab al-Mandab sambil mewujudkan koridor minyak alternatif yang memintas Selat Hormuz. Ini menjadikan rantau ini pentas persaingan sengit antara kuasa serantau dan antarabangsa.
Berikutan serangan AS dan Britain itu, perjuangan lama untuk mendapatkan pengaruh telah kembali menyala. Sementara Arab Saudi telah meluaskan kehadirannya di Al-Mahra dan Hadhramaut dengan mengerahkan militan Salafi ke kawasan yang kaya dengan minyak, manakala UAE pula telah meningkatkan cengkamannya di pulau Socotra yang penting secara strategik, dan dilaporkan telah dibuka kepada tentera Israel dalam kerjasama perisikan.
Sejak permulaan perang ke atas Yaman pada 2015, UAE telah berusaha untuk mengenakan kawalan ke atas Socotra, yang sering digambarkan sebagai “permata Lautan Hindi.” Socotra terletak di pertemuan Laut Arab dan Tanduk Afrika, yakni terletak berhampiran laluan maritim penting yang menghubungkan Bab al-Mandab dan Selat Hormuz – kawasan yang dikenali sebagai “segi tiga emas”.
Pada mulanya, kehadiran Abu Dhabi di pulau itu dirangka sebagai usaha bantuan kemanusiaan, namun kini berubah menjadi objektif perluasan demografi dan ketenteraan.
UAE telah cuba memajak Socotra selama 99 tahun, membeli tanah strategik, menguasai rizab pelancongnya dan menubuhkan pasukan separa tentera yang setia dikenali sebagai Socotra Elite. UAE juga telah melancarkan projek perkhidmatan seperti mendirikan Hospital Khalifa Bin Zayed dan rangkaian telekom Emirati untuk membiasakan aktiviti di pulau itu.
Dalam hubungan ini, perkembangan di Socotra berkaitan rapat dengan peristiwa di Al-Mahra dan Hadhramaut, kerana semuanya merupakan sebahagian dari wilayah timur Yaman.
Jika diperhatikan kedua-dua Arab Saudi dan UAE bersaing dalam menguasai wilayah-wilayah Yaman. Riyadh menguasai Wadi Hadhramaut dengan tujuan untuk mengawal Al-Mahra, manakala Abu Dhabi mengawal pantai Hadhramaut dan Socotra. Kedua-duanya telah mewujudkan militia yang setia untuk menggantikan tentera negara dan pasukan keselamatan Yaman demi kepentingan strategik mereka.”
Di samping itu, Riyadh mengukuhkan pengaruhnya di Al-Mahra dengan mengerahkan pasukan tentera kononnya dikenali sebagai operasi membanteras penyeludupan. Situasi ini telah mengukuhkan kehadirannya yang turut membina pangkalan tentera, menganggotai ketua puak tempatan, serta menyokong kumpulan pelampau Salafi yang sejajar dengan kepentingan ideologi dan strategiknya.Hal ini telah menyebabkan ketegangan yang meningkat dengan masyarakat tempatan yang menentang ketenteraan kerajaan di sana.
Protes meluas telah meletus menentang kehadiran ketenteraan Arab Saudi di Al-Mahra. Pada masa yang sama, Socotra menyaksikan pergolakan yang semakin meningkat dengan penduduk mengecam apa yang mereka sifatkan sebagai “pendudukan” Emirat.
Bantahan itu berlaku selepas dokumen yang bocor mendedahkan bahawa Menteri Pengangkutan dalam kerajaan Ahmad Awad Mubarak bersetuju untuk menyerahkan Lapangan Terbang Antarabangsa Socotra kepada Syarikat Induk Segitiga Timur UAE berdasarkan perjanjian rahsia yang ditandatangani antara wakil UAE Khalfan al-Mazrouei dengan Gabenor Socotra Raafat al-Thaqali, yang memegang kewarganegaraan Emirat.Perjanjian ini mengikuti perjanjian sebelumnya yang menjual sebahagian tanah lapangan terbang kepada firma Emirati.
Selain mengawal lapangan terbang, UAE telah meluaskan cengkamannya merentasi pelbagai sektor. Dalam kerjasama dengan Israel, hal tersebut telah mengubah struktur demografi Socotra dalam menjalankan operasi perisikan dan memperhebatkan kehadiran tenteranya.
Menurut laporan antarabangsa, tokoh perisikan, seperti Salem bin Ali al-Shuwaihi sedang bersiap sedia untuk membuka sebuah masjid Emirat di pulau itu.Amir al-Socotri, seorang penyelidik kedoktoran dalam bidang undang-undang, menambah bahawa walaupun AS tidak mempunyai pangkalan tetap di Socotra, pasukan tentera lautnya beroperasi di kawasan berdekatan, memastikan laluan laut dipantau untuk kepentingannya sendiri.
Walaupun tiada “kehadiran rasmi Israel” di Socotra, laporan mengesahkan perisikan dan kerjasama ketenteraan antara Israel dan UAE wujud di kawasan tersebut secara tidak rasmi, termasuklah kemudahan pengawasan dan pemantauan di pulau strategik itu.
Dalam kancah perebutan kuasa dalam kalangan aktor serantau dan hubungan semakin akrab negara Teluk Parsi dengan Israel, wilayah timur Yaman kekal diselubungi ketidakstabilan.
Dengan konflik yang semakin meruncing terutama dengan perkembangan terkini di rantau tersebut terutamanya apabila Presiden baharu AS, Donald Trump sedang menuju ke arah konfrontasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini di kedua-dua kawasan lautan dan koridor perdagangan strategik.
Peningkatan ini mungkin menandakan sebuah permulaan anjakan geopolitik yang mendalam dan boleh mentakrifkan semula dinamik kuasa di rantau berikutan kesan global yang semakin meluas.