Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTatkala berbaki beberapa hari sahaja lagi sebelum berakhirnya bulan Ramadan, masyarakat Melayu beragama Islam sudah mula melakukan persiapan menyambut hari kemenangan, iaitu Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi. Kebiasaannya, persiapan tersebut menjadi rutin tahunan kerana merupakan satu daripada perayaan yang terbesar di Malaysia disebabkan majoriti penduduk di negara kita yang beragama Islam.
Warga maya juga tidak akan melepaskan peluang ini untuk berkongsikan saat-saat manis sebelum dan semasa menjelang lebaran serta menzahirkan ucapan maaf sesama rakan dan taulan. Namun begitu, satu darpada perkara yang ditunggu-tunggu oleh segenap lapisan masyarakat khususnya pencinta lagu tema pastinya momen berkumandangnya lagu-lagu raya yang mampu menaikkan lagi semangat lebaran di segenap medium seperti televisyen, radio dan media sosial.
Walaubagaimanapun, seiring dengan peredaran zaman, lagu-lagu raya telah berevolusi dengan rentak serta irama yang sedap didengar, namun terdapat juga seleksi lagu yang kurang enak didengar, malah mencetuskan perdebatan dalam kalangan masyarakat terhadap tujuan penciptaannya sehingga dilabel sebagai lagu “sampah” atau picisan.
Lagu raya bermula dengan mengikut peredaran zaman dan dibahagikan kepada beberapa era. Lagu raya pertama yang telah direkodkan dan dirakamkan di Tanah Melayu adalah sekitar tahun 1936, iaitu Selamat Hari Raya. Lagu tersebut telah dinyanyikan oleh Allayarhamah Aminah Nani, seorang penyanyi bangsawan terkenal pada suatu ketika dahulu yang juga dikenali sebagi Miss Aminah. Lagu tersebut dihasilkan oleh Tengku Alibasha dan Che Ara Bangsawan.
Selepas itu, muncul pula lagu-lagu raya pada tahun 1940-an hingga 1960-an yang banyak dipengaruhi oleh muzik Keroncong, Ghazal dan Irama Melayu Asli seperti lagu-lagu raya klasik yang dinyanyikan oleh Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Allahyarhamah Puan Sri Saloma, Allahyarham Datuk Ahmad Jais, Junainah M. Amin dan yang seangkatan dengannya.
Seterusnya, era 1970-an hingga 1990-an dapat digelarkan sebagai zaman kegemilangan lagu raya bersifat sentimental. Perkara ini menyaksikan pengaruh genre muzik pop meresap masuk dalam penghasilan lagu-lagu raya pada era tersebut. Lagu-lagu raya ini lebih mengangkat tema yang cukup dekat dengan persekitaran serta jiwa masyarakat seperti tema perantauan, kerinduan kampung halaman, keinsafan serta tema kekeluargaan. Dalam hal ini, gubahan serta penghasilan lagu raya ciptaan daripada maestro lagenda tanah air, Allahyarham Datuk Hashim Said atau lebih dikenali sebagai S. Atan masih menjadi pilihan halwa telinga pendengar serta “wajib” diputarkan setiap kali menjelang Syawal.
Antara lagu-lagu raya yang terkenal ciptaan beliau adalah seperti Menjelang Hari Raya dendangan oleh Datuk DJ Dave; Dari Jauh Ku Pohon Maaf oleh Allahyarham Datuk Sudirman Arshad; Cahaya Aidilfitri dinyanyikan oleh Black Dog Bone; Salam Aidilfitri oleh Datuk Jamal Abdillah; Hari Mulia nyanyian oleh Datuk Sheila Majid dan Indah Beraya Di Desa yang didendangkan oleh Azlina Aziz. Tidak juga dilupakan lagu ciptaan Dato’ M. Nasir, iaitu Satu Hari di Hari Raya yang mampu menaikkan roh pada pagi Syawal itu sendiri buat sesiapa sahaja yang mendengarnya.
Era 2000-an hingga kini dapat digelarkan zaman evolusi lagu raya moden. Hal ini dikatakan demikian kerana naskah tersebut semakin bereksperimen dengan genre pop, R&B, hip-hop dan Electronic Dance Music (EDM). Eksperimen ini telah membawa irama dan lirik yang lebih santai serta ceria berbanding dengan lagu raya era sebelum ini.
Lagu raya seperti Sesuci Lebaran nyanyian Biduanita Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza; Bila Hari Raya Menjelma oleh Dato’ Ac Mizal & Dato’ M Nasir serta Raya, Raya, Raya oleh kumpulan DOLLA sudah cukup memaparkan evolusi tersebut. Evolusi ini dilihat sebagai perkembangan positif dalam penerbitan lagu raya kerana membuka lembaran baharu dalam minda masyarakat dalam menyambut ketibaan Syawal sepatutnya disahut dengan penuh kegembiran serta keseronokan, yakni dalam meraikan kemenangan berbanding dengan kesedihan atau menimbulkan elemen penyesalan.
Akan tetapi, berbalik pada pokok perbincangan, iaitu evolusi penerbitan lagu raya, maka lahirlah beberapa naskah lagu raya yang dianggap sebagai karya “sampah” oleh masyarakat. Menurut maestro terkenal tanah air, Dato’ (Dr.) M. Nasir, pemilihan lagu raya berentak moden dengan catchy (menangkap) bukanlah satu kesalahan tetapi apabila dihayati, hal tersebut mencerminkan kekurangan dari segi melodi. Tambah beliau, lagu-lagu baharu tersebut memang berjaya menarik perhatian disebabkan ada sedikit bahagian catchy serta seni kata yang menarik dan ringkas, tetapi lagu-lagu sebegini bersifat kurang malar segar dan mungkin mampu bertahan seketika sahaja.
Perkembangan naskhah ini bukan sahaja dilihat sudah berkurangan, malah kini kelihatan semakin bertambah walaupun ditegur oleh warga maya dalam media sosial mahupun ahli-ahli yang berada dalam lapangan muzik itu sendiri. Penulis percaya segelintir pengkarya atau penyanyi yang terlibat dalam penghasilan karya tersebut melihat perkara tersebut daripada aspek keuntungan dan publisiti semata-mata dan bukannya ke arah meningkat mutu atau kualiti naskhah lagu raya yang dihasilkan.
Fenomena ini dapat dilihat tatkala lagu-lagu tersebut berkumandang dan menjadi sohor kini, penyanyi tersebut akan menjadi bualan ramai terutamanya apabila melibatkan perdebatan dalam media sosial. Kita tidak dapat menolak mana-mana pengkarya untuk menghasilkan lagu raya mengikut citra masing-masing kerana seni itu tidak terbatas serta bersifat bebas. Meskipun begitu, lagu raya wajarlah dihormati dari segi elemen tertentu dan nilai estetikanya serta perlu dihasilkan dengan sebaik mungkin kerana lagu bertema mempunyai prestij yang tersendiri yang amat dekat dengan kehidupan masyarakat.
Segelintir pencipta lagu dan lirik tidak boleh semborono menolak nilai prestij tersebut semata-mata ingin mewujudkan elemen tular demi kepentingan sendiri dan keuntungan peribadi semata-mata. Kita berharap kontroversi kemunculan lagu raya yang dilabel sebagai “sampah” dan tidak bermutu ini tidak menjadi suatu acara tahunan yang perlu dihadam oleh masyarakat khususnya peminat tegar lagu raya di negara ini.