Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini memaklumkan bahawa keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024 akan diumumkan pada Khamis, 24 April 2025.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan, sebanyak 402,956 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM Tahun 2024 yang dilaksanakan di 3337 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Calon sekolah boleh mendapatkan keputusan mereka daripada sekolah masing-masing mulai pukul 10.00 pagi pada tarikh tersebut. Sementara itu, bagi calon persendirian, keputusan peperiksaan akan dihantar melalui pos atau calon boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat mereka mendaftar untuk menduduki peperiksaan.
KPM turut menegaskan bahawa pihak sekolah perlu memastikan pengurusan penyerahan keputusan peperiksaan SPM kepada calon dilaksanakan secara cekap dan teratur.
Selain itu, calon juga boleh membuat semakan keputusan melalui dua kaedah lain, iaitu secara dalam talian dan sistem pesanan ringkas (SMS). Semakan dalam talian boleh dibuat melalui pautan myresultspm.moe.gov.my bermula pukul 10.00 pagi pada 24 April hingga 6.00 petang, 30 April 2025.
Manakala semakan menerusi SMS boleh dibuat dengan menaip SPM(Nombor Kad Pengenalan)(Angka Giliran) dan menghantar ke 15888. Perkhidmatan ini turut diaktifkan dalam tempoh yang sama, iaitu dari 24 hingga 30 April 2025, bermula jam 10.00 pagi hingga 6.00 petang.
KPM merakamkan ucapan tahniah kepada semua calon yang telah menduduki peperiksaan SPM Tahun 2024 dan berharap kejayaan yang diraih akan menjadi pemangkin kepada kecemerlangan pada masa hadapan.