Diterbitkan pada 17 April 2025, 19:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pada ketika ini, masyarakat dunia terkejut dan keliru apabila menyaksikan pentadbiran Trump merombak dan membongkar hampir setiap institusi di negara itu. Mungkin antara kita berasa ngeri apabila melihat kerajaan Amerika Syarikat (AS) pada saat ini bersedia untuk berurusan dengan rejim lain seperti Rusia dan bersedia untuk membuat perjanjian dengan kerajaan yang suatu ketika dahulu dianggap sebagai tidak demokratik sama sekali.

Namun begitu, bagi masyarakat yang hidup di negara membangun, sikap angkuh AS terhadap negara yang lebih lemah dan miskin di dunia bukanlah perkara baharu. Sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua, AS telah melakukan apa-apa sahaja untuk berkembang dan menjadi satu-satunya kuasa hegemoni di dunia.

Sepanjang era Perang Dingin, AS melayan musuhnya dengan kasar, manakala sekutunya juga jarang-jarang dilayan dengan baik. Sama ada musuh atau teman, semua pemimpin politik AS, yakni Demokrat atau Republikan telah mengedepankan agenda dan kepentingan AS sendiri kerana negara lain dianggap sebagai alat yang dapat digunakan untuk mencapai cita-cita hegemoni AS itu.

Setakat ini, diketahui umum bahawa AS telah menyokong banyak rejim yang tidak demokratik di Asia dan Afrika apabila mereka itu selari dengan kepentingannya. Usaha mereka untuk mempromosikan demokrasi dan hak asasi manusia jelas kelihatan selektif.

Sejak tahun 1990-an, kehadiran tentera AS di seluruh dunia semakin menjadi-jadi, yakni lebih daripada sebelumnya, iaitu bermula dari Perang Teluk, kejatuhan Syria dan Libya hinggalah ke pencerobohan Afghanistan serta kehadiran AS di luar negara ditonjolkan melalui tindakan pencerobohan dan tidak pernah menonjolkan sikap positif menerusi dialog yang damai.

Karya Joseph J. Ellis menjawab persoalan tentang “belang” sebenar Amerika Syarikat sejak dahulu lagi.

Dalam hal ini, perlu diingatkan bahawa ketika AS mula-mula wujud, bapa pengasasnya tidak pernah membayangkan (atau mahu) negara mereka menjadi kuasa hegemoni global. Buku Joseph J. Ellis Founding Brothers: The Revolutionary Generation (New York: Knopf-Random House, 2000) adalah sebuah tulisan yang sangat berharga yang patut dibaca semula bagi menggambarkan situasi yang berlaku.

Terdapat banyak karya sejarah yang telah menceritakan tentang proses kelahiran AS, tetapi perkara yang menjadikan karya Ellis istimewa ialah beliau menekankan unsur-unsur peluang (chance) dan kontingensi dalam proses pembinaan negara AS. Dia mengingatkan pembacanya bahawa AS boleh menjadi apa-apa sahaja dan mampu mengembangkan diri mereka menjadi pelbagai jenis negara. Pada saat kelahiran negara itu, tidak ada pelan tindakan atau rancangan untuk mencorakkan hala tuju negara itu.

Dalam buku tersebut, Ellis membahaskan konsep dan model negara yang ingin dibina oleh mereka dan hakikat bahawa mereka lebih mengetahui perkara yang mereka tidak mahu, yakni mereka sedar bahawa sebagai sebuah negara yang baru dibentuk oleh pengalaman penjajahan mereka sendiri serta mereka juga pernah dijajah oleh Britain. Begitu mendalam perasaan dendam dan keinginan AS untuk mewujudkan suatu yang berbeza, bahkan mereka pernah mempertikaikan sama ada bahasa Inggeris patut dijadikan bahasa rasmi negara mereka. Pada satu ketika, beberapa orang pemimpin baharu juga mencadangkan bahawa bahasa Yunani sepatutnya menjadi bahasa rasmi negara, kerana mengikut model demokrasi Athens.

Pada peringkat awal, AS bukan sahaja merupakan negara yang tidak mempunyai pusat kuasa politik, tidak mempunyai identiti bersama, tidak mempunyai budaya bersama, malah juga tidak mempunyai ibu negara. Keputusan untuk membina ibu negara baharu di Washington DC mencerminkan hasrat bersama mereka untuk melahirkan sesuatu yang baharu.

Yang menariknya, Ellis menunjukkan bahawa bapa pengasas (founding fathers) AS tidak ingin negara mereka menjadi satu kuasa imperial-kolonial kerana mereka telah menderita di bawah penjajahan British sendiri. Memori penjajahan itu telah menguatkan kepercayaan mereka bahawa semua negara mempunyai hak untuk kebebasan dan berhak untuk menentu nasib mereka sendiri. Ironinya dalam situasi ini, kerana negara yang berusaha untuk menegakkan hak demokrasi dan kebebasan untuk semua telah dibina di atas tanah yang ditakluki dan dirampas daripada orang peribumi Amerika, dan industrinya adalah berdasarkan ekonomi perhambaan yang menyaksikan ratusan ribu orang hamba yang dibawa dari Afrika tidak diberikan status warganegara.

Tulisan Ellis menunjukkan kepada kita bahawa AS sebenarnya merupakan sebuah negara yang mempunyai paradoks dan percanggahan dalaman yang mendalam dan percanggahan ini kekal hingga ke hari ini. Buku ini menjelaskan secara terperinci jenis perdebatan dan perbincangan yang berlaku sepanjang dekad pertama kelahiran AS, iaitu daripada sistem politik kepada dasar ekonominya dan dasar pendidikannya diperdebatkan berulang kali oleh generasi nasionalis pascakolonial yang ingin negara mereka membentuk identitinya sendiri, yakni berbeza daripada negara-negara Eropah.

Sambil kita menyaksikan drama politik yang sedang berlaku di AS pada masa ini dengan hampir semua undang-undang dan pindaan utama, institusi dan badan kerajaan yang dirobek-robek oleh pentadbiran Trump, kita harus bertanya, iaitu apakah sebenarnya yang berlaku kepada Amerika Syarikat pada hari ini? Adakah negara itu mengalami satu lagi krisis identiti yang mendalam atau adakah ini satu rampasan kuasa pada peringkat tertinggi telah berlaku dan negara itu yang sebenarnya sedang ditumbangkan dari dalam?

Dekad yang akan datang mungkin menyaksikan kehancuran AS di pentas dunia dan pengurangan pengaruh hegemoni mereka. AS tidak lagi boleh mengatakan bahawa mereka merupakan mercu tanda kebebasan demokrasi atau penganjur hak asasi sedunia. Walau bagaimanapun, kuasa AS juga tidak mungkin hilang dalam sekelip mata dan hubungan luar negara dengan seluruh dunia masih jauh daripada berakhir.

Dalam konteks yang rumit sebegini, buku Ellis lebih relevan dan penting untuk kita memahami tentang situasi yang berlaku kepada negara itu. Nilai karya Ellis terletak pada hakikat bahawa dia mengingatkan kita bahawa kemajuan sejarah (historical progression) tidak semestinya berlangsung dalam proses yang kemas. Jalur sejarah jarang-jarang sekali mengikut garis yang lurus. Jika kita melihat AS seperti sebuah negara yang kucar-kacir dan bercelaru pada hari ini, karya Ellis turut mengingatkan kita bahawa kekacauan itu telah wujud sejak awal lagi.

Profesor Dr. Badrol Hisham Ahmad Noor (Farish A. Noor), sejarawan yang telah menulis tentang sejarah Asia tenggara pada abad ke-19. Kini beliau bertugas sebagai Profesor di Universitas Islam Internasional Indonesia, Jakarta.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi