Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKajang – Dalam usaha meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan pelajar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum dengan kerjasama Persatuan Pendidik Profesional Bahasa Malaysia (PROBM) telah menganjurkan Program Jelajah Bahasa Sekolah Rendah di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sungai Chua pada Selasa lalu.
Sebanyak 400 orang pelajar tahap satu di sekolah tersebut telah menyertai wacana “Kuasai Bahasa Kebangsaan Kita” yang menjadi sebahagian daripada pengisian dalam program ini.
Wacana yang memberikan pendedahan kepada para pelajar berkaitan dengan teknik mengarang dan kemahiran berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan itu telah disampaikan oleh Pengerusi PROBM, YBrs. Dr. Soo Kok Mun.
Pegawai Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum DBP, YBrs. Puan Azlin Asmuni dalam ucapannya berkata bahawa sesi perkongsian ilmu berkenaan diyakini mampu membantu pelajar untuk memahami dan menyampaikan mesej dengan jelas, tepat dan menarik.
Hal ini dikatakan demikian kerana pemilihan kata yang tepat, struktur ayat yang jelas dan gaya bahasa yang sesuai akan membantu meningkatkan kebolehan mengarang dan berkomunikasi pelajar dalam bahasa Melayu secara berkesan.
Menurut beliau lagi, pelajar akan dapat meningkatkan kemahiran berfikir, menulis dan membaca, serta keyakinan pada diri sendiri apabila mereka dapat berkomunikasi dengan baik.

“Dengan menguasai kemahiran berkomunikasi dan teknik mengarang yang baik, perkara tersebut akan memberikan impak yang besar dalam perkembangan intelektual dan sosial murid,” katanya.
“Perkara ini bukan sahaja dapat membantu pelajar dalam pembelajaran di sekolah, tetapi juga dapat memudahkan mereka dalam urusan kehidupan seharian,” ujarnya lagi.
Pada masa yang sama, Guru Penolong Kanan Pentadbiran dan Kokurikulum, SJKC Sungai Chua, YBrs. Puan Siow Kim Thaie turut menerima sumbangan buku terbitan DBP yang telah disampaikan oleh YBrs. Puan Azlin Asmuni.

Sementara itu, objektif penganjuran Program Jelajah Bahasa Sekolah Rendah adalah untuk memantapkan dan mengembangkan bahasa serta persuratan Melayu melalui bahasa kebangsaan dalam kalangan murid.
Selain itu, program yang juga mendapat kerjasama daripada PROBM merupakan inisiatif mewujudkan rasa cinta dan bangga akan bahasa dan sastera kebangsaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, selain memperkukuh perpaduan bangsa menerusi kegiatan bahasa dan sastera.