Diterbitkan pada 30 April 2025, 10:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Lawatan dan Persahabatan

Presiden Republik Rakyat China, Xi Jinping telah melawat Malaysia pada 15 hingga 17 April 2025 yang lalu untuk mengadakan pertemuan dua mata bersama-sama dengan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-17, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar dan Perdana Menteri Malaysia ke-10, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Dalam pertemuan ini, kedua-dua negara bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama yang merentasi pelbagai bidang.

Malaysia dan China telah menjadi sahabat baik sejak beribu-ribu tahun dahulu. Hubungan diplomatik ini mula terjalin pada tahun 1974 dan dilihat kian kukuh dari semasa ke semasa. Pada tahun 2013, kedua-dua negara ini menjadi rakan kongsi strategik dan pada tahun 2023 pula, Malaysia dan China menyatakan komitmen untuk membina hubungan yang lebih rapat.

Pada tahun 2024, Malaysia dan China meraikan Perayaan Jubli Emas 50 tahun persahabatan antara kedua-dua negara. Pemimpin dari kedua-dua belah pihak menyuarakan keterujaan mereka mengenai hubungan tersebut yang dibina berlandaskan pada nilai seperti kepercayaan dan kebersamaan.

Malaysia melihat pertumbuhan ekonomi China sebagai inspirasi buat negara, manakala China menyokong visi “MADANI” yang digagaskan oleh Perdana Menteri untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang adil dan mampan. Pemimpin dari kedua-dua negara ini melihat Malaysia dan China sebagai rakan strategik penting, sekaligus menjadi suri teladan kepada negara yang sedang membangun di rantau Asia Tenggara (ASEAN) dan Asia.

Kepimpinan dan Komunikasi

Malaysia dan China akan mengekalkan komunikasi yang kukuh dalam kalangan pemimpin mereka untuk memastikan kestabilan jangka panjang akan tercapai. Pemimpin kedua-dua negara juga menyuarakan kesetiaan mereka untuk saling menyokong antara satu dengan lain dalam urusan penting kedua-dua negara.

Selain itu, kedua-dua negara bersetuju untuk menghormati kedaulatan negara masing-masing. Malaysia mengesahkan semula sokongannya terhadap Dasar Satu China, sekali gus mengiktiraf Taiwan sebagai sebahagian daripada Wilayah Pentadbiran China.

Pemimpin dari kedua-dua negara kini memulakan perbincangan keselamatan baharu bersama-sama dengan Kementerian Luar dan Pertahanan masing-masing dan berkongsi idea mengenai sistem tadbir urus yang baik. Malaysia dan China juga turut meningkatkan kerjasama dalam penguatkuasaan undang-undang dan memerangi jenayah rentas sempadan.

Perkongsian Ekonomi

Malaysia dan China kini memberikan tumpuan pada empat bidang utama, iaitu ekonomi digital, ekonomi hijau, industri marin dan pelancongan. Kedua-dua buah negara akan melaksanakan pelan ekonomi baharu dalam tempoh lima tahun (2024 – 2028).

Perdagangan antara negara telah berkembang hampir 1,000 kali ganda sejak tahun 1974. Pemimpin kedua-dua negara menyatakan persetujuan untuk membina rantaian bekalan yang stabil dan menggalakkan pelaburan dalam pembuatan, teknologi, tenaga hijau dan logistik.

Kedua-dua negara turut bercadang untuk menaik taraf zon perindustrian bersama bagi menarik perniagaan berkualiti tinggi dan mewujudkan perjanjian pelaburan baharu. Mereka akan meneroka industri seperti AI, teknologi kuantum, bandar pintar dan 5G. Malaysia mengalu-alukan syarikat dari China untuk membantu membangunkan rangkaian 5G dan industri semikonduktor di Malaysia dalam tempoh terdekat.

Pada masa yang sama, kedua-dua negara menghargai peranan yang dimainkan oleh platform e-dagang untuk meningkatkan sektor perdagangan dan menyokong perniagaan kecil. Syarikat dari kedua-dua negara akan bekerjasama dalam projek kuasa hijau dan meneroka peluang dalam kereta api, aeroangkasa dan tenaga nuklear.

Infrastruktur dan Pengangkutan

Malaysia dan China akan terus bekerjasama dalam membangunkan projek utama seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Hubungan antara pelabuhan akan ditingkatkan dan industri marin akan dipromosikan.

Kedua-dua negara merancang untuk meningkatkan kerjasama penerbangan antara KLIA dengan Lapangan Terbang Zhengzhou dan mewujudkan “Jalan Sutera Udara” untuk menghubungkan China dengan ASEAN. Antara perkara lain yang turut dibincangkan ialah pembangunan rangkaian Kereta Api Pan-Asia.

 Teknologi dan Inovasi

Malaysia dan China akan mengembangkan kerjasama dalam bidang sains dan inovasi melalui penyelidikan dan perkongsian teknologi. Kedua-dua negara akan bekerjasama dalam penyelidikan angkasa lepas dan akan meneruskan perkongsian mereka dalam pembangunan vaksin.

 Pertanian dan Pertumbuhan Mampan

Malaysia dan China akan bekerjasama dalam isu keselamatan makanan dan meningkatkan perdagangan pertanian. China akan mengambil bahagian dalam pameran yang diadakan di Malaysia seperti Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) dan Mesin Kejuruteraan Genetik Antarabangsa (IGEM).

Kedua-dua negara kini berusaha untuk mengurangkan kemiskinan sekali gus membantu golongan miskin, belia, wanita, Bumiputera dan kumpulan Orang Asli. China akan berkongsi pengalamannya dalam pembangunan luar bandar, seterusnya berusaha untuk memodenkan industri pertanian.

 Pelancongan dan Pertukaran Kebudayaan

Kedua-dua negara menyasarkan untuk meningkatkan sektor pelancongan dengan menjadikan perjalanan yang lebih mudah dan selamat. Idea bahawa budaya dan agama yang berbeza-beza boleh wujud bersama secara aman dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak dengan menggalakkan dialog antara agama Islam dengan Konfusianisme.

Perjanjian perjalanan tanpa visa akan membantu pelajar, pelancong dan peminat sukan melawat Malaysia dan China dengan mudahnya. Bermula dari tahun 2024 hingga tahun 2029, kedua-dua negara menganjurkan acara kebudayaan yang menampilkan industri seperti seni, muzik dan filem. Malaysia dan China juga menyuarakan hasrat untuk bekerjasama dalam projek filem dan animasi. Pemuliharaan panda yang telah menjadi simbolik persahabatan antara Malaysia dan China akan terus dikekalkan.

 Pendidikan dan Penjagaan Kesihatan

Kedua-dua negara akan bekerjasama dalam pendidikan teknikal dan digital. Penubuhan pusat penyelidikan bersama antara universiti, kerjasama dalam projek bandar pintar dan menggalakkan program pertukaran pelajar merupakan antara inisiatif yang dirancang pada masa hadapan oleh kedua-dua negara.

Malaysia dan China akan bekerjasama untuk menterjemah dan menerbitkan karya agung yang terkenal di negara masing-masing serta mengukuhkan kerjasama dalam penjagaan kesihatan, termasuk perubatan tradisional.

 Laut China Selatan

Malaysia dan China bersetuju akan kepentingan memastikan Laut China Selatan berada dalam keadaan yang aman. Kedua-dua negara sepakat bahawa sebarang perselisihan faham yang timbul perlulah diselesaikan melalui perbincangan di meja rundingan dan tidak sepatutnya melibatkan mana-mana pihak luar yang tidak berkenaan.

Kedua-dua negara bersama-sama dengan negara-negara anggota ASEAN yang lain menyasarkan untuk memuktamadkan perjanjian (Tata Kelakuan) yang lebih kukuh menjelang tahun 2026. Malaysia dan China berpuas hati dengan kemajuan dialog maritim negara masing-masing dan akan terus meneroka cara baharu untuk meneruskan kerjasama dalam bidang Sains Marin.

Kerjasama Serantau

China menghargai peranan yang dimainkan Malaysia dalam ASEAN dan menyokong penuh Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025. Kedua-dua negara komited berpegang pada prinsip keamanan dan kerjasama ASEAN.

Malaysia dan China juga akan bekerjasama dalam APEC (Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik) untuk melaksanakan matlamat bersama, terutamanya Sidang Kemuncak APEC Putrajaya, yang dijangka akan diadakan pada tahun 2040. Sementara itu, Malaysia menyokong China menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak APEC 2026.

Kedua-duanya negara menyuarakan hasrat untuk mengukuhkan perdagangan serantau melalui perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan dengan mengemas kini Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China. China turut menghargai idea Malaysia untuk mengadakan sidang kemuncak antara ASEAN, China dan Negara-negara Teluk (GCC).

Selain itu, Malaysia dan China bersetuju bahawa keamanan di Asia-Pasifik haruslah dilindungi dan menyokong usaha untuk memastikan Asia Tenggara bebas daripada sebarang penggunaan senjata nuklear.

Perkongsian Global

Malaysia menghargai inisiatif Presiden Xi seperti Belt and Road dan visi untuk keamanan global. Kedua-dua negara menyokong peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam mempromosikan kerjasama antarabangsa.

Kedua-dua negara juga meraikan ulang tahun ke-70 Lima Prinsip Kewujudan Bersama Secara Aman pada tahun 2024 dan berikrar akan terus berpegang teguh pada prinsip ini.

China dan Malaysia akan bekerjasama dalam organisasi antarabangsa seperti PBB, Organisasi Perdagangan Dunia (WTO) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mempromosikan keadilan. China turut mengalu-alukan penyertaan Malaysia dalam Brazil-Rusia-India-China (BRICS), menyokong pelibatan dan penyertaan yang lebih aktif.

Kedua-dua negara menyuarakan pendapat agar perdagangan global yang adil dan terbuka untuk semua diwujudkan. Malaysia dan China turut menentang tarif yang tidak adil dan menyokong WTO sebagai teras untuk sistem perdagangan yang berasaskan peraturan.

Malaysia menyokong hasrat China untuk menyertai Perjanjian Komprehensif dan Progresif Perkongsian Trnas-Pasifik (CPTPP). Kedua-dua negara turut cakna mengenai konflik Gaza dan menyeru gencatan senjata yang tuntas dan muktamad dilakukan untuk menyokong pewujudan negara Palestin yang merdeka.

Perjanjian Akhir

Semasa lawatan itu, China dan Malaysia memeterai 31 perjanjian kerjasama merentasi pelbagai bidang seperti AI (Kecerdasan Buatan), ekonomi digital, perdagangan, pengangkutan, pertanian, budaya, pelancongan dan media.

Presiden Xi mengucapkan terima kasih kepada Malaysia atas sambutan mesra yang diberikan kepada beliau dan menjemput pemimpin Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk melawat China pula pada masa yang akan datang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi