Diterbitkan pada 16 Mei 2025, 10:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Guru, seorang insan yang akan dipanggil dengan gelaran “cikgu” sehinggalah ke akhir hayatnya. Seperti peribahasa, “Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”, itulah perumpamaan yang diberikan kepada guru yang menghabiskan sebahagian besar masa hidupnya dengan menyampaikan ilmu kepada anak didiknya.

Guru, insan mulia yang sentiasa bersedia dengan apa-apa jua perubahan yang diperkenalkan dan melaksanakannya tanpa mengenal erti penat dan lelah. Betullah kata-kata, guru umpama lilin yang sanggup membakar dirinya sendiri untuk menerangi orang lain. Betullah jua bait-bait dalam sajak Sasterawan Negara, Dato’ Usman Awang melalui karyanya Guru oh Guru yang berbunyi:

Dialah pemberi paling setia,

Tiap akar ilmu miliknya,

Pelita dan lampu segala,

Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Setiap tahun pada tanggal 16 Mei, Malaysia menyambut Hari Guru sebagai tanda penghargaan kepada golongan pendidik. Tema Hari Guru 2025, iaitu “Guru Pemacu Reformasi Pendidikan”, mengetengahkan peranan penting guru sebagai penggerak perubahan dalam sistem pendidikan negara. Guru bukan sekadar pengajar, malah turut bertindak sebagai agen perubahan yang membentuk generasi masa hadapan.

Reformasi merujuk kepada perubahan atau pembaharuan yang mengarah kepada keadaan yang lebih baik. Semetelahan, dalam era globalisasi dan revolusi digital, cabaran pendidikan dilihat semakin kompleks. Guru perlu mengadaptasi pendekatan pedagogi baharu, mengintegrasikan teknologi, dan memastikan murid memiliki kemahiran abad ke-21. Dalam konteks pendidikan, reformasi pendidikan merujuk usaha sistematik untuk meningkatkan kualiti pembelajaran melalui perubahan dasar, kurikulum dan pedagogi. Guru sebagai pemacu memainkan peranan utama dalam proses ini.

Guru bukan sahaja mengajar subjek akademik, malah turut membentuk sahsiah murid. Reformasi pendidikan Malaysia kini menekankan pembangunan insan seimbang yang bukan hanya cemerlang dari segi akademik, tetapi juga sahsiah dan nilai murni. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini telah memperkenalkan dan menekankan konsep Karamah Insaniah, iaitu setiap murid mempunyai perasaan kasih sayang dan empati antara satu sama lain.

Dalam Falsafah Pendidikan Negara (FPK), karamah manusiawi secara tidak langsung meningkatkan maruah dan harga diri dalam diri setiap murid. Pembentukan adab, akhlak dan integriti adalah komponen karamah insaniah. Pembangunan diri dan kemahiran interpersonal yang dikenali sebagai kemahiran karamah insaniah termasuklah kemahiran seperti keberanian, ketabahan, kesabaran, keterampilan berkomunikasi, kepimpinan, kerjasama, kreativiti dan banyak lagi. Dalam Islam, konsep Karamah Insaniah begitu penting, dan nilai ini boleh digunakan dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuklah dalam kehidupan murid.

Reformasi utama lain yang dilaksanakan oleh kerajaan khususnya KPM termasuklah pemansuhan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) serta mengukuhkan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD). Pada tahun 2021, KPM memansuhkan UPSR dan PT3 bagi mengurangkan tekanan peperiksaan dan beralih kepada Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang lebih bersifat holistik. PBD menekankan pentaksiran formatif yang mentaksir murid secara berterusan melalui tugasan, projek dan pemerhatian.

Manakala Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) menggunakan sistem peratus dan gred untuk ujian akhir. Keputusan ini dibuat berikutan permintaan daripada masyarakat khususnya ibu bapa, dan sekali lagi reformasi ini diterima oleh para pendidik untuk dilaksanakan. Walaupun sistem peratus dan gred digunakan untuk UASA, namun pentaksiran bilik darjah (PBD) secara berterusan terus dilaksanakan. Murid dinilai pada tahun semasa yang mana UASA dilaksanakan pada hujung sesi persekolahan. Sepanjang berlangsung sesi persekolahan yang menuju ke UASA yang bersifat sumatif tersebut, murid ditaksir secara formatif melalui pelbagai alat pentaksiran.

Walaupun pelbagai reformasi dalam pendidikan telah diperkenalkan, KPM perlu melaksanakan penilaian menyeluruh terhadap keperluan latihan guru. Apabila latihan sebenar yang diperlukan dikenal pasti, KPM boleh memperuntukkan belanjawan latihan dengan lebih berkesan bagi memastikan latihan yang diberikan benar-benar relevan dan bermakna. Latihan-latihan ini perlu dilaksanakan secara berterusan agar bersifat lestari dan mampan. Latihan-latihan yang penting termasuklah pedagogi berkesan untuk menyampaikan kandungan yang terdapat dalam sukatan pelajaran kepada murid termasuklah melalui penggunaan teknologi yang bersesuaian pada masa kini.

KPM juga boleh mempertimbangkan untuk menyusun semula belanjawan yang sedia ada untuk mengarahkan lebih banyak sumber kewangan kepada latihan yang penting dan berkesan. Hal ini mungkin melibatkan pengurangan perbelanjaan terhadap aktiviti yang kurang produktif atau kurang relevan. Namun begitu, meneliti Belanjawan 2024 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, sebanyak RM1.9 bilion disediakan untuk menaik taraf dan menyelenggara sekolah-sekolah di seluruh negara.

Selain itu, sebanyak 100 juta ringgit diperuntukkan untuk menyelenggara dan menaik taraf makmal komputer sekolah dan memperoleh peralatan baharu bagi memperkasakan pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Hal ini amat penting kerana tiada guna sekiranya guru didedahkan dengan pelbagai latihan dan kemahiran, namun kemudahan dan aspek infrastruktur tidak menyokong kepada pelaksanaan. Dalam Belanjawan 2025, dana yang diperuntukkan untuk menaik taraf sekolah di seluruh negara telah ditingkatkan ke RM2 bilion. Situasi ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam memudahkan dan menambah baik proses pembelajaran dan pemudahcaraan yang dilaksanakan sama ada di dalam bilik darjah mahupun makmal.

Guru pada masa ini turut tidak terlepas dalam menghadapi cabaran dalam arus pendidikan perdana. Laporan Bank Dunia 2024 bertajuk Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundational Skills memberikan gambaran membimbangkan tentang sistem pendidikan awal di Malaysia. Menurut laporan berkenaan, menjelang akhir Tahun Lima, hanya 58 peratus murid di Malaysia mampu menguasai kemahiran membaca, jauh ketinggalan berbanding dengan Vietnam dan negara lain di rantau ini.

Walau bagaimanapun, KPM telah mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan Modul Bimbingan (MOBIM) untuk menangani masalah tersebut dan menurut KPM, MOBIM telah mula menunjukkan kesan positif terhadap murid yang menghadapi masalah 3M (membaca, menulis dan mengira). Keputusan terkini TIMSS (Trends in International Mathematics and Science Study) juga telah menimbulkan kebimbangan serius mengenai kualiti pendidikan di Malaysia dan situasi ini memberikan cabaran dan tamparan hebat kepada guru di Malaysia. Sebagai pelaksana utama dasar pendidikan, guru-guru Malaysia menghadapi cabaran besar dalam membendung kemerosotan ini. Sehubungan dengan itu, kerajaan telah memperkenalkan inisiatif tertentu untuk membantu guru dan murid dalam usaha memperbaik keputusan pentaksiran antarabangsa tersebut pada kitaran yang akan datang.

Forum Ekonomi Dunia (World Economic Forum) yang berlangsung di Riyadh pada 28 dan 29 April 2024 jelas memfokuskan pada pembangunan modal insan dalam era kepesatan teknologi khususnya kecerdasan buatan (AI) pada ketika ini. Ekosistem pendidikan pada hari ini didorong oleh AI dan kaedah pembelajaran dan pengajaran yang inovatif bagi menangani keperluan pendidikan yang semakin berkembang. Satu daripada tema yang dibincangkan dalam forum tersebut ialah “Is Education Ready for AI?

Penulis percaya bahawa Dasar Pendidikan Digital akan diteruskan oleh KPM supaya selari dengan saranan World Economic Forum 2024. Hal ini juga selari dengan peruntukan terhadap aspek pendidikan dalam Belanjawan 2024 dan 2025 yang memfokuskan pada aspek infrastruktur. Oleh hal yang demikian, kemudahan yang ditambah baik ini perlu dimanfaatkan oleh guru dan murid dengan latihan profesional perlu diberikan secara berterusan kepada golongan pendidik. Dengan kemudahan yang baik, kandungan kurikulum yang sepadan, pedagogi yang bersesuaian serta pentaksiran yang berterusan, ekosistem pendidikan Malaysia akan menjadi lebih baik untuk menghasilkan modan insan yang holistik dalam aspek kognitif, psikomotor dan afektif.

Selamat Hari Guru 2025, cikgu!

Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

 

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi