Diterbitkan pada 26 Mei 2025, 16:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Malaysia ialah negara yang kaya dengan kepelbagaian kaum, agama, bahasa, budaya dan warisan. Faktor ini menjadikan Malaysia sebagai negara yang unik dan istimewa di mata dunia. Namun begitu, terdapat beberapa perkara yang masih menggugat perpaduan antara kaum di negara ini. Prinsip perpaduan memainkan peranan penting dalam kestabilan dan keutuhan negara majmuk, di samping mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni dan sejahtera.

Sehubungan dengan itu, banyak inisiatif yang perlu dilakukan agar semangat perpaduan terus subur dalam kalangan masyarakat Malaysia. Sukan dilihat sebagai satu daripada cara yang mampu menyatupadukan rakyat tanpa mengira latar belakang. Antara sukan tradisional yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia termasuklah kabaddi.

Asal Usul dan Ciri Permainan Kabaddi

Kabaddi ialah sukan yang berasal dari India dan dipercayai telah wujud sejak 5,000 tahun dahulu. Sukan ini mula diperkenalkan semasa Perang Kurukshetra atau lebih dikenali sebagai Perang Mahabharata. Kabaddi dimainkan secara berpasukan antara tujuh orang pemain hingga 12 orang pemain di kawasan lapang seperti padang dan dewan yang ditandakan dalam bentuk ruang segi empat. Sukan ini mengambil masa 20 minit dalam setiap pusingan perlawanan.

Setiap pemain kabaddi perlu mempunyai kekuatan fizikal, ketangkasan, kemahiran mengatur strategi dan semangat berpasukan. Seorang pemain akan menyerang kawasan lawan dengan menyentuh seberapa banyak pemain lawan sebelum kembali ke zon sendiri sambil menyebut “kabaddi, kabaddi, kabaddi”. Pasukan yang mengumpul paling banyak mata akan muncul sebagai pemenang.

Sukan kabaddi merupakan sukan kebangsaan Bangladesh. Sehingga ke hari ini, sebanyak 31 buah persatuan kebangsaan kabaddi telah menganggotai Persekutuan Kabaddi Antarabangsa (International Kabaddi Federation) termasuklah Malaysia.

 

Sukan Kabaddi di Malaysia

Apabila tenaga buruh India masuk ke Tanah Melayu secara besar-besaran pada awal abad ke-19, mereka turut memperkenalkan sukan kabaddi. Sukan ini menjadi aktiviti masa senggang mereka selepas seharian membanting tulang di ladang getah. Lama-kelamaan, sukan kabaddi kian popular apabila dimainkan oleh ramai orang India di kawasan pekan serta bandar.

Walaupun pada awalnya kabaddi dikenali sebagai sukan masyarakat India, namun keadaan ini mula berubah apabila sukan ini diminati dan disertai oleh kaum selain India seperti Melayu, Cina dan Peribumi. Malahan, terdapat sekolah dan institusi pendidikan tinggi yang memperkenalkan kabaddi dalam kejohanan sukan tahunan dan aktiviti kokurikulum di pusat pengajian mereka sebagai platform yang inklusif untuk semua kaum.

Malaysia merupakan antara negara terawal yang membentuk pasukan kabaddi di Asia. Banyak persatuan sukan kabaddi ditubuhkan di setiap negeri dan daerah. Satu daripada persatuan kabaddi yang berjaya menempa nama di negara ini ialah Persatuan Kabaddi Johor. Menurut Pengerusi Persatuan Kabaddi Johor, YBrs. Encik Chandran a/l Murugiah, persatuan ini telah ditubuhkan pada tahun 2001. Antara matlamat Persatuan Kabaddi Johor termasuklah untuk memperkenalkan sukan kabaddi kepada semua rakyat Johor tanpa mengira bangsa dan usia. Persatuan ini kian berkembang di sekolah rendah, sekolah menengah, kolej, politeknik, Institusi Pendidikan Guru Malaysia dan universiti. Sehingga hari ini, Persatuan Kabaddi Johor berjaya melatih sebanyak 10,000 orang daripada pelbagai etnik.

Kabaddi semakin menempa nama dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Buktinya, pasukan kabaddi Terengganu dan Sarawak dianggotai sepenuhnya oleh orang Melayu dan Peribumi, manakala pasukan kabaddi Perlis, Perak dan Kelantan disertai oleh pemain pelbagai kaum. Perasaan cinta dan minat yang cukup tinggi terhadap sukan kabaddi di negara ini berjaya melahirkan pasukan kabaddi kebangsaan, iaitu Pasukan Kabaddi Malaysia pada tahun 2001. Pasukan ini dianggotai oleh atlet lelaki dan wanita yang berpengalaman serta pernah mendapat latihan intensif di India. Pada tahun 2023, Pasukan Kabaddi Malaysia (Lelaki) berjaya meletakkan Malaysia dalam kedudukan ranking ke-5 di Asia. Kedudukan ini diberikan berdasarkan prestasi Pasukan Kabaddi Malaysia di persada antarabangsa, termasuklah Sukan Asia dan kejohanan seperti Bangabandhu Cup dan Asian Kabaddi Championship. Di samping itu, pencapaian Pasukan Kabaddi Kebangsaan (Wanita) juga tidak kurang hebatnya. Pada tahun 2024, pasukan ini menjuarai Indonesia Open International Kabaddi Tournament 2024 dengan menewaskan Thailand dan Indonesia.

Perkembangan positif sukan kabaddi di Malaysia menarik minat negara lain seperti Taiwan dan Korea Selatan untuk menubuhkan pasukan mereka sendiri. Hal ini patut dibanggakan kerana negara kita menjadi contoh kepada negara lain.

Penyertaan Pelbagai Kaum

Kabaddi mempunyai keunikan yang tersendiri sebagai alat perpaduan yang berkesan di Malaysia. Dalam kebanyakan kejohanan, pasukan kabaddi terdiri daripada pelbagai kaum. Kebergantungan antara pemain dalam satu pasukan mengajar mereka untuk bekerjasama, mempercayai antara satu sama lain dan berkomunikasi dengan berkesan tanpa mengira latar belakang. Menurut Pengerusi Persatuan Kabaddi Negeri Johor lagi, penyertaan pelbagai kaum dalam persatuan tersebut amat digalakkan bagi merancakkan interaksi antara pemain.

Sukan kabaddi menekankan nilai sejagat seperti disiplin, keberanian, kerjasama, kerja berpasukan dan semangat kesukanan. Secara tidak langsung, penyertaan semua kaum dalam sukan ini dapat menghapuskan perbezaan serta menguatkan rasa kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Tambahan pula, apabila ada pemain berbangsa selain India terlibat dalam sukan kabaddi, mereka dapat pendedahan tentang budaya masyarakat India. Perkara ini membina persefahaman dan perasaan menghormati perbezaan, sekali gus mengurangkan prasangka antara sesetengah pihak. Kabaddi bukan sahaja dapat memupuk perpaduan generasi muda pada masa ini, tetapi juga memberi impak kepada golongan ibu bapa dan komuniti setempat. Sokongan moral ibu bapa dan masyarakat daripada pelbagai latar belakang yang hadir dalam mana-mana pertandingan kabaddi membantu mewujudkan satu suasana kekitaan antara penonton. Hal ini ternyata dapat menyemai semangat perpaduan masyarakat.

Kita seharusnya berterima kasih kepada pihak kerajaan Malaysia kerana sukan kabaddi diberikan pengiktirafan rasmi dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 dan akan disenaraikan sebagai acara berpingat di SUKMA pada tahun 2026. Untuk mempergiat sukan kabaddi sebagai alat perpaduan, pihak kerajaan perlu mengambil usaha yang lebih drastik. Antaranya termasuklah menjadikan kabaddi sebagai platform integrasi di sekolah dan institusi pengajian tinggi. Sebagai contohnya, kabaddi dijadikan aktiviti wajib dalam program RIMUP (Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan) di sekolah rendah, hari sukan sekolah atau sambutan Hari Sukan Negara. Kementerian Perpaduan Negara perlu melaksanakan program intensif untuk memperkenalkan sukan kabaddi dengan lebih luas. Penganjuran kejohanan dan klinik latihan berkaitan dengan sukan kabaddi perlu dibuat agar lebih ramai rakyat Malaysia dapat menyertai sukan ini tanpa mengira bangsa.

Selain itu, peranan persatuan kabaddi yang sedia ada di seluruh negara juga perlu ditingkatkan untuk mempromosikan sukan ini sebagai sukan perpaduan. Kerajaan Negeri dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri boleh membantu persatuan kabaddi untuk memperkenalkan program sekolah angkat sukan kabaddi di setiap daerah. Hal ini dapat membantu menyemarakkan lagi minat masyarakat terhadap sukan ini. Tambah Pengerusi Persatuan Kabaddi Johor, pelan pembangunan sukan kabaddi perlu dibentuk bagi mengangkat sukan ini di Malaysia seterusnya memberi peluang kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum untuk mengharumkan nama negara.

Selain itu, pihak media perlu memainkan peranan penting untuk memperkenalkan sukan kabaddi kepada masyarakat umum. Media massa mampu menonjolkan sukan kabaddi sebagai simbol integrasi nasional yang tidak terhad pada kaum tertentu. Oleh itu, pihak media hendaklah mempromosikan sukan kabaddi untuk meningkatkan kesedaran, menarik minat penonton dan mengembangkan populariti sukan ini dalam kalangan masyarakat Malaysia. Saluran media seperti televisyen, radio, akhbar dan media dalam talian boleh menyebarkan berita, keputusan perlawanan dan perkembangan terkini mengenai sukan kabaddi kepada masyarakat umum. Liputan perlawanan secara langsung dan rakaman perlawanan kabaddi melalui televisyen dan platform digital ini mampu menarik lebih ramai penonton, sekali gus meningkatkan pendedahan terhadap sukan ini. Peranan media sebagai penyalur maklumat tentunya dapat membantu atlet dan skuad kabaddi memperkenalkan sukan ini dengan memaparkan kisah kejayaan mereka dan membina pengaruh sebagai ikon sukan.

Kabaddi bukan sekadar sukan tradisional yang diwarisi secara turun-temurun. Sukan ini sepatutnya dilihat sebagai jambatan yang menyatukan rakyat berbilang bangsa di Malaysia kerana sukan ini tidak membezakan kaum, agama, mahupun bahasa. Sebaliknya, nilai seperti semangat berpasukan, kepercayaan dan kesefahaman yang menjadi asas permainan.

Dengan memperluas penyertaan serta mempergiat promosi kabaddi pada semua peringkat, bermula daripada peringkat sekolah hingga peringkat kebangsaan, kita pasti dapat memartabatkan warisan budaya serta membina sebuah masyarakat yang lebih harmoni dan bersatu padu. Kabaddi berpotensi menjadi simbol kesatuan rakyat Malaysia yang bergerak seiring dengan prinsip kebersamaan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi