Diterbitkan pada 6 Jun 2025, 09:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kebelakangan ini, peningkatan ketara kes bunuh diri di Malaysia amat membimbangkan dan telah menjadi satu isu kesihatan awam yang serius. Menurut Kamus Dewan Perdana, bunuh diri didefinisikan sebagai tindakan menamatkan  nyawa sendiri dengan sengaja, biasanya kerana terlalu kecewa, marah dan sebagainya. Tindakan ini lazimnya berpunca daripada pelbagai faktor seperti tekanan hidup, masalah kesihatan mental, atau gangguan emosi yang berpanjangan. Antara kumpulan yang terkesan termasuklah pelajar, pekerja, ibu bapa serta golongan warga emas.

 

Statistik daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan peningkatan sebanyak 10 peratus dalam kes kematian akibat bunuh diri yang dilaporkan pada tahun 2023, iaitu 1,087 kes berbanding dengan 981 kes pada tahun sebelumnya, seperti yang pernah dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 10 September 2024 yang lalu bersempena dengan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia.

Faktor Penyumbang Kejadian Bunuh Diri

Umum mengetahui bahawa isu bunuh diri merupakan satu masalah yang tidak mengenal usia, bangsa, jantina mahupun latar belakang agama. Satu daripada punca utama yang dikenal pasti ialah masalah kesihatan mental, khususnya kemurungan dan gangguan kebimbangan (anxiety) yang semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat. Keadaan ini mendorong kepada kecenderungan untuk melakukan perbuatan membunuh diri, terutamanya apabila individu tidak mendapatkan bantuan sewajarnya.

Antara kumpulan yang paling terkesan termasuklah mereka yang menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi atau meluahkan perasaan. Perasaan terasing, kesunyian serta tanggapan bahawa tiada siapa yang memahami atau mempedulikan mereka menjadikan individu ini lebih rentan terhadap pemikiran untuk menamatkan riwayat hidup sendiri. Tambahan pula, mereka yang pernah mengalami sejarah gangguan seksual, menjadi mangsa buli, atau penderaan fizikal dan emosi turut berada dalam kategori berisiko tinggi. Trauma serta tekanan emosi yang berpanjangan boleh menyebabkan mereka hilang harapan dan memilih jalan singkat untuk menamatkan penderitaan.

Krisis kehidupan seperti kehilangan orang tersayang, keruntuhan ekonomi peribadi, dan kesunyian akibat pengasingan sosial juga memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada isu ini. Sebagai contoh, pandemik COVID-19 telah memberikan kesan yang besar terhadap kesejahteraan mental masyarakat di seluruh dunia. Kehilangan pekerjaan, sumber pendapatan, serta kekangan interaksi sosial semasa tempoh kuarantin telah menyebabkan peningkatan ketara dalam kejadian bunuh diri.

Selain itu, penderitaan akibat penyakit kronik atau kehilangan keupayaan fizikal akibat kemalangan juga boleh menimbulkan rasa putus asa dalam kalangan pesakit, sehingga mereka menganggap kematian sebagai satu-satunya jalan keluar daripada penderitaan yang dialami.

Faktor lain yang tidak boleh diketepikan ialah pengaruh media sosial. Penyebaran kandungan seperti gambar dan video berkaitan kejadian bunuh diri boleh memberikan kesan negatif, terutamanya apabila ia ditampilkan secara tidak sensitif atau sensasi. Kandungan sedemikian berpotensi mendorong individu yang berisiko tinggi untuk meniru perlakuan tersebut atau merasionalisasikan tindakan mencederakan diri. Sebagai contoh, satu kajian di Amerika Syarikat menunjukkan peningkatan kes bunuh diri dalam kalangan remaja selepas penayangan drama bersiri yang menyentuh isu tersebut secara langsung.

Antara faktor dan langkah pencegahan untuk mengelakkan risiko membunuh diri.

Langkah Pencegahan

Ahli keluarga dan kenalan rapat memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha mencegah kejadian bunuh diri. Antara langkah awal yang boleh diambil termasuklah sentiasa bertanya khabar dan mengambil tahu keadaan emosi insan terdekat, khususnya apabila terdapat tanda-tanda awal kemurungan. Individu yang mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri amat memerlukan sokongan moral serta kehadiran seseorang yang sudi mendengar tanpa menghakimi. Kehadiran pendengar yang empati boleh memberikan mereka rasa bahawa mereka tidak bersendirian dalam menghadapi kesukaran.

Sekiranya perlu, keluarga atau rakan boleh membantu individu terbabit untuk mendapatkan bantuan profesional atau menghubungkan mereka dengan organisasi bukan kerajaan (NGO) yang menawarkan sokongan psikososial. Pada peringkat komuniti pula, masyarakat perlu berusaha menghapuskan stigma terhadap mereka yang berdepan dengan masalah kesihatan mental atau pernah membuat cubaan membunuh diri. Sokongan yang membina daripada persekitaran sosial mampu memberikan harapan baharu kepada mereka yang sedang bergelut dengan penderitaan dalaman.

Kempen kesedaran melalui media sosial boleh menjadi satu wadah penting dalam menyebarkan mesej sokongan, penerimaan dan pemahaman terhadap isu kesihatan mental. Program pendidikan dan pencegahan juga wajar diperluaskan ke peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi supaya kesedaran dapat dipupuk sejak usia muda.

Pasa masa yang sama, media memainkan peranan penting sebagai agen penyampai maklumat kepada masyarakat. Justeru, laporan berkaitan dengan kejadian bunuh diri perlu disampaikan secara beretika dan bertanggungjawab bagi mengelakkan kesan negatif terhadap individu yang berisiko. Menyedari kepentingan ini, Menteri Komunikasi, Yang Berhormat Datuk Fahmi Fadzil telah melancarkan Garis Panduan Pelaporan dan Perkongsian Kandungan Berkaitan Bunuh Diri bagi membantu pengamal media serta masyarakat umum memahami pendekatan yang wajar dalam menyampaikan maklumat berkaitan dengan isu sensitif ini. Garis panduan ini juga merupakan hasil inisiatif daripada Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CMCF, Puan Mediha Mahmood, garis panduan ini bukan sahaja relevan untuk pihak media, malah untuk setiap anggota masyarakat, agar peka akan setiap bentuk perkongsian yang dibuat, tidak hanya mendatangkan mudarat kepada orang lain, bahkan boleh menjadi penyelamat nyawa.

Garis Panduan Pelaporan dan Perkongsian Kandungan Berkaitan dengan Bunuh Diri

Pelaporan dan perkongsian kandungan secara beretika amat penting dalam usaha mencegah kejadian bunuh diri, khususnya untuk mengelakkan fenomena peniruan tingkah laku bunuh diri yang dikenali sebagai Werther Effect. Liputan media yang mendedahkan butiran terperinci mengenai kaedah atau lokasi kejadian, serta memberikan publisiti berlebihan, boleh menyumbang kepada peningkatan kes dalam kalangan individu berisiko tinggi.

Sebaliknya, laporan yang bertanggungjawab dan berhemah boleh menjadi sebahagian daripada langkah pencegahan, sebagaimana yang dibuktikan oleh “Papageno Effect”, iaitu pengaruh positif media melalui penyebaran kisah berunsur harapan serta mesej bahawa bantuan dan pemulihan itu wujud. Menurut Dr. Ravivarma Rao Panirselvam, pakar psikiatri dari KKM, garis panduan yang diperkenalkan ini bersifat menyeluruh kerana dirangka berdasarkan input pelbagai pihak berkepentingan, demi membentuk landskap media yang lebih selamat dan beretika.

Prinsip Utama Garis Panduan:

 1.         Penyampaian Maklumat yang Tepat dan Sahih

Pastikan semua maklumat yang disebarkan adalah berasaskan fakta dan disahkan sumbernya, bagi mengelakkan penyebaran berita palsu yang boleh mencetuskan spekulasi serta kegusaran dalam kalangan masyarakat.

 

2.         Penghormatan Privasi

Melindungi privasi mangsa dan ahli keluarga mereka. Elakkan daripada mendedahkan maklumat peribadi seperti nama penuh, alamat atau butiran keluarga, kecuali jika benar-benar perlu dan mendapat kebenaran sewajarnya.

 

3.         Elakkan Perincian Kaedah dan Lokasi

Jangan mendedahkan secara terperinci kaedah atau lokasi kejadian bunuh diri. Individu yang terdedah kepada butiran seperti ini berisiko untuk meniru tindakan tersebut.

 

4.         Fahami Kerumitan Insiden Bunuh Diri

Penulisan laporan hendaklah menekankan bahawa bunuh diri merupakan hasil interaksi kompleks pelbagai faktor, termasuk tekanan emosi, penyakit mental atau fizikal dan tidak boleh dikaitkan hanya kepada satu punca tunggal.

 

5.         Sertakan Maklumat Bantuan

Setiap laporan atau kandungan yang berkaitan dengan bunuh diri sewajarnya disertakan dengan sumber bantuan seperti nombor talian krisis atau pautan ke organisasi sokongan agar mereka yang memerlukan bantuan boleh mendapatkan pertolongan.

 

6.         Elakkan Tajuk Sensasi atau Menarik Perhatian Berlebihan

Gunakan tajuk yang profesional, empati dan bertanggungjawab. Tajuk yang terlalu dramatik boleh mempengaruhi individu yang sedang berada dalam keadaan rapuh emosi untuk meniru tindakan tersebut.

 

Isu kesihatan mental kini menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kes bunuh diri. Justeru, usaha pencegahan tidak boleh digalas oleh satu pihak sahaja. Perkara ini memerlukan kerjasama menyeluruh daripada kerajaan, institusi kesihatan, media, masyarakat sivil serta individu itu sendiri.

Setiap individu memegang tanggungjawab untuk saling menyokong, memahami dan mendidik diri agar menjadi lebih prihatin terhadap keperluan emosi orang sekeliling. Dengan sokongan yang berterusan dan empati yang mendalam, kita mampu membina sebuah masyarakat yang lebih penyayang, sejahtera dan selamat untuk semua.

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi