Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSetiap tahun, kita menyambut Hari Bapa pada bulan Jun sebagai tanda penghargaan kepada insan yang tidak pernah mengenal erti lelah, untuk mereka yang dipanggil ayah, abah, walid, abi, babah, daddy, atau nama-nama lain yang penuh bermakna buat insan bernama bapa.
Bapa adalah tunjang keluarga, pelindung yang hebat dan sumber kasih sayang yang tidak boleh diungkap dengan kata-kata. Di sebalik perbezaan panggilan mengikut budaya dan adat, peranannya tetap satu, iaitu sebagai pemimpin, pendorong dan suri tauladan dalam hidup kita. Maka itu, tidak kiralah sama ada dia ayah yang tegas, abah yang penyabar, walid yang bijaksana, abi yang kelakar, babah yang penyayang, atau daddy yang sentiasa ada setiap kali diperlukan, setiap panggilan itu membawa erti cinta dan pengorbanan yang tidak ternilai. Sehubungan dengan itu, Hari Bapa dianggap sebagai saat terbaik untuk kita mengenang segala jasa, kesabaran dan pengorbanan mereka yang mungkin sering kali tidak terucap.
Umpama peribahasa “berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul”, bapa adalah insan yang sentiasa mendahulukan keluarga, seringkali mengorbankan masa rehat, keperluan diri dan impian peribadi demi memastikan orang tersayang hidup selesa dan bahagia. Dari bekerja keras siang dan malam, hingga rela berlapar demi memastikan anak-anaknya cukup makan dan minum, pengorbanannya tidak pernah berbelah bahagi. Dia mungkin tidak banyak bercakap, tetapi setiap titik peluh, setiap raut wajah penat, dan setiap wang yang dikumpulkan adalah bukti kasihnya yang tidak bertepi. Walaupun kadangkala jasanya tidak disedari, ketulusan seorang bapa tetap teguh kerana baginya, kebahagiaan keluarga merupakan kejayaan yang paling bermakna.
Di sebalik sikapnya yang kelihatan tegas dan jarang-jarang menunjukkan emosi, seorang bapa sebenarnya menyimpan kasih sayang yang begitu mendalam terhadap keluarganya. Dia mungkin tidak sering memeluk anak-anaknya atau meluahkan kata-kata sayang, tetapi setiap saat, doanya tidak pernah putus mengiringi anak-anak dan keluarganya. Bapa menunjukkan rasa cintanya denga memohon perlindungan kepada Yang Maha Esa agar keluarga sentiasa selamat dan dilimpahkan rahmat, hinggalah mengharapkan kejayaan dan kebahagiaan untuk orang tersayang.
Percayalah, walaupun tidak diluahkan dengan kata-kata, setiap detik hidupnya dihabiskan untuk memastikan yang terbaik buat keluarga. Kasih seorang bapa mungkin tidak terserlah, namun dijelmakan dalam setiap langkah dan keputusan yang diambil demi masa hadapan anak-anaknya.
Seorang bapa memikul tanggungjawab besar sebagai pelindung dan penyedia utama bagi keluarganya. Dia akan berusaha keras memastikan anak-anaknya mendapat yang terbaik iaitu dari menyediakan tempat tinggal yang selesa, pendidikan berkualiti, sehingga keperluan harian yang mencukupi. Tidak kiralah betapa sukar, dia pasti akan mencari jalan untuk memastikan anak-anaknya mempunyai peluang yang lebih baik daripada yang pernah dia lalui sebelum ini. Seorang bapa mungkin tidak selalu mampu memberikan segala yang diinginkan anak-anak, tetapi percayalah, dia pasti akan berusaha sedaya upaya untuk memenuhi apa yang benar-benar diperlukan.
Sepertimana peribahasa “bapa borek, anak rintik”, bapa memainkan tanggungjawab besar dalam mendidik anak-anak mereka seawal usia mentah lagi. Seorang bapa mengajar erti ketegasan melalui disiplin, kesabaran dalam mendidik, dan kejujuran dalam setiap tindakan sementelah pada era kepesatan teknologi ketika ini. Pada zaman serba pantas ini, bapa berhadapan dengan tekanan berganda. Mereka perlu bijak mengurus kewangan keluarga, memahami dunia digital anak-anak, sekaligus mengekalkan komunikasi berkesan dengan anak-anak yang meningkat usia remaja yang semakin terdedah dengan dunia luar. Tambahan pula, keseimbangan antara kerjaya dengan keluarga sering menjadi dilema dalam kalangan bapa. Namun begitu, seorang bapa tidak akan pernah kenal erti putus asa untuk terus mendidik anak-anak ke jalan yang positif kerana bagi mereka, “bagaimana acuan, begitulah kuihnya”. Walaupun sikapnya kadangkala keras, setiap nasihat dan tegurannya datang dari hati yang mahukan yang terbaik untuk anak-anak.
Andai kasih ibu ibarat sungai yang mengalir lembut, kasih ayah pula laksana bukit yang teguh berdiri. Bak peribahasa, “kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa”, kedua-duanya diperlukan untuk membentuk insan sempurna. Hal ini merupakan satu ungkapan yang merangkumi erti pengorbanan tanpa noktah seorang bapa. Berbeza dengan kasih sayang ibu yang sering terzahir melalui pelukan dan belaian, kasih seorang ayah ibarat sungai dalam, tenang di permukaan, tetapi mengalir deras di dasarnya, yang tidak terikat waktu atau keadaan, sebaliknya kekal abadi walaupun jarang diungkapkan dengan kata-kata.
Sebagai anak, kita pastinya tidak boleh melupakan detik-detik manis bersama bapa seperti dibonceng motosikal ke warung, diajar menunggang basikal, atau sekadar duduk di beranda mendengar cerita pengalaman hidupnya. Kenangan sederhana ini sering menjadi memori paling berharga yang kekal dalam lipatan hidup kita sehinggalah dewasa dan berkeluarga. Momen-momen ini lebih bernilai daripada hadiah berbentuk material. Sebenarnya, yang paling dihargai bapa bukanlah hadiah mewah, tetapi perhatian tulus seperti kerap menelefonnya, memasakkan makanan kegemarannya, atau sekadar meluangkan masa bersembang bersama. Usahlah menjadi seperti “kecil-kecil anak, bila besar menjadi onak”, jagalah maruah bapa yang telah berkorban jiwa dan keluarga dalam membesarkan kita. Tanpa dia, siapalah kita. Sesungguhnya dialah wira, yang tidak pernah berkira, jiwa dan raga, dalam membesarkan kita untuk menjadi manusia beguna, sama ada di dunia mahupun di alam sana. Bapa, ayah, abah, abi, walid, babah, daddy, atau apa-apa sahaja panggilan yang diberikan, engkaulah wira sejati dalam hidup kami!
Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia.