Diterbitkan pada 17 Jun 2025, 20:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Di tengah-tengah kemajuan pesat jaringan infrastruktur Kelantan yang menghubungkan Kuala Krai, Machang, Tanah Merah, Jeli dan Gua Musang, terdapat sebuah Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ketinggalan daripada arus pembangunan.

Terpinggir daripada rangkaian jalan utama dan dilupakan dalam pelan pembangunan ekonomi negeri, Gual Ipoh kini bagaikan wilayah yang tersembunyi, terpencil dan terlindung, tidak seperti dahulu ketika pekan Kusial menjadi nadi perdagangan dan pengangkutan di Tanah Merah.

Menyingkap Realiti Keterpencilan Geografi

Kedudukan Gual Ipoh yang tidak termasuk dalam jajaran utama jalan negeri seperti Kuala Krai–Machang–Tanah Merah atau Gua Musang–Jelawang–Jeli/Timur Barat, meletakkan Gual Ipoh dalam zon yang kurang tumpuan dari segi sambungan infrastruktur jalan raya.

Ketiadaan laluan langsung menyebabkan akses ke Gual Ipoh agak terbatas, sekali gus mengehadkan potensi ekonomi dan sosial kawasan ini.

Peta infrastruktur Kelantan menunjukkan keterpinggiran Gual Ipoh. Jalan-jalan utama dari Kuala Krai ke Machang, Tanah Merah dan Jeli, termasuk laluan Timur–Barat (Jeli- Machang), semuanya tidak memasuki atau melintasi Gual Ipoh. Untuk masuk ke kawasan ini, seseorang perlu melalui jalan kecil seperti Batu Hitam, melalui Kampung Chekok Ipoh (Guillemard) dan Batu 8. Malah, dari Kuala Lumpur juga tiada laluan terus ke Gual Ipoh. Sebaliknya orang ramai perlu singgah dahulu ke Machang atau Jeli.

Cadangan Laluan Baharu: Biok ke Peralla

Satu daripada cadangan yang berpotensi untuk memberikan manfaat besar kepada penduduk ialah pembukaan laluan penghubung dari Biok di Dabong (Kuala Krai) ke Peralla (Gual Ipoh). Walaupun jaraknya hanya sekitar 30 kilometer merentasi sempadan daerah, laluan ini belum direalisasikan sebagai jalan perhubungan rasmi.

Andai diwujudkan, laluan ini boleh menjadi jalan alternatif ketiga menghubungkan wilayah selatan dan timur Kelantan tanpa perlu melalui Machang atau Jeli/Timur–Barat, sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas terutama semasa musim perayaan dan cuti sekolah.

Jalan ini juga berpotensi menjadi alternatif penting yang bukan sahaja memendekkan perjalanan antara daerah, tetapi juga merangsang pertumbuhan ekonomi setempat. Hal ini selaras dengan aspirasi pembangunan menyeluruh yang menekankan kemakmuran wilayah luar bandar.

Satu lagi laluan penting yang wajar diberikan perhatian termasuklah laluan antara Kampung Air Naga (mukim Peralla) ke Kampung Air Chenang (DUN Bukit Bunga, Parlimen Jeli) yang terletak dalam jajahan Tanah Merah, sekitar 10 kilometer sahaja, merentasi kawasan berbukit tanpa melibatkan sebarang sungai atau halangan geografi yang kompleks.

Laluan baharu Air Naga–Ulu Berta–Air Chaneng adalah antara usaha yang boleh digerakkan secara bertahap di bawah inisiatif kerajaan negeri, memandangkan hal ini melibatkan kawasan dalam satu jajahan pentadbiran yang sama.

Melalui penyelarasan strategik antara agensi teknikal negeri, pemimpin masyarakat serta agensi pelaksana seperti JKR dan UPEN, inisiatif ini mampu direalisasikan sebagai satu daripada langkah untuk memperkasakan keterhubungan luar bandar yang inklusif dan lestari.

Impak Akses Terhad kepada Komuniti Setempat

Peluang laluan alternatif ketiga yang dicadangkan dapat mengurangkan kesesakan jalan dari Gerik melalui Jeli, Tanah Merah dan Machang menuju ke Kota Bharu adalah isu yang membelenggu setiap kali tibanya musim cuti. Cadangan membuka laluan Biok–Peralla bukan sekadar memenuhi keperluan Gual Ipoh, tetapi berperanan besar sebagai penyuraian aliran trafik negeri.

Laluan ini bakal memberi satu lagi pilihan buat pengguna jalan raya, yakni dari Gua Musang sama ada ke Sungai Sam atau Meranto, ke Jelawang, masuk ke Biok dan seterusnya ke Peralla dan Tanah Merah sebelum ke Kota Bharu.

Cadangan laluan pilihan ini juga memberikan peluang mobiliti lebih baik kepada penduduk di kawasan pedalaman seperti Jelawang, Dabong dan Gunung Stong untuk mengakses kemudahan bandar dengan lebih pantas tanpa perlu berpusing jauh ke Jeli atau Machang terlebih dahulu.

Situasi ini memberikan kesan kepada kebolehcapaian penduduk terhadap kemudahan asas seperti stesen minyak, perbankan dan pasar raya. Pekan-pekan kecil seperti Gual Ipoh dan Kusial, yang pernah menjadi pusat perdagangan dan perhentian utama, kini sedikit sebanyak terkesan akibat perubahan corak laluan dan aliran ekonomi.

Lebih signifikan, perubahan ini juga membuka ruang untuk perancangan baharu yang lebih inklusif, khususnya melalui perancangan strategik kerajaan negeri dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat di kawasan pedalaman.

Aktiviti Perlombongan dan Keperluan Penambahbaikan Jalan

Kawasan sekitar Gual Ipoh turut menyaksikan pertumbuhan aktiviti ekonomi melalui perlombongan emas di Sokor. Dengan kehadiran pelabur luar dan peningkatan penggunaan laluan darat, keperluan untuk penyelenggaraan jalan serta sistem sokongan logistik semakin mendesak. Penambahbaikan jalan sedia ada boleh membantu memperkukuh aliran perdagangan dan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.

Kerjasama di antara pelabur industri dan pihak berkuasa tempatan amat digalakkan agar manfaat pembangunan dapat dikongsi secara lebih seimbang dan mampan.

Wilayah Produktif

Gual Ipoh berada dalam wilayah pembangunan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) bersama Gua Musang, Jeli dan Kuala Krai yang merupakan wilayah yang produktif. Walaupun berada dalam lingkungan KESEDAR, Gual Ipoh menjadi satu-satunya DUN dalam Parlimen Tanah Merah yang tidak mendapat perhatian setara.

Sebagai perbandingan, kawasan pertumbuhan ekonomi baharu seperti FELDA di Kemahang lengkap dengan dewan, padang bola, dan jalan baharu terus dari Kemahang, Tanah Merah ke Barul Pial, Rantau Panjang. Manakala bagi DUN Bukit Panau pula, satu jambatan baharu hampir siap menghubungkan Kampung Belimbing, Tanah Merah ke Kampung Joh, Machang

Gual Ipoh pula, sebaliknya, ketinggalan tanpa penempatan terancang, tanpa laluan penghubung utama dan tanpa sebarang mercu ekonomi baharu.

Akibatnya, penduduk Gual Ipoh masih hidup secara “manual”. Tiada pasar raya, tiada kedai 24 jam, malah mesin ATM pun baru sahaja wujud di pekan ini pada 29 Mei 2024. Tiada stesen minyak moden, tiada tumpuan pengguna jalan raya dari luar. Jika tiada pengunjung, bagaimanakah perniagaan tempatan mampu bertahan? Peniaga tidak mampu berkembang, rakyat tidak mampu berdikari, dan anak muda terpaksa berhijrah mencari pekerjaan.

Warisan Bersejarah: Aset Pelancongan yang Perlu Diangkat

Sejarah mencatat bahawa Kusial, yang berada dalam kawasan Gual Ipoh, pernah menjadi pelabuhan perdagangan utama di Tanah Merah yang suatu ketika dahulu hidup dengan aktiviti perahu dan kereta api. Namun begitu, selepas jalan utama Kota Harmoni siap pada tahun 1988, laluan ke pekan Kusial tidak lagi digunakan. Pekan itu perlahan-lahan menjadi “pekan mati”. Kewujudan jalan bukan sahaja membuka laluan, malah menjadi penentu hidup mati sesebuah kawasan.

Gual Ipoh tidak sekadar kawasan luar bandar biasa kerana memiliki aset warisan yang berharga seperti Jambatan Guillemard, dibina sejak 1924 dan mempunyai nilai sejarah yang signifikan. Jambatan ini bukan sahaja simbol seni bina klasik British, malah turut berpotensi menjadi tarikan pelancongan sejarah sekiranya diberi promosi dan prasarana pelancongan yang bersesuaian.

Jambatan ini juga boleh diangkat sebagai ikon kebanggaan negeri dan destinasi persinggahan pelawat yang menuju ke jajaran barat Kelantan.

Cadangan Strategik Kepentingan Jalan ke Sokor dan Gua Musang

Laluan ke Sokor juga menjadi contoh nyata pengabaian. Meskipun terdapat dua laluan, satu melalui Kuala Krai (masih menggunakan feri sungai) dan satu lagi rentas estet, penduduk masih bergantung kepada jalan ladang yang rosak, digunakan pula oleh lori-lori berat dari lombong emas di Sokor.

Ironinya, hasil emas dipungut dan dieksport keluar dari Gual Ipoh, namun rakyat tempatan tidak menerima sebarang manfaat dalam bentuk jalan berturap, pembangunan kawasan atau pulangan ekonomi. Lebih menyedihkan, projek jambatan penting untuk menghubungkan penduduk di seberang Sungai Kelantan masih terbengkalai.

Keadilan untuk Gual Ipoh

Pembinaan Jalan Biok–Peralla: Jalan penyambung sejauh kira-kira 30 kilometer ini perlu dimasukkan dalam pelan Rancangan Malaysia Ke-13. Ini ialah laluan ekonomi untuk kemudahan penduduk setempat dan menjadi penghubung alternatif penting yang boleh menyurai kesesakan jalan negeri.

Peningkatan Infrastruktur Asas: Penambahan mesin ATM di lokasi strategik tumpuan ramai, pembinaan stesen minyak, pasar mini dan kedai runcit 24 jam bukanlah kemewahan, tetapi keperluan asas untuk mewujudkan ekosistem ekonomi setempat.

Revitalisasi Pekan Kusial: Mengembalikan peranan pekan Kusial sebagai pusat aktiviti perdagangan dan perkhidmatan melalui usaha naik taraf jalan masuk dan insentif kepada pelabur kecil dan sederhana.

Pembangunan Seimbang KESEDAR: Kerajaan negeri dan persekutuan perlu menyemak semula agihan pembangunan dalam wilayah KESEDAR agar Gual Ipoh tidak terus menjadi “anak tiri” dalam pelan pembangunan.

Rasionalisasi Manfaat Lombong Emas Sokor: Hasil mineral yang diperoleh perlu dikembalikan dalam bentuk manfaat terus kepada penduduk tempatan, sekurang-kurangnya dengan pembinaan jalan alternatif yang elok dan selamat.

Saranan dan Tindakan

Sebagai langkah ke hadapan, Ahli Dewan Negeri Gual Ipoh Yang Berhormat (YB) Bahari Mohamad Nor tampil mengemukakan beberapa saranan tindakan segera yang perlu dipertimbangkan dalam jangka masa singkat untuk merancakkan pembangunan Gual Ipoh:

  1. Pembukaan Jalan Biok–Peralla – Laluan ini berpotensi menghubungkan dua daerah secara lebih efisien serta membuka akses baharu untuk aktiviti ekonomi dan sosial penduduk.
  1. Pembukaan Jalan Air Chenang Air Naga yang dalam kawasan pentadbiran Tanah Merah. Lebih mudah dan cepat dari jeli ke Gual Ipoh dapat menghidupkan kawasan pelancongan air terjun Lata Bijih dan Ulu Bertam.
  2. Sebuah jambatan merentasi sungai Kelantan Dapat menghubungi Machang dari Batu 30 ke Temangan – Kerilla terus ke Kuala 3 di Gual Ipoh
  3. Pembangunan kemudahan asas – Penyediaan stesen minyak, mesin ATM dan pasar raya mini 24 jam mampu menarik aktiviti niaga dan memberi keselesaan kepada komuniti setempat.
  1. Pemerkasaan pelancongan warisan- Jambatan Guillemard dan persekitarannya boleh dijadikan lokasi tarikan pelancongan sejarah dengan menambah baik kemudahan awam, promosi dan pakej lawatan.
  1. Pembangunan Mampan melalui Kerjasama- Usaha pembangunan infrastruktur boleh dilaksanakan melalui sinergi antara kerajaan negeri, agensi persekutuan dan sektor swasta, agar manfaatnya dirasai secara bersama-sama.

Gual Ipoh merupakan sebuah kawasan yang berpotensi besar untuk dimajukan dalam pelbagai sektor, khususnya pelancongan warisan dan ekonomi tempatan. Dengan perhatian yang bersesuaian serta perancangan pembangunan yang inklusif, kawasan ini boleh muncul sebagai nadi baharu pembangunan wilayah tengah Kelantan.

Sebenarnya, Gual Ipoh ialah “permata tersembunyi“ yang menanti untuk digilap. Oleh itu, Gual Ipoh tidak meminta lebih daripada haknya iaitu hak untuk disambungkan ke dunia luar, hak untuk bernafas dalam pembangunan negeri. Tidak adil jika sesebuah kawasan terus terpinggir semata-mata kerana tidak menjadi laluan utama. Gual Ipoh perlu disambungkan semula kepada peta masa depan Kelantan bukan sebagai beban, tetapi sebagai penyumbang ekonomi baharu yang lestari.

Sewajarnya pihak berwajib mempertimbangkan cadangan pembangunan yang dikemukakan oleh YB Bahari. Beliau juga meminta, “Jangan samakan Gual Ipoh dengan kawasan lain yang sudah maju. Kami bukan minta lebih, cuma mohon keadilan agar kami juga boleh bangkit, membina, dan berdikari.”

 

Keterangan Ringkas Peta Cadangan

Lokasi Gual Ipoh
Cadangan jalan untuk merentasi DUN Gual Ipoh.
Peta Cadangan Laluan Jalan Baharu Jalan Air Chenang ke Air Naga.
Penanda lokasi pelancongan (Jambatan Guillemard).
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi