Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKewartawanan sentiasa menjadi nadi dalam pembentukan masyarakat yang berinformasi. Dari zaman surat khabar bercetak hingga kehadiran kecerdasan buatan (AI) yang semakin canggih, dunia kewartawanan terus mengalami perubahan yang kompleks. Namun begitu, perubahan ini bukan hanya tentang teknologi dan cara kita menyampaikan berita tetapi juga melibatkan nilai, prinsip dan etika yang menjadi asas kepercayaan masyarakat.
Transformasi dalam kewartawanan semakin jelas dalam dunia media yang kini menjadi sebahagian daripada rutin harian di bilik berita. Hal ini demikian kerana AI telah meresap ke dalam pelbagai aspek, melalui algoritma yang menentukan berita mana yang muncul pada skrin media sosial, hingga laporan sukan, cuaca dan kewangan yang boleh dihasilkan secara automatik. Hal ini menunjukkan bahawa teknologi ini semakin mengambil alih tugas yang dahulunya memerlukan sentuhan manusia.
Walaupun AI menawarkan pelbagai manfaat, namun AI juga menimbulkan kebimbangan seperti kecekapan yang ditawarkan, kemampuan untuk menganalisis data dalam skala besar dan kelajuan dalam penghasilan kandungan. Memandangkan bidang kewartawanan memerlukan empati manusia, kejujuran dan tanggungjawab sosial, penting untuk kita menegaskan batasan sejauh mana AI boleh digunakan tanpa mengorbankan nilai-nilai ini.
Antara Algoritma dengan Kebenaran
Tidaklah mengejutkan jika kita memahami cara sistem AI berfungsi. Hal ini demikian kerana AI dibangunkan berdasarkan data dan pola yang ada, iaitu “belajar” daripada maklumat yang sedia ada, dan kemudian menghasilkan kandungan baharu dengan meniru struktur serta gaya bahasa manusia. Namun begitu, AI tidak mempunyai pemahaman moral atau kepekaan budaya, jadi AI tidak dapat membezakan antara berita yang sahih dengan berita rekaan yang mungkin berbahaya. Contohnya, terdapat situasi di mana AI secara tidak sengaja menghasilkan berita palsu tentang kematian seseorang atau menyiarkan naratif yang berat sebelah disebabkan oleh data latihan yang tidak seimbang.
Selain itu, banyak algoritma direka untuk mengutamakan keterlibatan pengguna, yang biasanya mendorong kepada penyebaran kandungan sensasi atau kontroversial. Akibatnya, ekosistem maklumat semakin tercemar dengan fakta terpilih, pandangan melampau dan berita separa benar yang lebih memancing emosi berbanding dengan pertimbangan rasional. Situasi ini bukan sahaja mencabar kredibiliti institusi media tetapi mampu meruntuhkan kepercayaan masyarakat terhadap kebenaran itu sendiri.
Penentu Arah dalam Era Digital
Dalam konteks ini, etika kewartawanan memainkan peranan penting dalam era digital. Prinsip seperti keadilan, ketepatan, tidak memudaratkan dan akauntabiliti yang menjadi asas bagi kerjaya wartawan kini sedang diuji, terutama ketika sebahagian kandungan dihasilkan oleh sistem yang tidak memiliki kesedaran nilai. Oleh itu, persoalan utama yang timbul adalah siapakah yang akan memastikan prinsip ini terus dipertahankan dalam ekosistem maklumat yang semakin rumit ini?
Terutamanya dalam laporan yang melibatkan mangsa jenayah, kanak-kanak, komuniti terpinggir, atau isu sensitif seperti agama dan etnik, dalam situasi ini, kehadiran etika menjadi perkara yang sangat penting. AI tidak mempunyai empati untuk memahami nuansa emosi atau kesan jangka panjang terhadap subjek berita. Oleh itu, peranan wartawan sebagai pengawal maklumat bukan sahaja masih relevan tetapi juga semakin penting untuk memastikan teknologi tidak mengaburi batas kemanusiaan.
Etika: Jambatan antara Teknologi dengan Kemanusiaan
Pada zaman ini, kandungan yang dihasilkan oleh manusia dan mesin semakin bercampur, etika muncul sebagai sempadan penting yang menentukan sama ada kewartawanan akan terus berpegang pada nilai kemanusiaan atau sekadar menjadi produk digital yang kehilangan jiwa dan tanggungjawab. Etika kewartawanan tidak boleh digantikan dengan algoritma kerana pertimbangan etika sering melibatkan dilema yang memerlukan analisis kontekstual, kepekaan empati terhadap subjek berita, serta pemahaman mendalam tentang impak sosial jangka panjang terhadap sesuatu laporan.
Sebagai contoh, dalam isu yang melibatkan kelompok rentan seperti kanak-kanak, mangsa jenayah, atau komuniti minoriti, laporan yang dihasilkan haruslah seimbang antara keperluan untuk melaporkan kebenaran dengan menjaga maruah serta keselamatan subjek. AI tidak memiliki kemampuan untuk menilai nuansa sebegini. Oleh itu, jika penggunaan AI dalam kewartawanan tidak disertai dengan pengawasan manusia yang beretika, kita berisiko membiarkan mesin menentukan naratif tanpa mengambil kira akibatnya.
Secara umum, etika merupakan cabang falsafah yang membincangkan aspek moral dalam kehidupan manusia, khususnya konsep benar dan salah dalam perlakuan dan tindakan. Namun begitu, memberikan definisi yang tepat tentang etika bukanlah mudah kerana perspektif dan nilai masyarakat berbeza-beza. Perkara yang dianggap beretika oleh seseorang mungkin tidak sama dengan pandangan orang lain, keadaan ini menunjukkan bahawa etika bukanlah konsep yang bersifat universal, sebaliknya dipengaruhi oleh konteks sosial dan budaya.
Kewartawanan sebagai Amalan Berjiwa
Dalam konteks ini, kewartawanan bukan sekadar satu pekerjaan tetapi juga sebuah amalan sosial yang berlandaskan prinsip, jiwa dan tanggungjawab. Wartawan yang berpegang pada etika tidak hanya menyampaikan maklumat tetapi juga berusaha untuk memahami makna di sebalik fakta, memberikan suara kepada mereka yang tidak bersuara dan mempertahankan nilai kemanusiaan dalam setiap berita yang ditulis. Nilai-nilai ini merupakan sesuatu yang tidak dapat digantikan oleh mana-mana mesin, walaupun teknologi semakin canggih. Oleh itu, kewartawanan memerlukan sentuhan kemanusiaan yang mendalam agar berita yang disampaikan benar-benar bermakna dan berintegriti.
Seiring dengan perkembangan teknologi, penggunaan AI dalam dunia kewartawanan semakin meluas. Namun begitu, kemajuan ini tidak semestinya menghapuskan nilai kemanusiaan tersebut. Sebaliknya, memerlukan pendekatan yang seimbang di mana teknologi berfungsi sebagai alat sokongan dan bukan pengganti manusia. Oleh itu, wartawan perlu dilatih untuk memahami cara AI berfungsi agar dapat mengenal pasti potensi dan hadnya. Dengan cara ini, identiti dan prinsip kewartawanan dapat terus terpelihara di tengah-tengah gelombang transformasi digital yang semakin pesat.
Keseimbangan sebagai Asas Masa Hadapan
Menyedari cabaran dan peluang yang ada, Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 mengambil peranan penting dalam memperkukuh nilai, prinsip dan tanggungjawab kewartawanan untuk menghadapi era baharu. Tema HAWANA 2025, “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika,” menekankan betapa pentingnya wartawan membina ekosistem media yang bukan sahaja maju dari segi teknologi tetapi juga berlandaskan etika, integriti dan pertimbangan kemanusiaan. Tema ini menjadi panduan bagi seluruh warga media agar terus berpegang pada nilai teras dalam menghadapi cabaran digital.
Pada hakikatnya, media masa kini bukan sekadar penyampai maklumat. Media juga berfungsi sebagai pemangkin perpaduan nasional, pembangunan mampan dan kesejahteraan sosial, yang merangkumi pelbagai aspek penting dalam kehidupan masyarakat seperti politik, ekonomi, pendidikan, budaya dan kemanusiaan. Dalam konteks ini, keseimbangan antara kemajuan teknologi dengan nilai teras kewartawanan menjadi suatu keperluan mendesak untuk memastikan media terus relevan dan dipercayai.
Sehubungan dengan itu, HAWANA bukan sahaja menjadi acara tahunan tetapi juga platform utama untuk menyemai kesedaran tentang peranan sebenar media sebagai rakan pembangunan negara dan penjaga nurani masyarakat. Dengan menegakkan keseimbangan antara teknologi dengan etika, media dapat terus memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang berinformasi dan bertanggungjawab sekali gus mendepani cabaran dunia tanpa sempadan
Mengiktiraf dan Memartabatkan Pengamal Media
Sebagai penghargaan tertinggi kepada wartawan dan pengamal media di Malaysia, HAWANA berfungsi sebagai simbol pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam membentuk naratif nasional dan memperkuat jalinan sosial dalam masyarakat. Hal ini menegaskan lagi peranan media sebagai penghubung utama antara kerajaan, rakyat dan dunia luar.
Peranan media yang luas ini tidak hanya terhad kepada laporan berita tetapi juga merangkumi pelbagai aspek kehidupan masyarakat seperti ekonomi, politik, hiburan, agama, sains, teknologi, kebajikan, alam sekitar dan ekologi. Fungsi ini menjadikan media sebagai cermin realiti sosial dan agen perubahan yang berpengaruh dalam masyarakat.
Oleh itu, pengiktirafan melalui HAWANA bukan sahaja menjadi pemangkin semangat kepada pengamal media untuk terus berkarya dengan dedikasi tetapi juga menekankan keperluan agar mereka sentiasa berpegang kepada prinsip integriti, akauntabiliti dan etika profesional. Dalam era digital yang sentiasa berubah, pengamal media bukan sekadar pencatat sejarah tetapi juga penjaga kebenaran dan pembina tamadun maklumat yang berwibawa dan berjiwa rakyat.
Mesin seperti AI memang dapat membantu kita dalam mencari data, membuat visualisasi atau merangkum teks tetapi hanya manusia yang dapat memberikan makna, menjaga nilai dan menyampaikan cerita dengan jiwa. Oleh itu, wartawan yang jujur, berani dan beretika akan selalu relevan, kerana mereka membawa sesuatu yang tidak dapat diprogram, iaitu kepekaan hati, kesedaran moral dan keberanian untuk mengungkapkan kebenaran walaupun dalam situasi yang penuh ketidakpastian.
Seiring dengan pesatnya kemajuan teknologi, meskipun kita menghargai kemudahan yang ditawarkan oleh AI, prinsip dan integriti dalam dunia kewartawanan tidak boleh dikorbankan demi kecepatan. Oleh itu, di tengah derasnya arus digital, wartawan harus tetap teguh di persimpangan antara logik mesin dengan nurani manusia, memastikan bahwa tanggungjawab mulia mereka untuk menyampaikan kebenaran dengan penuh kejujuran selalu dijunjung demi kebaikan dan kesejahteraan bersama-sama.