Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSelepas hampir dua minggu berperang, konflik yang melibatkan Israel, Amerika Syarikat(AS) dan Iran telah berhenti dengan satu gencatan senjata yang diumumkan oleh Presiden Trump pada 24 Jun yang lalu. Konflik ini telah dimulai oleh Israel apabila mereka mengebom beberapa buah tempat di Iran yang sedang membangunkan tenaga nuklear. Di samping itu, Israel juga telah mengebom dan membunuh beberapa orang pemimpin atasan tentera Iran termasuklah ketua turus angkatan tenteranya.
Oleh sebab Israel tidak mempunyai kemampuan untuk menembusi kompleks pembangunan utama nuklear Iran yang terletak jauh di bawah sebuah pergunungan di Fordo,mereka telah meminta bantuan daripada AS kerana AS mempunyai bom seberat 30 ribu pound yang digelar GBU-57 A/B Massive Ordnance Penetrator Bomb yang mampu menembusi konkrit sedalam 60 meter. Dengan menggunakan tujuh buah pesawat B-2, sebanyak 14 bom tersebut telah digugurkan oleh AS untuk memusnahkan tiga kompleks pembangunan nuklear Iran pada 22 Jun yang lepas.
Trump menyatakan bahawa misi pengeboman tersebut telah berjaya sepenuhnya. Namun begitu, penganalisis menyatakan bahawa sebenarnya hal itu tidak berlaku kerana Iran telah memindahkan ratusan kilogram uranium yang telah dibangunkan ke tempat lain sebelum pengeboman berkenaan dilakukan.
Beberapa hari selepas pengeboman tersebut, Trump telah memaksa Israel pula untuk berhenti menyerang Iran dan berjaya memujuk Iran supaya bersetuju melakukan gencatan senjata. Persoalannya, pihak manakah yang telah menang dan apakah keuntungan kepada AS akibat serangannya terhadap Iran?
Perkara yang jelas ialah Iran masih mampu membangunkan program nuklearnya walaupun kompleks nuklearnya telah dirosakkan dan belasan pakar nuklearnya telah dibunuh. Mereka mungkin hanya memerlukan beberapa bulan atau tahun sahaja untuk membaiki semula kompleks yang dirosakkan. Barisan pelapis pakar nuklearnya juga mampu menggantikan mereka yang telah dibunuh.
Selama ini, Iran sering kali menegaskan bahawa program nuklearnya adalah untuk tujuan damai. Susulan daripada pengeboman tersebut, Iran telah berikrar untuk membina semula sebarang keupayaan yang telah dimusnahkan. Presiden Iran, Masoud Pezeshkian mengisytiharkan bahawa Iran akan membina semula dan meneruskan projek nuklearnya sebaik-baik sahaja konflik berakhir. Iran percaya bahawa mereka mempunyai hak untuk membangunkan teknologi nuklear dan hal tersebut tidak boleh dirunding.
Adalah sukar untuk meramalkan sama ada Iran akan berusaha dengan lebih giat lagi untuk membangunkan projek bom nuklearnya selepas serangan tersebut. Kini, jelaslah bahawa objektif Israel dan AS untuk melumpuhkan program nuklear Iran telah gagal.
Objektif Israel dan AS untuk menjatuhkan kerajaan Iran dengan menggunakan istilah “perubahan rejim” juga tidak berjaya. Sebaliknya semasa peperangan berlaku, rakyat Iran yang selama ini benci akan kerajaan mereka telah bersatu bersama-sama pemimpin mereka kerana semangat patriotik yang tinggi. Bahkan imej pemimpin Iran di mata rakyatnya dan juga dunia menjadi lebih baik sekarang kerana kejayaan mereka menggagalkan usaha Israel dan AS untuk menghancurkan negara mereka. Walaupun begitu, tidak dinafikan banyak kemudahan tentera dan saintifiknya telah musnah akibat pengeboman oleh Israel. Hampir 1000 penduduk Iran terkorban dan lebih daripada 3000 orang telah tercedera.
Sementara itu, Israel juga telah mengalami banyak kerugian akibat daripada serangan balas oleh Iran. Lebih kurang 30 rakyatnya telah terkorban dan banyak kemudahan serta bangunannya yang telah rosak akibat daripada serangan balas Iran. Ekonomi Israel juga mengalami kerugian yang teruk, iaitu bukan sahaja akibat perbelanjaan berjumlah berbilion-bilion dolar dari segi peralatan senjata yang digunakan, bahkan juga akibat perniagaan yang terpaksa ditutup dan kemerosotan keyakinan pelabur asing serta rakyat Israel sendiri tentang jaminan tahap keamanan di Israel. Keyakinan rakyat tentang kemampuan tentera Israel melindungi mereka turut terjejas teruk kerana sistem ‘Iron Dome’ kebanggaan mereka tidak dapat menghancurkan kesemua peluru berpandu yang berjumlah hampir 500 buah dan 400 dron yang Iran sasarkan ke arah Israel.
Kerugian Israel yang paling ketara ialah imejnya yang semakin teruk di mata masyarakat dunia akibat daripada tindakannya menyerang Iran tanpa sebarang provokasi. Hal ini membuktikan dengan jelas bahawa negara haram Zionis tersebut sememangnya tidak menghormati undang-undang antarabangsa langsung. Imejnya yang buruk akibat daripada jenayah genosid yang dilakukannya di Gaza diburukkan lagi dengan serangannya terhadap Iran. Imej buruk ini termasuklah daripada kaca mata sebahagian besar rakyat AS sendiri. Kini, laungan yang menggesa supaya kerajaan AS menghentikan bantuan ke Israel semakin lantang dan bertambah daripada pelbagai kumpulan di AS.
Bukti yang paling jelas tentang hakikat ini ialah kemenangan Zohran Mamdani dalam pilihan raya calon parti Demokrat untuk menjadi Datuk Bandar, Bandaraya New York pada 24 Jun yang lalu. Selama ini ramai penduduk New York menyokong Israel, terutama daripada kalangan ahli parti Demokrat. Namun kini, mereka telah memilih untuk menyokong Zohran Mamdani yang diketahui umum sebagai seorang yang membenci Benjamin Netanyahu serta membenci polisi zalim Israel terhadap warga Palestin. Bahkan beliau dengan lantang menyuarakan ketidaksetujuan beliau dengan konsep negara Israel sebagai sebuah negara hanya untuk orang Yahudi sahaja kerana beliau mahukan Israel menghormati hak warga Palestin untuk tidak didiskriminasikan oleh Israel.
AS turut mengalami kerugian akibat daripada keterlibatannya menyokong jenayah Israel.Dianggarkan bahawa AS telah berbelanja sebanyak USD200 juta dalam operasi menyerang Iran. Imejnya juga turut tercalar daripada beberapa aspek. Mereka bukan sahaja telah gagal mencapai objektif serangannya bahkan telah dilihat sebagai sebuah negara yang tidak menghormati undang-undang antarabangsa kerana melakukan serangan tanpa alasan yang kukuh. AS tidak lagi boleh mendabik dada sebagai negara yang boleh mengajar pihak lain tentang pentingnya menghormati undang-udang antarabangsa. Rakyatnya juga telah berpecah dalam aspek ini kerana sebahagian besar telah mengecam dengan lantang keputusan Trump menyerang Iran.
Akibatnya, AS telah membuat keputusan untuk berkompromi dengan Iran sejurus selepas mengebom Iran. Baru-baru ini, Trump dilaporkan telah berkata dalam siaran Truth Social bahawa China boleh terus membeli minyak Iran dan berharap akan membeli daripada AS juga. Isyarat ini jelas menunjukkan bahawa Washington tertekan dan berusaha menstabilkan kembali pasaran minyak dan cuba menenangkan Beijing di tengah-tengah krisis Iran. Jelaslah bahawa AS merasakan bahawa peperangan baru-baru ini merugikan mereka dari segi kekuatan ekonomi dan geopolitiknya sendiri.
Walaupun serangan Israel dan AS merupakan suatu tindakan biadab yang menyalahi undang-undang antarabangsa, namun wujud aspek positif daripada peperangan ini,iaitu kemungkinan besar peluang Palestin untuk bebas daripada cengkaman zalim Zionis Israel menjadi semakin cerah. Hal ini berlaku akibat daripada sokongan masyarakat AS sendiri yang semakin kuat kepada perjuangan warga Palestin serta kebencian mereka kepada rejim pengganas Israel.
Israel sekarang bukan sahaja dilihat sebagai zalim kepada warga Palestin, bahkan dilihat sebagai negara yang tidak mampu untuk hidup aman damai dengan negara jirannya. Selain itu, mereka juga dilihat sebagai negara yang mahu memperkuda AS dengan melakukan kacau bilau di rantau Asia Barat. Ramai rakyat AS sangat marah dengan hakikat bahawa duit cukai yang dibayar oleh mereka kepada kerajaan telah digunakan oleh Israel untuk melakukan pelbagai jenayah terhadap rakyat Palestin.
Jika Iran dapat membina hubungan positif dengan AS selepas ini seperti yang dimahukan oleh Trump, Israel akan terus menjadi lemah. Hujah Israel selama ini bahawa dunia Barat dan AS mesti menyokongnya kerana dianggap sebagai wira utama yang mempertahankan kepentingan mereka di rantau Asia Barat akan menjadi semakin tidak relevan. Hubungan baik antara Iran dengan negara lain di Asia Barat akan meyakinkan AS bahawa mereka sebenarnya tidak ada keperluan untuk menyokong Israel.
Usaha Benjamin Netanyahu untuk menyerang Iran dan menarik AS ke dalam kancah peperangan mengakibatkan kedudukan Israel semakin lemah. Bukan sahaja ekonominya terjejas teruk, bahkan imejnya juga semakin teruk di mata rakyat AS. Mungkinkah situasi ini akan menguntungkan perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan diri mereka daripada penjajahan dan cengkaman zalim rejim Zionis Israel di bumi mereka?
Benarlah firman Allah dalam surah Al Imran ayat 54:“Dan (orang-orang kafir) itu membuat tipu daya, dan Allah membalas tipu daya. Dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya.”
Profesor Emeritus Dr. Mohd Nazari Ismail, Pengarah Hashim Sani Centre for Palestine Studies, Universiti Malaya.