Diterbitkan pada 1 Ogos 2025, 09:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bahagian Kedua

Setiap rakyat mempunyai hajat dan harapan masing-masing, iaitu bermula daripada kanak-kanak hinggalah kepada golongan dewasa. Kesemuanya merupakan anggota atau warga di sesebuah negara. Dalam konteks Malaysia, rakyat mengharapkan dasar dan perancangan lebih baik oleh kerajaan.

Kita perlu merancang dasar dan program pembangunan mengikut usia dan latar belakang masing-masing. Begitu juga bagi setiap negeri dan wilayah. Sebagai perumpamaan, Sabah mempunyai keperluan tersendiri, berbeza daripada Sarawak dan negeri lain di Semenanjung.

RMK-13 Hadir dalam Suasana Ketidaktentuan Global

Faktor seperti ketegangan geopolitik, peningkatan hutang awam dan swasta, serta ekonomi global yang berpecah-belah menyumbang kepada kerumitan dan ketidakpastian landskap antarabangsa. Perubahan global turut menuntut Malaysia menyesuaikan strategi ekonomi agar kekal berdaya saing. Tinjauan global menunjukkan ekonomi global dijangka berkembang pada purata 2.5 peratus setahun dari 2024 hingga 2050, manakala kuasa ekonomi beralih ke Timur dan Selatan, disusuli dengan dasar monetari ketat menambah tekanan baharu.

RMK-13, bagi tempoh 2026 hingga 2030, dilihat akan bersandarkan pada 16 fokus teras yang berhasrat untuk melonjakkan Malaysia ke barisan hadapan ekonomi Asia, dan pada masa yang sama diharapkan dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Mengambil kira peruntukan Belanjawan 2025, yakni paling tinggi dalam sejarah ekonomi negara, RMK-13 juga menyediakan dana lebih besar bagi merancakkan ekonomi negara sepanjang lima tahun akan datang.

RMK-12 akan berakhir pada tahun ini, yang dilancarkan pada 2021, menyediakan sebanyak RM400 bilion untuk merealisasikan kesemua agenda pembangunan negara. Walau bagaimanapun dana untuk RMK-12 telah ditambah semasa pembentangan Kajian Separuh Penggal, yang dibawa ke Parlimen oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada September 2023, 10 bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

RMK-13 merupakan dokumen pertama di bawah Kerajaan Perpaduan yang dibentuk susulan keputusan PRU lalu, dengan diterajui oleh Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak (GRS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan sejumlah parti individu – kerajaan campuran selepas PRU-15. RMK-12 dibentangkan setahun selepas kerajaan PH tumbang selepas mengetuai kerajaan pusat.

Selain itu, RMK-13 merupakan dasar perancangan penuh pertama bagi Dato’ Seri Anwar Ibrahim sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 pada November 2022. Pada Oktober lalu, beliau membentangkan belanjawan dengan peruntukan terbesar dalam sejarah, iaitu sebanyak RM421 bilion, termasuklah belanja pembangunan sebanyak RM86 bilion untuk melaksanakan 120 ikhtiar.

Selain itu, mengambil kira sejumlah insentif yang diberikan di bawah Pengumuman Penghargaan oleh kerajaan baru-baru ini, dipercayai bahawa penggubalan RMK-13 telah dirombak susulan peletakan jawatan oleh Menteri Ekonomi, YB Rafizi Ramli baru-baru ini, dana dan peruntukan bagi rancangan kali ini dijangka akan ditambah bagi memenuhi keperluan dan cabaran, iaitu bukan sahaja dari dalam negara, tetapi luar negara termasuklah pelaksanaan tarif baharu oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Terdapat 16 keutamaan dalam RMK-13, iaitu reformasi pasaran buruh; reformasi fiskal; reformasi pendidikan; reformasi kesihatan; ekonomi hijau; ekonomi perak (untuk kemudahan warga emas); industri strategik bernilai tinggi; ekonomi biru; pengangkutan awam; keseimbangan wilayah; masyarakat progresif; reformasi perumahan; kesihatan alam sekitar; libat urus sektor ketiga; pembiayaan untuk pertumbuhan dan kecekapan sektor awam.

Bertitik tolak daripada 16 keutamaan itu, rata-rata input yang diperoleh daripada orang ramai, sama ada dalam media sosial mahupun sesi libat urus awam yang diadakan, fokus yang digariskan oleh Kementerian Ekonomi tidak tersasar jauh dariapda landasannya.

Pelbagai lapisan masyarakat mahukan kualiti kehidupan yang lebih baik bersandarkan kepada beberapa faktor sokongan dan asas, antaranya termasuklah keperluan berterusan untuk memerangi kemiskinan dan meningkatkan ekonomi negara, yang mencerminkan status sosioekonomi yang lebih baik sepanjang lima tahun akan datang. Malah, rakyat mahukan pendapatan isi rumah yang lebih baik berbanding dengan sebelum ini, sekali gus mengambil kira kos sara hidup yang terus meningkat.

Pada masa yang sama, rakyat mahukan upah dan gaji yang wajar, selain peluang pekerja yang setara dengan kelayakan pengajian tinggi. Malah, rakyat juga mahukan sistem pendidikan dan kemudahan pembelajaran, termasuklah bilangan sekolah yang lebih baik didirikan di kawasan luar bandar.

Tidak ketinggalan dalam senarai harapan dan permintaan sistem dan kemudahan kesihatan lebih bermutu, terutamanya selepas pandemik COVID-19. Rakyat juga mahu kerajaan mengutamakan pembangunan aspek keterjaminan makanan, yang menjadi senjata pertahanan negara dalam jangka panjang, sekali gus mengurangkan import pelbagai jenis sumber makanan yang dianggarkan RM70 bilion setahun.

Turut diharapkan ialah dasar kebajikan dan kepentingan golongan emas, terutamanya selepas mereka bersara. Rakyat mahu kerajaan memberikan tumpuan ke atas Agenda Negara Menua sebagai persediaan negara memandangkan Malaysia secara rasmi akan menjadi negara tua pada tahun 2044 dengan sebanyak 16 peratus rakyat berstatus pencen.

Pada 13 Jun lalu, Perdana Menteri berkata, RMK-13 akan menjadi titik tolak kepada usaha kerajaan dalam menangani cabaran ekonomi negara, termasuklah kesenjangan pembangunan dan pendapatan, ruang fiskal yang terhad dan peralihan struktur ekonomi yang perlahan. Menurut beliau, RMK-13 adalah antara dokumen dasar utama kerajaan untuk melaksanakan agenda Ekonomi MADANI.

Berteraskan kerangka Ekonomi MADANI, RMK-13 bertujuan untuk melonjakkan Malaysia ke barisan hadapan ekonomi Asia sambil meningkatkan kualiti hidup rakyat. RMK13 muncul dalam suasana ketidaktentuan global. Faktor seperti ketegangan geopolitik, peningkatan hutang awam dan swasta, serta ekonomi global yang terpecah menambah kerumitan dan ketidakpastian.

Malaysia berhadapan dengan cabaran struktur seperti peralihan ekonomi yang perlahan, kekurangan tenaga kerja mahir, dan pasaran buruh yang tidak kompetitif, selain isu seperti kos sara hidup yang meningkat, ketidaksamaan sosioekonomi dan ketidakseimbangan pembangunan wilayah. RMK-13 dilihat mampu menangani isu-isu ini melalui reformasi yang disasarkan, penambahbaikan tadbir urus dan pemajuan sektor berimpak tinggi seperti teknologi hijau dan inovasi digital.

Secara umumnya, RMK-13 memberikan tumpuan kepada empat mega trend utama yang akan membentuk masa depan, iaitu:

  • Peralihan Blok Ekonomi – Malaysia perlu menyesuaikan strategi untuk merebut peluang perdagangan dan pelaburan di Asia. Pendapatan isi rumah dijangka meningkat seiring dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), namun hutang yang meningkat di negara maju kini menjadi cabaran.
  • Evolusi Teknologi dan Digital – Dengan kemajuan kecerdasan buatan (AI), data raya dan robotik, RMK-13 bertujuan untuk merapatkan jurang teknologi antara Malaysia dengan negara maju melalui pelaburan dalam penyelidikan, inovasi dan infrastruktur digital.
  • Demografi dan Kualiti Hidup – Menjelang tahun 2044, sebanyak 20% penduduk Malaysia akan berusia lebih 65 tahun; RMK-13 akan memenuhi keperluan warga emas sambil memastikan generasi muda mendapat pendidikan, penjagaan kesihatan dan peluang ekonomi yang berkualiti.
  • Krisis Alam Sekitar dan Iklim – RMK-13 mengintegrasikan amalan lestari untuk mencapai sasaran tenaga boleh diperbaharui dan iklim Malaysia, termasuklah usaha untuk mengurangkan kehilangan biodiversiti, mengurus risiko iklim dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

RMK-13 bukan sekadar penyelesaian jangka pendek, tetapi langkah ke arah visi pembangunan jangka panjang di Malaysia. Aspirasi menjelang tahun 2040 bagi mewujudkan masyarakat produktif dan inovatif dengan taraf hidup yang tinggi dan persekitaran yang lestari.

Maka itu, RMK-13 perlu membawa pembaharuan menyeluruh. Kita mengharapkan pendekatan luar biasa berbanding dengan 12 Rancangan Malaysia (RM) sebelum ini. Gaya penyampaian laporan terkini jauh berbeza dan berwarna-warni dengan puluhan infografik yang berkesan untuk memahamkan rakyat. Diyakini, tujuan, matlamat dan teras kali juga akan jauh berbeza lagi mantap demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Dr. G Manimaran merupakan koordinator media di Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (INPUMA), Universiti Malaya, dan juga penganalisis politik.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi