Diterbitkan pada 26 Ogos 2025, 14:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sebuah catatan yang dimuat naik oleh penerbit di sebuah universiti di Pulau Pinang pada 12 Disember 2024 berbunyi “Ramai keliru tentang definisi sebenar kaum Jawi Peranakan di Pulau Pinang. Adakah mereka berasal daripada pedagang India, Arab, Gujerat, Afghani atau lain-lain?” Soalan sebegini mula muncul terutamanya dalam wacana popular kira-kira 30 tahun lalu. Sebelum itu, tidak banyak persoalan mengenai asal usul Jawi Peranakan. Identiti golongan Jawi Peranakan dijawab dengan jelas oleh Roff (1967) dan Fujimoto (1989).

Pada hakikatnya, lebih daripada 90 peratus identiti sosial Melayu itu berasal dari Selatan India.  Lazimnya bahasa ibunda leluhur mereka ialah Tamil, serta jumlah yang lebih kecil lagi bahasa Malabari.

Dalam sejarah Kepulauan Melayu, Pantai Koromandel yang sebahagiannya meliputi negeri Tamil Nadu, ialah pusat pelayaran dan perdagangan yang membawa gelombang bertali arus penduduk Islam yang bergelar Chulia, dan disebut dari Kalinga dalam hikayat Melayu. Mereka mendarat di sepanjang pantai Semenanjung Tanah Melayu hingga ke sebelah utara yang meliputi sebahagian wilayah Myanmar dan Thailand. Ramai dari benua kecil India, juga wilayah Arab-Farsi, telah mendarat antara Phuket dengan wilayah Kedah hingga ke Bagan, Seberang Perai.

Istilah dan maksud Jawi Peranakan secara kolokialnya, diistilahkan sebagai Jawi Pekan digunakan oleh segelintir masyarakat di Tanjong, Pulau Pinang. Penyelidikan identiti Jawi Peranakan ini menghadapi dua masalah – pertama, maksudnya yang dipesongkan, dan kedua, kelenturan dan kelunturan tanggapan dan kesedaran diri. Jawi Peranakan secara kolektifnya ialah Melayu dari segi takrif Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Dari segi genealogi dan leluhur, perkahwinan antara wanita Melayu dengan lelaki India Muslim dari Selatan India telah berlaku sejak berkurun lamanya di seluruh semenanjung Tanah Melayu, Borneo, Sumatera, Jawa, serta bahagian sebelah timur rantau kepulauan Melayu. Namun begitu, kategori identiti Jawi Peranakan hanya terserlah, dan disebut sedemikian di Pulau Pinang dan Singapura.

Di negeri lain, mereka terselindung di bawah identiti dominan Melayu. Di lain-lain tempat seperti di Aceh dan Minangkabau, mereka memperkenalkan diri sebagai Orang Aceh atau Orang Minang. “Kita orang Minang” jawapan yang saya terima daripada sekumpulan keluarga di Pariaman, Sumatra Barat beberapa tahun lalu di sebuah warung roti canai. Tanggapan saya ialah mereka berketurunan dari selatan India. Itulah dampaknya proses asimilasi.

Naratif dan perspektif selama ini dipengaruhi oleh nilai, kepentingan dan kecenderungan identiti dan budaya para pengkaji, yang rata-ratanya terdiri daripada ahli akademik, juga aktivis dari Pulau Pinang sendiri. Hasil penulisan mereka (termasuk saya sendiri) mencerminkan sesuatu perspektif pengalaman serta konstruksi kehidupan sebagai kaum Jawi Peranakan.

Saya mempersoalkan keseimbangan (objektiviti), dan sikap berkecuali (neutral) mereka yang mengkaji identiti Jawi Peranakan dari kalangan sarjana Melayu, atau Jawi Peranakan sendiri yang mengakui kesedaran mereka sebagai ahli masyarakat Jawi Peranakan, atau sarjana daripada kalangan mereka yang bukan Melayu.

Saya pernah menilai sebuah manuskrip mengenai kerencaman identiti dan etnisiti di Malaysia yang ditulis oleh sarjana Melayu yang nampaknya mempunyai sikap prejudis terhadap apa-apa yang kita anggap sebagai “Darah Keturunan Keling (DKK). Saya menegur bahawa terdapat kelompangan dalam naratifnya sedangkan beliau memuatkan identiti Peranakan Cina dan Peranakan India, dan etnisi lain yang bukan daripada kalangan Jawi Peranakan. Masalah prejudis dalam kalangan sarjana Melayu banyak menghalang wacana yang lurus mengenai Melayu yang mempunyai darah India Muslim dari selatan India. Sikap sebegitu tidak ada pada sarjana Melayu terhadap orang Melayu berketurunan dari India Utara.

Saya tidak beranggapan bahawa semestinya fenomena Jawi Peranakan dirumuskan dengan lebih objektif jika diselidik daripada kaca mata penyelidik dari luar masyarakat Melayu atau Malaysia; atau sebaliknya mereka daripada kalangan masyarakat Jawi Peranakan itu tidak objektif. Di ruang ini, saya menimbulkan persoalan sifat berkecuali dan berat sebelah sarjana tertentu dalam mengkaji suatu fenomena sosial yang bersifat hibrid atau kreol (bangsa/identiti campuran).

Dalam kalangan sarjana tertentu kebelakangan ini, akibat daripada pengaruh faktor nasionalisme, etnosentrisme dan mengangkat keunikan masyarakat mereka sendiri,  kajian mereka bersifat berat sebelah. Mereka secara sedar atau tidak memenuhi naratif yang selari dengan nilai dan subjektiviti mereka.

Dalam hal meneliti sosiologi dan etnografi masyarakat dan identiti Jawi Peranakan ini, saya lebih cenderung merujuk kepada penelitian Helen Fujimoto, penyelidik berbangsa Jepun yang menghasilkan kajian yang bertajuk The South Indian Muslim Community and the Evolution of the Jawi Pernakan in Penang up to 1948 yang diterbitkan sebagai sebuah monograf setebal 220 halaman pada tahun 1989 oleh ILCAA,  Tokyo Gaikokugo Daigaku.

Dalam Prakata beliau, Fujimoto mengungkap bahawa tidak banyak yang telah ditulis mengenai kehidupan dan kegiatan kumpuan Jawi Peranakan (Disebutnya sebagai Jawi Peranakan group) di Pulau Pinang; atau mengenai kaum India Muslim selatan (disebutnya South Indian Muslims) yang merupakan leluhur kepada keturunan kaum Jawi Peranakan.

Saya ingin kembali kepada takrif kumpulan Jawi Peranakan yang dikemukakan oleh Fujimoto. Kumpulan ini berkembang melalui perkahwinan antara lelaki India selatan dengan wanita Melayu. Sejarah awal masyarakat Jawi Peranakan India Muslim Selatan merupakan peninggalan masyarakat perdagangan di Melaka seperti yang diceritakan oleh Munshi Abdullah.

Fujimoto membangkitkan implikasi persoalan identiti – sensitiviti dan kekaburannya.  Jelasnya keadaan sebeginilah yang membawa kepada kepentingan untuk mengkajinya dengan penelitian yang lebih terperinci.

Beliau menyebut mengenai sensitiviti kepada persoalan identiti. Hal ini merujuk kepada mereka yang telah menganggap diri mereka Melayu, tetapi enggan atau malu mengaku bahawa mereka berketurunan India Muslim, mempunyai datuk nenek yang bertutur dalam bahasa Tamil, yang lazimnya disebut mamak oleh orang Melayu.

Mungkin keadaannya berbeza (dari segi masalah penelitian) terhadap Jawi Peranakan yang berketurunan Malabari; atau mereka yang menganggap diri mereka sebagai Peranakan Arab di Pulau Pinang dan persekitarannya.

Prof. Dato’ Dr. Ahmad Murad Mohd Noor Merican, Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual ISTAC-IIUM.

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi