Diterbitkan pada 29 September 2025, 08:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Berlalunya bulan Ogos dan September pada setiap tahun semestinya meninggalkan pelbagai kenangan manis dalam setiap diri masyarakat di Malaysia. Mana tidaknya, bulan Ogos menjadi saksi tanah air tercinta menyambut ulang tahun kemerdekaan sejak tahun 1957. 31 Ogos menjadi satu tarikh keramat negara menyambut hari kebebasan dengan penuh kemegahan.

Pada tarikh tersebut, kebanyakan masyarakat di negara ini mahupun pelancong dari luar negara semestinya tidak melepaskan peluang untuk meraikan sambutan Hari Kebangsaan di tempat yang telah dikhaskan seperti di Putrajaya. Dentuman meriam silih berganti menggegarkan seluruh dataran. Terdapat juga pihak yang mengambil kesempatan menyambut Hari Kebangsaan pada pelbagai peringkat, contohnya sambutan pada peringkat komuniti kampung. Acara seperti perarakan kenderaan berhias dan hiasan rumah berkonsepkan kemerdekaan semestinya menjadi perhatian dalam bentuk pertandingan. Tambahan pula, masyarakat pada hari ini gemar berkongsi sambutan Hari Kebangsaan tanpa mengira generasi pada pelbagai platform media sosial seperti Facebook, TikTok dan sebagainya sekali gus memeriahkan lagi suasana.

Kemeriahan Ogos silih berganti dengan kedatangan September yang turut  mempunyai seribu satu makna yang tersendiri dalam lipatan sejarah negara. 16 September 1963 menjadi suatu tarikh keramat yang menjadi bukti kepada pembentukan Malaysia pada hari ini. Sejarah yang tercatat pada tarikh keramat ini tidak berlaku dengan mudah malah merupakan hasil daripada kebijaksanaan rundingan pemimpin-pemimpin negara yang bertungkus lumus memerah keringat, tenaga dan akal fikiran demi sebuah kedamaian berterusan.

Namun begitu, sedar atau tidak, peristiwa bersejarah seperti Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang disambut pada setiap tahun ini bukanlah hanya sekadar suatu rutin, malah mempunyai nilai penghayatan yang tersendiri oleh seluruh masyarakat di negara ini. Kedamaian pada hari ini sememangnya tidak mampu dikekalkan sekiranya penghayatan berterusan dan semangat kebersamaan tidak disemai dari hari ke hari. Nikmat yang dirasai pada hari ini juga semestinya tidak dilupakan hasil daripada jasa nenek dan moyang terdahulu yang tidak pernah jemu menyemai benih kasih sayang tanpa batasan yang melangkaui perbezaan agama, bangsa dan warna kulit. Nilai kasih sayang yang disemai zaman-berzaman ini bagi memastikan generasi pada hari ini berupaya meneruskan hidup dengan penuh kemewahan dan kedamaian hasil tautan yang dibina sejak dahulu.

Perayaan yang disambut pada Ogos dan September saban tahun mempunyai pelbagai matlamat yang tersendiri, antaranya termasuklah melahirkan perasaan cinta akan negara dan memberikan penghargaan kepada perwira negara yang berkorban segala-galanya demi memperjuangkan tanah air tercinta, keadaan ini bersesuaian dengan pepatah “harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”. Tidak diragui, pengorbanan dan jasa perwira negara tidak mampu dibalas dengan harta ataupun wang ringgit. Mereka sanggup berkorban dan berani mengangkat senjata demi melaksanakan tanggungjawab terhadap tanah air.

Sungguhpun demikian, ketelusan dan kebijaksanaan para pemimpin negara yang silih berganti juga turut menyumbang kepada kemegahan Malaysia di mata dunia hari ini. Mana tidaknya, jika sebelum ini kebjjaksanaan pemimpin terdahulu menyusun tutur kata sehingga membawa kepada kemerdekaan pada hari ini. Tidak kurang hebatnya pemimpin negara pada hari ini yang sering melontarkan cetusan idea yang membina dalam segenap sektor sehingga mengangkat martabat dan kedudukan negara ke tempat yang lebih tinggi.

Merujuk konteks perbincangan yang sama, jika diperincikan kepada peristiwa bersejarah 16 September 1963, peristiwa tersebut sememangnya mempunyai pelbagai makna yang tersurat mahupun tersirat. Penubuhan Malaysia secara asasnya dilaksanakan berteraskan kepada beberapa faktor tersendiri, antaranya termasuklah faktor keselamatan seperti mengelakkan ancaman dan pengaruh komunis. Namun begitu, kejayaan peristiwa bersejarah ini perlu diingat bahawa asas utama kebersamaan yang dicapai ini bermula daripada perasaan tanggungjawab golongan terdahulu dalam usaha memastikan kestabilan dan kemakmuran negara dapat terus dikecapi walaupun negara telah merdeka.

 Perkembangan dan Pencapaian Negara

Kemegahan negara yang dirasai kini bukan sahaja menjadi lambang kebebasan negara daripada penjajah, malah nilai kemerdekaan dan penubuhan Malaysia turut menjadi cerminan terhadap perkembangan arus kemajuan negara yang menjadi tunjang kepada kemakmuran masyarakat di negara ini. Jika ditelusuri dengan lebih mendalam, kejayaan dan pencapaian negara yang memberangsangkan pada hari ini bukanlah berpaksikan kepada sesuatu golongan sahaja, malah kejayaan Malaysia pada hari ini hasil daripada penyatuan dan perpaduan seluruh anggota masyarakat di Malaysia yang bersatu padu sepanjang masa. Sebagai contoh, penyatuan masyarakat dapat dilihat dengan jelas jika dirujuk dari sudut pandang kejayaan bidang sukan, akademik dan sebagainya.

Kemakmuran negara yang dirasai sejak berdekad juga umumnya turut bergantung pada kestabilan politik negara. Sesebuah negara yang merdeka bukan sahaja bebas dari aspek penjajajahan secara umum semata-mata, malah kebebasan dari sudut politik juga penting dalam memastikan struktur pentadbiran negara dapat dikemudi oleh masyarakat tempatan. Pada hari ini, sejarah puluhan tahun Malaysia merdeka sememangnya telah membuktikan bahawa kematangan dan kebolehan pemimpin-pemimpin negara dalam menerajui sistem pentadbiran tanpa campur tangan pihak luar. Dalam aspek sosial pula, kestabilan dan keistimewaan Malaysia yang dikecapi pada hari ini secara tidak langsung memberikan suatu jaminan yang cukup besar kepada masyarakat dari segi keselamatan dan keharmonian. Sebagai contoh, keselesaan masyarakat untuk melaksanakan tugasan harian tanpa sebarang kerisauan dan kehidupan yang aman sepanjang masa, turut menjamin keupayaan sistem pendidikan negara dalam membentuk generasi masa hadapan yang berkualiti.

Kancah ekonomi negara tidak kurang hebatnya apabila sentiasa menjadi tumpuan semua pihak dan ditambah pula dengan kedudukan Malaysia dalam sektor ekonomi yang semakin meningkat. Ekonomi Malaysia pada hari ini dilihat semakin utuh apabila berupaya menjadi sebuah negara yang digeruni dan mendapat tempat dalam kalangan pelabur asing. Sungguhpun demikian, ekonomi yang unggul bagi sesebuah negara yang berdaulat seperti Malaysia umumnya mempunyai hubung kait dengan struktur politik negara yang kukuh dan stabil. Gambaran melalui peningkatan nilai mata wang negara dari hari ke hari serta kebolehpasaran barangan tempatan melalui proses eksport negara jelas menjadi antara cerminan yang cukup besar kepada perkembangan kemajuan ekonomi negara. Hal ini jelas membuktikan bahawa konteks ekonomi bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang remeh kerana mempunyai impak yang cukup besar dalam mempengaruhi sudut pandang negara luar terhadap kemampuan negara.

 Usaha Mengekalkan Kemerdekaan

Antara usaha yang sering diketengahkan dalam memastikan kemerdekaan dan kedamaian terus diperkukuh termasuklah memantapkan gaya hidup generasi merdeka pada hari ini. Usaha sebegini sering ditekankan sepanjang masa berdasarkan cabaran besar yang dihadapi oleh generasi kini dalam menepis faktor pengaruh barat termasuklah dalam konteks gaya hidup dan sebagainya. Usaha ini semestinya perlu dipandang serius kerana kemerdekaan serta kebersamaan yang dinikmati pada hari ini akan dapat diteruskan sekiranya generasi kini berupaya menghargai setiap nilai serta keistimewaan tanah bertuah ini. Sebagai contoh, masyarakat pada hari ini sewajarnya berusaha untuk memartabatkan budaya dan keseniaan warisan sepanjang masa, sama ada melalui warisan makanan, pakaian atau permainan. Usaha sedemikian secara tidak langsung mampu meningkatkan lagi nilai patriotisme dalam diri.

Selain itu, pembinaan perasaan hormat dalam diri individu terhadap identiti negara juga penting dalam memastikan nilai kemerdekaan dapat terus diperkukuh. Kefahaman dan penjiwaan terhadap identiti negara yang mendalam dapat memastikan maruah negara terus dipertahankan oleh seluruh anggota masyarakat. Sebagai contoh, setiap masyarakat seharusnya menghormati identiti negara seperti menunjukkan perasaan hormat terhadap lagu Negaraku, Jata Negara dan Jalur Gemilang dalam kehidupan seharian. Selain itu, masyarakat yang bertanggungjawab seharusnya memahami maksud dan kepentingan setiap identiti negara. Pendekatan sebegini dapat memastikan setiap warganegara mampu menyemai nilai patriotisme dan perasaan cinta yang tinggi terhadap negara.

Merujuk sudut pandang yang sama, pembinaan elemen kenegaraan dalam diri seharusnya bermula sejak peringkat awal kanak-kanak lagi. Tidak dinafikan, generasi baharu pada hari ini sememangnya menjadi tonggak pewaris negara pada masa akan datang. Jika dilihat pada hari ini, pelbagai aktiviti kenegaraan telah mula dilaksanakan secara berterusan pada pelbagai peringkat merangkumi setiap lapisan masyarakat tanpa mengira perbezaan usia. Lebih menakjubkan apabila golongan ibu bapa pada hari ini terus memainkan peranan tersendiri untuk menyalakan  perasaan tanggungjawab dalam membentuk benih patriotisme dalam diri anak-anak tanpa menunggu fasa dewasa. Dalam aspek pendidikan kewarganegaraan pula, struktur pendidikan yang dilaksanakan di sekolah pada hari ini jelas sekali sangat mementingkan elemen kewarganegaraan yang telah disisipkan melalui pelbagai mata pelajaran bermula pada peringkat sekolah rendah lagi.

Intihannya, bulan Ogos dan September sememangnya memberikan makna yang cukup besar kepada seluruh warganegara. Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia telah menyuntik pelbagai pengajaran dan nilai untuk ditelusuri generasi pada hari ini. Tidak segan untuk diperkatakan, ketibaan bulan ini setiap tahun semestinya disambut dengan sangat meriah apabila menyaksikan pelbagai aktiviti kenegaraan mula dilaksanakan secara besar-besaran sama ada pada peringkat sekolah, komuniti mahupun masyarakat umum. Tambahan pula, terdapat banyak Jalur Gemilang mula dikibarkan di seluruh negara dengan penuh kemegahan demi mempamerkan perasaan cinta kepada tanah air. Usaha sebegini penting untuk dipupuk secara berterusan dari semasa ke semasa demi memastikan nilai sebenar kemerdekaan dan kedamaian negara dapat terus dipahat dalam diri setiap individu yang bergelar warganegara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi