Diterbitkan pada 12 Oktober 2025, 12:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menganjurkan Langkahan Bahasa Jiwa Bangsa pada pagi tadi di pekarangan Pusat Konvensyen MPAJ sebagai pengisian pertama meraikan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) pada tahun ini.

Acara yang melibatkan jarak sejauh dua kilometer itu disertai oleh lebih daripada 500 peserta terdiri daripada karyawan DBP, MPAJ, pelajar Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Teknik (IPGKPT) dan masyarakat setempat.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari berkesempatan memberikan ucapan semangat kepada para peserta dan menzahirkan penghargaan kepada pihak MPAJ atas kerjasama erat dalam menjayakan sambutan BBK tahun ini sebelum menyempurnakan acara pelepasan.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari menyempurnakan acara pelepasan peserta Langkahan Bahasa Jiwa Bangsa.

Para peserta turut berpeluang mencuba aktiviti sampingan yang disediakan oleh Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, iaitu Teka Kata Jawi dan berpeluang membawa pulang produk terbitan DBP seperti buku cerita dan majalah.

Peserta melihat dan memilih bahan bacaan DBP.

“Melalui aktiviti yang disediakan sepanjang Langkahan Bahasa Jiwa Bangsa tadi, saya dapat belajar Jawi dan mengenali bahan bacaan yang ditawarkan oleh DBP,” kata pelajar IPGKT, Marybell Lydiana Daniel yang ditemui selepas acara.

Peserta Langkahan Bahasa Jiwa Bangsa, Marybell Lydiana Daniel daripada IPGKPT.

Bukan hanya sekadar melapangkan masa bersama-sama ahli keluarga saja, guru dari SMK Puteri Ampang, Puan Nur Amelia Mat Zaid bersemangat membantu memartabatkan bahasa Melayu dengan menggalakkan ahli keluarganya menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya.

Guru SMK Puteri Ampang, Puan Nur Amelia Mat Zaid.

Turut hadir dalam acara tersebut ialah Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Dato Dr. Jeniri Amir; Timbalan Yang Dipertua MPAJ, YBhg. Ts. Haji Hasrolnizam Shaari dan Pengarah Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi