Diterbitkan pada 17 Oktober 2025, 12:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dalam wacana perundangan Malaysia yang semakin kompleks, Jurisprudens Watan atau Watanic Jurisprudence memberikan satu alternatif tafsiran undang-undang yang dibina daripada prinsip mantap dalam pentafsiran undang-undang perlembagaan. Jurisprudens Watan bukan sekadar pendekatan akademik, tetapi kerangka pemikiran yang berhasrat memulihkan kefahaman asal tentang kedaulatan.

Dalam konteks Malaysia, negara kita dibentuk atas dasar sejarah, adat, syariah dan perlembagaan yang tersendiri. Pendekatan ini menolak peniruan membuta tuli terhadap model Barat, dan mengembalikan makna “kedaulatan” kepada akar watan dengan mengkaji kedudukan Raja Melayu, amalan syariah dan adat bangsa.

Perlembagaan Persekutuan ialah undang-undang tertinggi Malaysia yang menjadi sumber undang-undang utama negara.

Jurisprudens Watan menegaskan bahawa prinsip kedaulatan bukanlah mutlak di tangan Parlimen sebagaimana tafsiran sistem Westminster, tetapi dalam konteks negara kita kedaulatan itu terletak pada institusi Raja-raja Melayu yang menjadi sumber pembentukan negeri dan Perlembagaan Persekutuan. Justeru, pendekatan ini tidak sama sekali menolak wujudnya struktur asas perlembagaan yang diiktiraf oleh mahkamah, tetapi mentafsirkan kerangka itu dalam konteks sejarah, adat dan prinsip kedaulatan watan. Watan di sini bermaksud elemen yang didukung oleh doktrin keadaan tempatan (local circumstances).

Jurisprudens Watan

Jurisprudens Watan berasaskan beberapa prinsip utama. Pertama, Jurisprudens Watan melestarikan prinsip kaedah pentafsiran undang-undang perlembagaan yang diterima pakai oleh Mahkamah Persekutuan dengan memasukkan pertimbangan antara dua buah kerangka falsafah dikotomi dan kontinum sebagai asas pentafsiran. Lantaran teks undang-undang, sejarah tempatan, adat Melayu, syariah dan perlembagaan dijadikan kesatuan epistemologi hukum. Kedua, Jurisprudens Watan menolak pemisahan mutlak antara undang-undang awam yang dikenali dengan istilah sivil dan hukum moral atau agama. Dalam hal ini, Jurisprudens Watan turut mengangkat prinsip continuum jurisprudence yang berpaksikan kesinambungan hukum Ilahi sebagaimana ditegaskan dalam al-Quran (Surah al-Shura, 42:13 dan al-Ma’idah, 5:48).

Prinsip-prinsip ini menjadikan Jurisprudens Watan sebagai satu sistem hukum yang hidup, dinamik dan berpaksikan nilai. Jurisprudens Watan bukan dogma statik, tetapi kaedah tafsiran yang membimbing penggubalan dan pelaksanaan undang-undang agar tidak terpisah daripada nilai etika dan maqasid syariah.

Perkembangan dan Aplikasi Terkini

Dalam arena akademik, Jurisprudens Watan kini digunakan untuk menilai isu-isu semasa seperti kedaulatan negeri terhadap hasil bumi dan perairan. Kajian mengenai pelantar benua misalnya menegaskan bahawa hak hasil petroleum perlu ditafsirkan semula berasaskan prinsip sejarah negeri Melayu, bukan hanya tafsiran literal akta persekutuan.

Selain itu, pendekatan ini juga diaplikasikan terhadap kes seperti pembatalan Seksyen 498 Kanun Keseksaan oleh Mahkamah Persekutuan, yang diteliti dari sudut kesesuaian dengan prinsip moral, adat, dan perlembagaan watan. Pendekatan ini melihat bahawa undang-undang bukan semata-mata teks, tetapi instrumen moral yang mesti menegakkan kebaikan (ma‘ruf) dan menolak kemungkaran (mungkar).

Dalam konteks pentadbiran dan tadbir urus Jurisprudens Watan mengangkat semula nilai syura, keadilan, integriti, dan akauntabiliti yang menjadi asas kepada sistem khalifah. Prinsip tadbir urus yang baik menurut watan bukanlah meniru piawaian Barat, tetapi berpaksikan amanah dan tanggungjawab terhadap Tuhan dan rakyat.

Menjawab Cabaran Pengembangan Jurisprudens Watan

Walaupun gagasan ini semakin mendapat perhatian, terdapat beberapa cabaran utama yang perlu dijelaskan agar tidak disalah erti sebagai idealisme retrospektif.

  1. Hubungan dengan Kaedah Pentafsiran Mahkamah

Mahkamah Persekutuan, dalam kes Indira Gandhi a/p Mutho v. Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (2018), telah menegaskan prinsip tafsiran Perlembagaan secara harmoni dan berasaskan semangat Perlembagaan. Pendekatan Jurisprudens Watan tidak bercanggah dengan prinsip ini. Malah, Jurisprudens Watan memperkukuhnya melalui dua kerangka falsafah undang-undang, iaitu kontinum dan dikotomi. Kerangka kontinum menegaskan kesinambungan antara hukum Tuhan dan hukum manusia dalam perlembagaan; manakala dikotomi mengingatkan bahaya pemisahan total antara moral dan undang-undang. Justeru,  Jurisprudens Watan meluaskan horizon pentafsiran yang lebih adil dan berakar pada nilai sejagat. Misalnya,  Perlembagaan Arab Saudi, Pakistan dan Iran menjunjung kedaulatan Tuhan sebagai prinsip asas hukum negara.

  1. Isu Ketidakseragaman Adat dan Relativisme Barat

Antara kritikan terhadap Jurisprudens Watan ialah kemungkinan wujudnya ketidakseragaman tafsiran undang-undang akibat perbezaan adat negeri. Namun begitu, Jurisprudens Watan melihat kepelbagaian ini bukan kelemahan, sebaliknya kekuatan dalam sistem federasi. Adat negeri merupakan sumber tafsiran apabila peruntukan statut tidak jelas. Prinsip ini membolehkan keadilan disesuaikan dengan konteks masyarakat tanpa menjejaskan kedaulatan undang-undang. Sebaliknya, fahaman relativisme Barat yang memisahkan nilai moral daripada hukum adalah lebih berisiko kerana menafikan akar budaya dan rohani masyarakat tempatan.

  1. Pemodenan dan Etika Undang-undang

Cabaran lain ialah anggapan bahawa Jurisprudens Watan menghalang kemajuan dan hal ini tidak benar. Pendekatan ini menyokong pemodenan undang-undang selama mana pemodenan tidak melanggar prinsip etika dan syariah. Hak asasi manusia misalnya perlu difahami dalam batas etika ketuhanan — bukan atas nama kebebasan mutlak yang menolak hukum alam dan wahyu. Fenomena global yang menormalisasikan kelakuan menyalahi tabii manusia terbukti membawa kerosakan sosial seperti keruntuhan institusi keluarga, penyakit berjangkit, dan ketagihan. Jurisprudens Watan menawarkan imbangan antara hak dan tanggungjawab, antara kebebasan dan kesucian nilai.

  1. Kejelasan dalam Kaedah Tafsiran dan Prinsip Kedaulatan

Satu daripada kelebihan besar Jurisprudens Watan ialah keupayaannya memberikan arah yang jelas kepada mahkamah dalam mentafsir undang-undang. Tafsiran ini tidak boleh berasaskan liberalisme moral, tetapi mesti berpaksikan prinsip kedaulatan sebagaimana sistem perlembagaan menetapkannya. Meskipun tafsiran perlembagaan perlu bersifat “living” — namun dalam konteks watan, prinsip itu hidup dalam batas nilai tempatan, bukan dalam relativisme budaya asing. Doktrin local circumstances dikembalikan ke tempat asalnya — sebagai alat untuk menegakkan kepentingan awam dan kesejahteraan rakyat, bukan memenuhi agenda sempit kelompok minoriti terpengaruh globalisasi.

Jurisprudens Watan bukan gerakan nostalgia, tetapi satu metodologi hukum yang progresif dan berpaksikan kebenaran sejarah serta nilai agama. Jurisprudens Watan menuntut Malaysia mentafsir semula Perlembagaan dalam roh asalnya — bahawa Raja-raja Melayu ialah sumber kedaulatan yang bersifat satu amanah Ilahi, bahawa syariah dan adat ialah nadi hukum, dan bahawa undang-undang mesti berfungsi untuk menegakkan kebenaran, bukan sekadar prosedur. Dengan itu, Jurisprudens Watan muncul sebagai satu tawaran besar alternatif kepada pemikiran kolonial: satu sistem hukum yang mengharmonikan agama, adat, dan rasionalis moden tanpa kehilangan makna watan dan maruah bangsa. Dalam dunia yang semakin terhakis nilai, pendekatan ini mengingatkan kita bahawa kemajuan yang sebenar ialah apabila hukum kembali menjadi alat keadilan, bukannya alat kekuasaan.

Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain ialah Profesor Madya Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun, UIAM/ Fakulti Pengurusan Industri Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah.

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi