Oleh H.R. Hafiz
Diterbitkan pada 17 Oktober 2025, 19:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dalam memacu Malaysia ke arah penggunaan teknologi kecerdasan buatan atau lebih dikenali sebagai Artificial Inteligent (AI), hak ke atas harta intelek seseorang individu atau organisasi ke atas karyanya masih berada dalam tahap yang membimbangkan. Hal ini dikatakan demikian kerana perkembangan teknologi AI dalam penghasilan muzik khususnya menimbulkan persoalan serta polemik berkenaan keaslian karya dan perlindungan hak cipta.

Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Kamal Kormin menzahirkan kebimbangan bahawa penggunaan teknologi tersebut dapat mencabar peranan dan sumbangan industri muzik tanah air. Masalah yang melanda penggiat seni tanah air tidak hanya terbatas pada teknologi tersebut sahaja, malah lebih daripada itu. Masalah pengurusan royalti muzik yang sudah berakar sejak sekian lama kekal menghantui nasib karyawan tersebut.

Dalam penulisan ini, penulis tidak akan memperhalus mengenai masalah yang timbul akibat perkembangan teknologi AI ke atas penghasilan muzik. Hal ini disebabkan penggunaan teknologi tersebut masih bersifat baharu dalam dunia seni muzik termasuklah dalam apa-apa jua bidang sekali pun. Justeru, penulis ingin meneliti masalah berkenaan isu royalti dan hak cipta serta membincangkan cadangan yang telah lama diperjuangkan oleh angkatan pemuzik tanah air. Terlebih dahulu, kita perlu memahami terlebih dahulu, iaitu apakah yang dimaksudkan dengan royalti, proses pembayaran serta isu yang berlaku ke atas penggiat seni di Malaysia berkenaan hal tersebut?

Menurut Kamus Dewan Perdana, royalti didefinisikan sebagai perkongsian keuntungan yang dibayar oleh sesebuah syarikat kepada individu yang tertentu. Dalam konteks ini, karya muzik yang dihasilkan akan diberikan bayaran tertentu oleh penerbit kepada pengkarya. Setiap royalti yang dikutip akan dilaksanakan oleh badan pelesenan. Badan pelesenan atau badan kutipan royalti merupakan organisasi yang diberi mandat oleh pemilik hak cipta untuk menguruskan hak mereka melalui penggunaan karya-karya hak cipta oleh pengguna. Antara skop tugas badan ini termasuklah pelesenan hak cipta, melakukan kutipan royalti ke atas pelesenan yang diberikan, membuat agihan royalti serta mengambil tindakan penguatkuasaan bagi pihak pemilik hak cipta berdasarkan hak yang diberikan. Secara jelasnya, pemilik hak milik adalah para pencipta karya, para pelaku (pemuzik dan penyanyi) dan para pemilik rakaman atau syarikat rakaman.

Perkara ini dilihat agak sistematik, namun telah mengundang masalah terutamanya dari segi pengurusan serta agihan wang royalti tersebut oleh pihak yang diberi amanah. Terdapat beberapa kes yang berlaku mengenai perkara ini, iaitu pada Mac 2025, 30 artis tempatan mendapat kebenaran mahkamah untuk menyaman pihak PRISM (Performers’ Rights and Interests Society of Malaysia) kerana mereka tidak menerima bayaran royalti antara 2017-2021. Turut tidak ketinggalan isu yang melanda kepada penyanyi, Datuk Nora Ariffin serta waris Allahyarham Johan Nawawi (komposer serta penulis lirik) masih belum menerima royalti lagu seperti Sinaran, walaupun masih berkumandang serta digunakan dalam iklan serta persembahan. Terdapat banyak kes yang berlaku, namun kebanyakannya masih lagi menjadi belum selesai pada saat ini.

Isu pokok yang mengundang kepada perkara ini melibatkan kekurangan peraturan dan penguatkuasaan tegas di bawah Akta Hak Cipta 1987. Akta Hak Cipta 1987 (Akta 332) merupakan undang-undang utama yang melindungi hasil ciptaan seperti lagu, lirik, muzik. Selain itu, akta ini memberikan hak eksklusif kepada pencipta dan artis untuk mendapat royalti apabila karya mereka digunakan, disiarkan, atau diterbitkan semula. Walau bagaimanapun, dalam konteks industri muzik, akta ini didapati masih lemah dan tidak menyeluruh. Hal ini dikatakan demikian kerana akta ini tidak menjelaskan mengenai mekanisme pemantauan berkesan terhadap organisasi pengutip royalti (CMO).

Akta ini membenarkan penubuhan badan kutipan royalti,tetapi tidak mewajibkan audit atau laporan tahunan secara telus kepada ahli dan kerajaan. Hal ini mengakibatkan berlakunya penyelewengan, kelewatan serta masalah urus dana royalti tanpa tindakan undang-undang yang jelas. Seterusnya, akta ini hanya melindungi hak cipta pencipta lagu dan penulis lirik secara umum, namun kurang dari segi penekanan khusus bagi melindungi waris selepas kematian pemilik asal.

Instrumen yang menghasilkan bunyi untuk membina irama lagu bermula daripada gitar.

Oleh hal yang demikian, Akta Muzik sepertimana diperjuangkan oleh pemuzik dan pengkarya tanah air sewajarnya digubal oleh pihak kerajaan untuk memberikan keadilan kepada pengkarya di negara ini. Cadangan penggubalan akta muzik yang khusus buat individu atau golongan yang terlibat dalam industri muzik ini bukanlah bersifat baharu, kerana dasar serta polisi pihak yang berkaitan sering berubah-ubah mengikut angin politik semasa.

Menerusi kenyataan portal rasmi Kementerian Komunikasi Malaysia, Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil berkata satu akta menyeluruh untuk industri muzik akan diwujudkan dalam tempoh dua tahun lagi. Beliau turut menambah bahawa usaha atau proses menggubal akta tersebut akan mengambil sedikit masa, namun terdapat juga usaha untuk mendampingi, membantu dan menyediakan dasar yang sesuai menepati keperluan industri muzik semasa.

Tambahan lagi, menjadi suatu perkara yang sedikit janggal apabila masalah serta isu berkenaan hak cipta lagu diletakkan di bawah tanggungjawab Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan bukannya kementerian yang lebih sesuai. Perkara ini sendiri telah disuarakan oleh penyanyi utama kumpulan Blues Gang, Ito Mohd. atau nama sebenarnya Mohd. Arif Kendut yang menyarankan agar hal atau isu berkenaan hak cipta lagu dipindahkan ke kementerian yang lebih sesuai.

Kita dapat lihat bahawa nasib pemuzik atau pengkarya khususnya dalam muzik tanah air hanyalah indah khabar daripada rupa. Mereka turut sama-sama memperjuangkan hak mereka yang telah dirampas oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab. Isu berkenaan pembayaran royalti atau hak cipta dalam karya seni tidak boleh dipandang sebelah mata kerana melibatkan nasib yang menimpa pemuzik serta pengkarya yang telah bersusah payah menghasilkan suatu karya untuk menghiburkan masyarakat.

Bayangkan sekiranya mereka berputus asa dalam menghasilkan sesuatu karya muzik, adakah industri muzik tanah air akan mati atau dijajah oleh aliran muzik luar yang mampu menghilangkan identiti masyarakat kita itu sendiri dari segi bahasa, akal budi dan iramanya? Oleh itu, penggubalan Akta Muzik diharapkan dapat menjadi suatu wadah perundangan terhadap mereka. Situasi ini sedikit sebanyak sebagai senjata serta perisai untuk memperjuangkan hak mereka dalam mengiat serta memperjuangkan industri muzik tanah air. Pendek kata, sedangkan haiwan turut mempunyai akta yang mengawal kebajikan mereka, masakan tiada akta untuk kebajikan mereka yang telah mengabdikan diri dalam industri muzik tanah air.

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi