Diterbitkan pada 30 Oktober 2025, 18:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pontian – “Program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK) Peringkat Negeri Johor anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Selatan terus memainkan peranannya dalam usaha meningkatkan minat membaca dalam kalangan pelajar, selaras dengan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) peringkat kebangsaan”

Demikian ucapan daripada Pengarah DBP Wilayah Selatan, YBrs. Dr. Syaidul Azam Kamaruddin yang mewakili Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed, dalam Majlis Perasmian Program Didik Hibur Kad ASK serta Program Kembara MDK di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Kerang, Pontian, petang tadi.

Menurut beliau, Program Kembara MDK ini juga diharap dapat dijadikan sebagai kaedah pembelajaran didik hibur kepada guru bagi membantu pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah.

“Pendekatan ini bukan sahaja menyeronokkan tetapi mampu menarik minat pelajar untuk membaca sambil belajar, sekali gus memberikan ruang kepada guru untuk menggunakan bahan bacaan DBP secara kreatif dalam PdP mereka,” katanya.

Tambah YBrs. Dr. Syaidul Azam, Program Kembara MDK ini diadakan di semua 16 negeri dan wilayah persekutuan, termasuklah di negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak Labuan.

“Pada kali ini, SMK Telok Kerang dipilih sebagai tuan rumah bagi pelaksanaan Program Kembara MDK peringkat negeri Johor,” jelasnya.

Selain itu, beliau menzahirkan penghargaan dan pengiktirafan kepada semua pegawai DBP yang terus komited memainkan peranan penting dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu melalui program penerbitan, pendidikan atau aktiviti literasi, yang menjadi tonggak utama dalam memastikan bahasa Melayu terus relevan, dihormati dan digunakan secara meluas dalam pelbagai lapisan masyarakat.

 

Pengarah DBP Wilayah Selatan, YBrs. Dr. Syaidul Azam Kamaruddin ketika menyampaikan ucapan perasmiannya.

Sementara itu, pegawai SISC dan Pejabat Pendidikan Daerah Pontian, Puan Sahlelawati Sidek menjelaskan bahawa dengan sokongan dan kerjasama erat daripada DBP membolehkan pelaksanaan inisiatif ini dijalankan dengan berkesan.

“Sokongan tersebut memberikan peluang kepada guru menggunakan bahan bacaan DBP secara kreatif dalam pengajaran, sambil menggalakkan pelajar membaca dengan minat dan semangat,” kata beliau.

Mengulas lanjut, beliau juga berpendapat bahawa guru berperanan besar dalam membentuk pelajar yang kritis melalui penggunaan bahan bacaan seperti majalah dalam bilik darjah.

“Dengan pendekatan ini, pelajar bukan sahaja digalakkan membaca, malah didorong untuk menilai, menganalisis, dan membina pendapat sendiri secara kreatif,” jelas beliau lagi.

Pegawai SISC dan Pejabat Pendidikan Daerah Pontian, Puan Sahlelawati Sidek yang mewakili Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Tuan Haji Hanafi Samad, ketika menyampaikan ucapan aluannya.

Terdahulu, program anjuran DBP Wilayah Selatan ini turut menampilkan pengisian utama, iaitu MDK Dewan Siswa bagi pelajar sekolah menengah dan MDK Dewan Pelajar bagi pelajar sekolah rendah yang bertujuan meningkatkan tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar.

Penganjuran Program Kembara MDK pada kali ini berjaya menghimpunkan sebanyak 100 orang pelajar sekolah rendah dan 90 orang pelajar sekolah menengah dari 18 buah sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor di sekitar daerah Pontian, Muar, Pasir Gudang dan Skudai.

Sementara itu, Program Kembara MDK ini juga melibatkan penyertaan sebanyak 35 orang guru dari sekolah rendah dan sekolah menengah melalui penganjuran Bengkel MDK untuk guru sebagai bimbingan dan usaha memperkasakan kaedah pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Editor memberikan taklimat berkaitan dengan majalah Dewan Pelajar kepada pelajar sekolah rendah.

Program ini turut dimeriahkan dengan program Didik Hibur Kad ASK yang turut diadakan untuk memperkasakan budaya membaca dalam kalangan pelajar dan guru, menggalakkan penggunaan bahan bacaan yang berkualiti di sekolah serta mengembangkan bakat dan potensi pelajar dalam bidang penulisan.

Yang turut hadir dalam majlis perasmain Program Didik Hibur Kad ASK dan Program Kembara MDK ini termasuklah Pengetua SMK Telok Kerang, YBrs. Tuan Haji Ismail Rahman; Timbalan Pengarah DBP Wilayah Selatan, Encik Razif Sahran; serta barisan pegawai DBP Wilayah Selatan, Bahagian Majalah dan Akademi DBP.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi