Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSidang Kemuncak ASEAN ke-47 telah melabuhkan tirai penganjurannya. Pada kali ini, Malaysia sekali lagi mencuri tumpuan dunia apabila menjadi tuan rumah yang menghimpunkan pemimpin dalam kalangan negara anggota ASEAN dan pemimpin terkemuka antarabangsa dari China, India, Amerika Syarikat, New Zealand, Rusia dan Kanada dalam suasana yang penuh bersejarah.
Sidang kemuncak yang berlangsung selama dua hari tersebut telah melakar pelbagai peristiwa penting. Antaranya termasuklah penambahan keanggotaan ASEAN kepada 11 buah negara anggota dengan kemasukan Timor Leste, pemeteraian perjanjian damai, penandatanganan pelbagai kerjasama strategik dan pengiktirafan Malaysia oleh kuasa-kuasa besar dunia.
Kejayaan ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan ASEAN sebagai blok serantau yang kukuh, malah turut menyerlahkan peranan Malaysia sebagai peneraju diplomasi dan keamanan global. Kesemua hal ini secara tidak langsung menggambarkan keupayaan Malaysia dalam memikul amanah besar untuk membawa ASEAN sebagai satu daripada kuasa besar dunia. Malaysia juga berjaya menyeimbangkan kuasa besar dunia seperti China dan Amerika Syarikat, di samping menekankan prinsip diplomasi antarabangsa yang berteraskan keadilan, kemanusiaan dan perpaduan.
Yang berikut ialah rangkuman peristiwa bersejarah yang berlaku sepanjang dua hari sidang kemuncak tersebut:
Sidang kemuncak pada tahun ini bermula dengan detik bersejarah apabila Timor Leste diterima masuk sebagai anggota ke-11 ASEAN. Langkah ini menandakan peluasan keluarga ASEAN serta pengiktirafan terhadap usaha berterusan negara itu untuk menyertai ASEAN setelah sekian lama membuat permohonan keanggotaan. Kemasukan Timor Leste adalah kejayaan terbesar ASEAN setakat ini sebagai sebuah blok serantau yang dinamik di dunia.
Malaysia memainkan peranan penting dalam memudah cara proses kemasukan tersebut sekali gus menunjukkan komitmen dalam membina rantau yang lebih terangkum dan makmur. Penerimaan keanggotaan Timor Leste bukanlah sekadar simbol perpaduan, tetapi juga menandakan kematangan rantau ASEAN dalam memperkukuh diplomasi serantau yang mencerminkan keupayaan Malaysia untuk memimpin dialog berasaskan kesepakatan.
Semasa pembukaan sidang pleno ASEAN pada hari pertama, Protokol Kedua bagi Pindaan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) telah diserahkan. Pindaan ini merangkumi langkah mengukuhkan integrasi ekonomi ASEAN pada masa hadapan dengan tumpuan pada peningkatan daya saing perdagangan, pengurangan halangan tarif dan penambahbaikan rantaian bekalan serantau.
Malaysia menegaskan bahawa kestabilan ekonomi hanya dapat dicapai melalui perdagangan bebas dan sistem peraturan yang adil. Dengan inisiatif ini, Malaysia bukan sahaja memperkukuh peranan ASEAN sebagai pemain utama dalam perdagangan dunia, tetapi turut menonjolkan keupayaan negara sebagai pusat dasar ekonomi serantau.
Antara peristiwa yang paling mencuri perhatian termasuklah pemeteraian Perjanjian Damai antara Kuala Lumpur dengan Thailand dan Kemboja yang diwakili oleh Perdana Menteri negara masing-masing, iaitu Anutin Charnvirakul (Thailand) dan Hun Manet (Kemboja). Pemeteraian perjanjian ini disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump.
Perjanjian ini merupakan kesinambungan kejayaan rundingan gencatan senjata yang diadakan di Putrajaya pada Julai 2025. Malaysia yang tampil sebagai pengantara utama dalam rundingan damai tersebut telah memperlihatkan keupayaan diplomatiknya dalam menyelesaikan persengketaan serantau melalui pendekatan aman berasaskan dialog.
Langkah ini turut mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai penghubung keamanan di rantau Asia Tenggara, selaras dengan tradisi diplomasi sederhana yang menjadi identiti negara sejak sekian lama. Dalam konteks dunia, kejayaan ini menguatkan kedudukan Malaysia sebagai negara penggerak keamanan dan kestabilan antarabangsa.
Keterlihatan Malaysia di pentas dunia turut terserlah melalui pertemuan dua hala antara Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan Donald J. Trump. Pertemuan ini meningkatkan hubungan dua negara ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif (Comprehensive Strategic Partnership).
Melalui pertemuan ini, kedua-dua negara menandatangani perjanjian penting, iaitu Framework Agreement on Reciprocal Trade (ART) dan Memorandum Persefahaman mengenai Mineral Kritikal. Kerjasama ini merangkumi pelbagai bidang seperti perdagangan, tenaga, pendidikan, pertahanan, teknologi hijau dan kecerdasan buatan.
Kerjasama ini memperlihatkan pengiktirafan Washington terhadap Kuala Lumpur sebagai rakan strategik utama di Asia Tenggara. Malaysia juga berjaya mengangkat imejnya sebagai negara yang mampu berdiri sebaris dengan kuasa besar dunia dengan mengamalkan prinsip kesejahteraan bersama dan saling menghormati.
Selain daripada bidang ekonomi dan politik, Malaysia turut menonjolkan keterlihatan dalam arena sosial dan kemanusiaan. Melalui penandatanganan semula Memorandum Persefahaman antara ASEAN dengan FIFA, Malaysia menjadi saksi kepada pelancaran Piala FIFA-ASEAN sebagai kejohanan baharu yang berteraskan pembangunan belia dan perpaduan serantau.
Inisiatif ini turut menegaskan komitmen Malaysia untuk memanfaatkan sukan sebagai alat perpaduan yang dapat menyebarkan diplomasi secara lebih halus. Sukan bukan sekadar aktiviti fizikal, tetapi turut berfungsi sebagai jambatan sosial yang memperkukuh nilai kerjasama dan kemanusiaan antara negara. Selain itu, Malaysia merupakan antara negara penerima 1,000 padang mini di bawah projek FIFA Arena. Projek ini bertujuan untuk mewujudkan padang mini baharu bagi kegunaan kanak-kanak di seluruh dunia.
Dalam Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-28, Malaysia berbesar hati menerima kehadiran Perdana Menteri baharu Jepun, Sanae Takaichi. Beliau ialah wanita pertama yang memegang jawatan tersebut. Kehadiran beliau ke Kuala Lumpur semasa lawatan rasmi luar pertama beliau menunjukkan penghargaan Jepun terhadap ASEAN dan kepimpinan Malaysia.
Kedua-dua pihak membincangkan kerjasama dalam pelbagai bidang seperti infrastruktur, tenaga hijau, kesiapsiagaan bencana serta pembangunan ekonomi digital. Malaysia sekali lagi menonjolkan imejnya sebagai rakan dialog yang diyakini, dengan keupayaan untuk membina hubungan strategik antara Asia Tenggara dengan Asia Timur.
Perdana Menteri India, Narendra Modi pula menyampaikan permohonan maaf kepada YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim kerana tidak dapat menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN disebabkan oleh sambutan perayaan Deepavali di negara tersebut. Namun begitu, perkara ini tidak menghalang pemimpin kedua-dua negara untuk membincangkan perkara penting secara dalam talian berkaitan dengan pengukuhan hubungan tradisional ASEAN-India dalam bidang ekonomi hijau, teknologi dan keselamatan maritim.
Sidang kemuncak ini turut menyaksikan peningkatan hubungan dua hala antara ASEAN dan Korea Selatan ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif melalui pertemuan antara YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Lee Jae Myung.
Malaysia memainkan peranan penting dalam memperkukuh agenda teknologi digital, keselamatan siber dan inovasi hijau dalam kalangan negara anggota ASEAN. Hubungan ini menguatkan integrasi teknologi Asia Timur dan ASEAN serta menonjolkan imej Malaysia sebagai peneraju dalam transformasi digital serantau.
Malaysia turut mempengerusikan Sidang Kemuncak Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) ke-5 yang dihadiri oleh Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon. Sidang ini menandakan kebangkitan semula RCEP selepas pasca-pandemik dengan fokus terhadap pemulihan ekonomi, pelaburan dan hubungan antara rakyat.
Melalui sidang ini, kepimpinan inklusif Malaysia dipuji kerana mengembalikan semangat perdagangan bebas serantau. Selain itu, Kuala Lumpur disifatkan oleh pemimpin serantau sebagai jambatan yang menyatukan semangat kemakmuran Asia. Hal ini turut memperkukuh reputasi Malaysia sebagai hab ekonomi dan diplomasi perdagangan.
Dalam Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa ASEAN hendaklah kekal sebagai teras kestabilan serantau. Beliau menyeru agar setiap pertikaian diselesaikan melalui dialog dan bukan melalui konfrontasi.
Sidang tersebut turut membincangkan isu utama seperti konflik di Gaza, krisis di Myanmar dan pertikaian yang melibatkan Laut China Selatan. Malaysia menegaskan bahawa penyelesaian hendaklah berpaksikan pada undang-undang antarabangsa, khususnya Konvensyen PBB mengenai Undang-undang Laut 1982 (UNCLOS).
Deklarasi Kuala Lumpur yang diluluskan pada penghujung sidang ini menekankan kekuatan Asia Timur serta mengukuhkan peranan Malaysia sebagai pendamai dan penggerak dialog serantau. Selain itu, kehadiran Brazil dan Afrika Selatan dalam sidang ini turut memperluas suara negara Selatan.
Keterlihatan Malaysia di pentas dunia semakin terserlah apabila YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim bertemu dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres dalam Sidang Kemuncak ASEAN-PBB ke-15. Pertemuan ini menegaskan kerjasama antara ASEAN dan PBB melalui Complementarities Initiative 2.0, Pact for the Future dan UN80 Initiative.
Malaysia menzahirkan sokongan terhadap reformasi PBB dan menyuarakan pendirian tegas dalam isu Palestin, termasuk kesediaan menyertai Misi Pengaman PBB di Gaza. Pendekatan ini menjadikan Malaysia bukan sekadar peserta, tetapi sebagai suara moral dunia yang memperjuangkan keamanan dan keadilan sejagat.
Dalam kesibukan mempengerusikan sidang utama, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut berkesempatan mengadakan agenda yang berikut:
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 telah meningkatkan kadar keterlihatan Malaysia dalam pelbagai bidang. Bermula dari isu perdamaian, perdagangan, teknologi sehinggalah isu kemanusiaan pada peringkat antarabangsa, Malaysia menunjukkan kematangan kepimpinan kepada negara luar. Selain itu, Malaysia amat bertuah kerana mendapat liputan percuma di seluruh dunia tanpa mengeluarkan belanja besar apabila pemimpin dunia seperti Donald Trump dan Presiden Persatuan Bola Sepak Dunia (FIFA), Gianni Infantino datang ke negara ini. Perhatian dunia turut tertumpu kepada Malaysia apabila pemimpin dari negara anggota ASEAN bersidang di Kuala Lumpur. Hal ini secara tidak langsung telah memperkenalkan Malaysia di pentas dunia, selaras dengan kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.