Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSepang – Sebanyak 143 orang pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang melanjutkan pengajian ke luar negara telah berjaya menamatkan Kursus Kenegaraan MADANI Diaspora Malaysia di Pusat Latihan Kenegaraan Tanjung Rhu, bermula 7 hingga 11 November 2025.
Peserta kursus tersebut terdiri daripada 50 orang pelajar Young Talent Programme (YTP) ke Jordan, 92 pelajar ke Korea, dan seorang pelajar ke New Zealand.
Program anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia ini menampilkan sesi ceramah,latihan dalam kumpulan dan aktiviti fizikal yang menekankan aspek kenegaraan, disiplin dan daya tahan dalam mengukuhkan jati diri pelajar.
Menurut Penolong Pengarah, Bahagian Belia, Akademi Kenegaraan Malaysia, Encik Kamarulariffin Harun, kursus selama lima hari empat malam itu memberikan pengalaman baharu kepada peserta untuk mengaplikasikan ilmu dan pengetahuan dalam menghadapi cabaran kehidupan di luar negara.
Selain memberikan pengalaman baharu, kursus ini turut ini menggunakan pelbagai pendekatan semasa aktiviti latihan dalam kumpulan yang dilaksanakan, selain pelbagai aktiviti menarik disediakan bagi menarik minat peserta mendalami ilmu berkenaan Perlembagaan Persekutuan dan sejarah Malaysia.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Pelajar dan Diplomasi Komuniti) Universiti UCYP, YBhg. Dr. Ahmad Fared Mohd Din dalam ucapan perasmiannya berkata, program tersebut memberikan impak besar terhadap pembentukan sahsiah dan patriotisme pelajar.
“Semestinya program ini akan menjadi kenangan terindah bagi semua peserta sehinggalah mereka menamatkan pelajaran di luar negara,” ujar beliau lagi.
Beliau turut menyeru agar semua pelajar menunaikan tanggungjawab kembali ke tanah air selepas menamatkan pengajian bagi menyumbang kepakaran dan bakti kepada pembangunan bangsa dan negara.
