Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangHubungan diplomatik Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dengan isu Palestin mencerminkan kompleksiti politik global yang menuntut keseimbangan halus antara solidariti moral, kepentingan strategik dengan realiti geopolitik. Malaysia, sebagai negara yang konsisten menyuarakan sokongan terhadap Palestin, kini berhadapan dengan cabaran mendefinisikan semula pendekatan diplomatiknya bukan sekadar melalui kenyataan tertentu, tetapi melalui tindakan substantif yang membawa impak nyata secara keseluruhan. Persoalan yang timbul kini bukan lagi tentang pendirian Malaysia yang menyokong Palestin, tetapi memperlihatkan sokongan tersebut dapat diterjemahkan kepada strategi konsisten dan lebih berkesan dalam konteks serantau yang kompleks.
Lebih mencabar, Malaysia perlu mengemudi dilema ini dalam landskap geopolitik yang semakin tidak menentu apabila kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) mempunyai kepentingan yang berbeza.
Sejarah ASEAN menunjukkan bahawa pertubuhan serantau ini lebih selesa menangani isu ekonomi dan perdagangan. Apabila berhadapan dengan konflik dalaman seperti krisis Rohingya di Myanmar, ASEAN mengambil masa yang panjang untuk bertindak dan tindakan yang dilakukan pula lebih bersifat bantuan kemanusiaan berbanding dengan tekanan diplomatik yang sebenar. Mekanisme ASEAN tidak direka untuk menghadapi krisis yang memerlukan respons pantas dan tegas. Birokrasi berperingkat, keperluan kesepakatan dan keengganan untuk mencampuri urusan negara lain menjadikan ASEAN lebih dilihat sebagai platform dialog daripada tindakan. Namun begitu, dalam konteks Palestin yang nenyaksikan nyawa rakyatnya terancam pada setiap hari, adakah dialog antarabangsa masih boleh diterima?
Tidak dinafikan, Malaysia telah lama menjadi suara lantang bagi Palestin di pentas antarabangsa, namun sokongan verbal perlu diterjemahkan kepada strategi yang lebih pragmatik dan berimpak. Kerajaan perlu menilai semula sejauh mana pendekatan kolektif ASEAN dapat merealisasikan matlamat kemanusiaan. Adakalanya tindakan unilateral atau pembentukan koalisi atau campuran kecil negara yang sehaluan lebih berkesan daripada menunggu persetujuan bersama ASEAN. Instrumen ekonomi seperti perdagangan, pelaburan dan kerjasama teknikal seharusnya digunakan sebagai alat tekanan diplomatik yang sebenar. Lebih penting lagi, komitmen moral terhadap Palestin tidak seharusnya bergantung pada kitaran politik domestik atau tekanan semata-mata, tetapi memerlukan dasar luar negara yang konsisten dan berprinsip, sekali gus merentasi perubahan kerajaan.
Respons Malaysia terhadap dasar Presiden Trump menunjukkan ketegangan antara prinsip dengan sikap pragmatisme dalam diplomasi. Tekanan kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) melalui perdagangan, pertahanan dan teknologi merupakan realiti yang tidak dapat dinafikan, tetapi autonomi diplomatik sesebuah negara diukur bukan pada ketiadaan tekanan, tetapi pada keupayaan mempertahankan prinsip di tengah-tengah tekanan tersebut. Malaysia tidak seharusnya mengorbankan pendirian moral semata-mata kerana takut terhadap kemungkinan tindakan balas ekonomi atau diplomatik. Negara kecil seperti Ireland dan Norway telah membuktikan bahawa mereka mungkin mengambil pendirian tegas terhadap ketidakadilan tanpa menjejaskan kepentingan ekonomi sepenuhnya.
Cabaran Malaysia menjadi lebih kompleks kerana kedudukan geopolitiknya di Asia Tenggara. Kawasan ini menjadi medan pertembungan pengaruh antara AS dengan China, dan Malaysia perlu mengemudi dengan berhati-hati agar tidak terperangkap dalam persaingan kuasa besar. Sokongan Malaysia terhadap Palestin boleh dilihat oleh Washington sebagai pendirian anti-Amerika, manakala terlalu mengalah terhadap tekanan AS boleh menjejaskan kredibiliti moral Malaysia di mata negara-negara Islam. Dilema ini memerlukan kepimpinan yang matang dan berani. Pemimpin yang sanggup menanggung kos jangka pendek untuk mempertahankan prinsip jangka panjang.
Terdapat ketegangan dalaman yang berlaku dalam pendekatan diplomatik Malaysia yang perlu dihadapi secara terbuka dan jujur. Majoriti rakyat Malaysia, khususnya masyarakat Islam, mempunyai ikatan emosi dan agama yang kuat dengan Palestin, namun kerajaan mesti mengimbangkan sentimen popular dengan kepentingan strategik negara yang lebih luas. Malaysia perlu berhati-hati agar sokongan terhadap Palestin tidak mencetuskan konfrontasi yang melemahkan hubungan dengan negara-negara yang mempunyai kepentingan berbeza di Timur Tengah, termasuklah rakan serantau ASEAN. Keseimbangan ini memerlukan kematangan politik dan keberanian untuk mengakui kestabilan domestik dan keadilan antarabangsa yang tidak semestinya bertentangan tetapi memerlukan pengurusan yang bijaksana. Dalam hal ini, pemimpin yang bijak dapat menggunakan sentimen popular sebagai mandat untuk tindakan berprinsip.
Dalam konteks ASEAN, Malaysia menghadapi cabaran tambahan kerana keahlian yang pelbagai. Negara seperti Singapura mempunyai hubungan erat dengan Israel manakala Thailand dan Filipina pula cenderung untuk tidak mengambil pendirian tegas dalam konflik Timur Tengah. Vietnam dan negara Indochina lain lebih tertumpu pada isu serantau sendiri. Kepelbagaian kepentingan ini menjadikan persefahaman ASEAN terhadap Palestin hampir mustahil untuk dicapai dalam bentuk yang lebih bermakna. Malaysia perlu menerima realiti bahawa jika benar-benar serius tentang Palestin, mungkin kita perlu bertindak di luar kerangka ASEAN, sama ada secara unilateral atau melalui koalisi seperti Organisation of Islamic Cooperation (OIC) yang mempunyai mandat lebih jelas terhadap isu-isu negara Islam.
Untuk mengubah sokongan moral kepada tindakan berkesan, Malaysia perlu mengambil pendekatan lebih strategik dan berani. Diplomasi berbilang peringkat yang menggabungkan pendekatan ASEAN, bilateral dan multilateral mengikut konteks dan keberkesanan adalah penting untuk memaksimumkan impak. Bantuan kemanusiaan secara langsung kepada rakyat Palestin melalui saluran yang telus dan berkesan perlu dipertingkatkan secara substantif. Pembinaan kapasiti melalui latihan, pendidikan dan sokongan institusi dapat meningkatkan keupayaan dalaman Palestin untuk jangka panjang. Malaysia boleh mempertimbangkan penubuhan hospital atau pusat pendidikan di Palestin yang dikendalikan oleh Malaysia sebagai bukti komitmen jangka panjang. Pengaruh ekonomi boleh digunakan secara strategik. Sebagai contoh, Malaysia boleh mengenakan syarat dalam perjanjian perdagangan atau pelaburan yang mengambil kira rekod hak asasi manusia sebagai rakan kongsi, termasuklah pendirian terhadap pendudukan Palestin.
Yang paling kritikal, dasar luar negara Malaysia terhadap krisis kemanusiaan mesti konsisten merentas semua kes. Sebagai contoh, jika Malaysia membela Palestin atas nama hak asasi manusia, prinsip sama mesti digunakan terhadap krisis Rohingya, Uighur atau mana-mana krisis kemanusiaan yang lain. Ketidakselarasan akan mengikis kredibiliti moral Malaysia dan menjadikan sokongan terhadap Palestin kelihatan sebagai kepentingan politik, bukan komitmen moral tulen. Malaysia perlu membangunkan kerangka dasar luar negara yang jelas, mengutamakan hak asasi manusia sejagat.
Kini, Malaysia berada di persimpangan dalam menentukan wajah diplomasi moralnya. Sokongan terhadap Palesin perlu diterjemahkan kepada strategi jangka panjang yang tersusun, konsisten dan berimpak. Kestabilan politik domestik dan imej Malaysia sebagai negara Islam progresif memerlukan integriti moral dalam dasar luar negara. Diplomasi kolektif ASEAN mempunyai tempatnya, namun tidak seharusnya menjadi penghalang kepada tindakan unilateral yang lebih berani dan berkesan.
Malaysia perlu memimpin, bukan sekadar dengan mengutamakan tindakan substantif dan berprinsip. Hanya dengan cara ini, sokongan Malaysia terhadap Palestin akan dilihat bukan sebagai pendirian politik berkepentingan, tetapi cerminan sebenar nilai kemanusiaan yang dijunjung oleh negara dan rakyatnya. Masa untuk bertindak bukan esok atau lusa, tetapi pada hari ini kerana setiap hari yang berlalu tanpa tindakan yang bermakna akan mengundang kepada nyawa yang terancam dan keadilan yang tertangguh.