Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Kinabalu – Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah sekali lagi memperakukan realiti baharu politik di negara ini apabila tidak ada mana-mana parti atau gabungan melepasi angka majoriti mudah, yang dalam kes Negeri di Bawah Bayu ialah 37 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas seramai 1,148,476 orang atau 64.35 peratus keluar mengundi pada hari pengundian awal dan Sabtu lalu.
Paling hampir pada garis itu ialah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan YAB Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang memperoleh 29 kerusi, manakala pesaing terdekatnya ialah Parti Warisan (WARISAN) yang mendapat 25 kerusi.
Di sebalik kedudukan DUN tergantung, Hajiji yang juga Pengerusi GRS mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah ke-17 di hadapan Yang Di-Pertua Negeri Tun Datuk Seri Panglima Haji Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, sekitar jam 3.00 pagi Ahad. Hal ini demikian kerana, selain mendapat sokongan parti rakan termasuk Pakatan Harapan (PH) yang memenangi satu kerusi selepas membuat persepakatan sebelum masuk ke pilihan raya, beliau dan partinya juga disokong oleh lima ADUN Bebas.
Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) melalui ketiga-tiga ADUN dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dengan dua wakilnya turut menyokong GRS, manakala Barisan Nasional (BN) yang memenangi enam kerusi melalui Pengerusinya yang juga Presiden UMNO, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut menyatakan kesediaan bekerjasama dengan parti sehaluan bagi membentuk kerajaan baharu demi kestabilan politik.
Hajiji menyifatkan kemenangan itu milik setiap pengundi yang percaya kepada visi gabungannya, sekali gus menyokong usaha dan berkongsi impian untuk masa hadapan Sabah yang lebih cerah.
Sementara itu, Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam hantaran di Facebook menegaskan bahawa pengundi jelas menuntut perubahan yang nyata selepas sekian lama dihadapkan dengan ketidakadilan serta pengabaian oleh hampir semua parti, sama ada dari Semenanjung mahupun Sabah sendiri.
Dengan gambaran pembentukan kerajaan campuran itu, hal ini bermakna setakat ini pembangkang di negeri itu selain WARISAN yang Presidennya, YB Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal menegaskan hanya berminat bekerjasama dengan parti tempatan dalam sidang media pada tengah hari Ahad, ialah Perikatan Nasional (PN) yang memenangi satu kerusi dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang juga memperoleh satu kerusi.
Keputusan PRN17 itu hadir selepas dua minggu kempen yang memperlihatkan pelbagai isu menjadi tumpuan pengundi, termasuk tuntutan meningkatkan pelaksanaan hak-hak negeri dalam kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengesahkan hak Sabah menerima 40 peratus hasil dikutip Persekutuan di negeri berkenaan.
Turut menjadi bahan kempen ialah kos sara hidup dan taraf ekonomi, masalah infrastruktur asas, terutama bekalan air dan elektrik serta jalan raya, selain pembangunan luar bandar.
Malah, pengundi baharu dan muda juga sangat signifikan sehingga menyaksikan penggunaan media digital dan media sosial semakin mendominasi kempen.
Apatah lagi PRN17 juga mencipta sejarah apabila seramai 596 calon daripada 24 parti politik dan calon Bebas bertanding, sekali gus menjadikannya sebagai antara pilihan raya paling kompetitif, termasuk pertembungan penjuru yang mencecah 14 penjuru.
Dengan pertembungan banyak penjuru dan kehadiran calon Bebas, sudah tentu akan ada yang hilang wang deposit. Antara tokoh pimpinan parti yang bukan sahaja kalah, bahkan hilang wang deposit bersama-sama 389 calon lagi termasuklah Presiden Parti Impian Sabah (PIS) YB Michel Alok @ Ilok di Telupid; Presiden Parti Rumpun Sabah (Rumpun) YB Datuk Haji Dr. Ismail Idris (Sebatik) dan bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Datuk Mohamaddin Ketapi (Segama).
Dari segi penyertaan wanita sebagai calon pilihan raya pula, PRN17 hanya mencatat lima ADUN daripada 71 calon wanita, iaitu penyandang kerusi DUN Kukusan, YB Datuk Rina Jainal; penyandang kerusi DUN Matunggong, YB Datuk Julita Mojungki; YB Isnaraissah Munirah Majilis (Usukan); YB Edna Jessica Majimbun (Inanam) dan YB Nurulalsah Hasan Alban (Sungai Sibuga), sekali gus menurun daripada tujuh orang yang terpilih pada PRN 2020.
Di sebalik peristiwa dan fakta dalam PRN17, pembentukan kerajaan campuran meletakkan Sabah pada satu fasa memerlukan tumpuan kepada pentadbiran stabil dan berfungsi, lebih sekadar memenuhi imbangan politik antara parti. Oleh hal yang demikian, kerajaan baharu di bawah pemimpin parti pemerintah asal tetap wajib menyusun keutamaan yang jelas kerana pengundi memberikan isyarat jelas, iaitu tuntutan supaya mengurus negeri secara konsisten, menyelesaikan isu asas secara teratur dan mengelakkan sebarang episod yang boleh merencatkan pembangunan.
Dalam konteks kepentingan negeri, keputusan pilihan raya menunjukkan harapan pengundi agar hak Sabah, terutama dalam kerangka MA63 dan pengurusan hasil negeri, ditangani dengan lebih serius. Kerajaan perlu berunding dengan berdisiplin, memastikan tuntutan negeri dilaksanakan mengikut saluran perundangan dan pentadbiran yang betul serta memberikan tumpuan kepada penyelesaian isu asas seperti air, elektrik, jalan raya dan penyampaian perkhidmatan awam yang sering menjadi rungutan utama rakyat.
Hakikatnya, masa hadapan Sabah selepas PRN17 bergantung pada keupayaan kerajaan mengekalkan fokus terhadap perkhidmatan dan keperluan harian rakyat, bukan lagi tenggelam dalam perselisihan dalaman atau persaingan pengaruh yang sangat tajam dalam penggal sebelum ini.
Sabah mempunyai banyak peluang untuk memperbaik banyak kelemahan yang diwarisi, tetapi jika gagal memanfaatkan ruang selepas pilihan raya ini, negeri itu berisiko kembali kepada kitaran ketidaktentuan tidak berkesudahan yang merugikan rakyat serta negeri.