Diterbitkan pada 5 Disember 2025, 10:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Setiap tahun pada 5 Disember, dunia akan menyambut Hari Sukarelawan Antarabangsa yang bertujuan menghargai individu dan organisasi yang menjadi tonggak kepada pembangunan sosial dan kemanusiaan. Hari tersebut bukan sekadar sambutan simbolik, namun menjadi platform global untuk memperkasakan budaya kerja sukarela sebagai asas perpaduan dan kesejahteraan masyarakat.

Secara asasnya, kesukarelawanan merujuk tindakan membantu tanpa paksaan dan tanpa mengharapkan balasan. Dalam era moden yang berdepan dengan ketidakseimbangan ekonomi, bencana alam, tekanan sosial dan kepelbagaian budaya, peranan sukarelawan menjadi lebih signifikan. Keikhlasan dan semangat kebersamaan menjadikan sukarelawan sebagai jambatan yang menyatukan pelbagai lapisan masyarakat.

Menghubungkan Pelbagai Golongan Masyarakat

Aktiviti kesukarelawanan menghimpunkan individu daripada pelbagai latar belakang seperti umur, agama, bangsa dan status sosial. Melalui kerja kebajikan dan misi kemanusiaan, jurang perbezaan dapat dirapatkan. Sukarelawan menjadi pemangkin kepada dialog, persefahaman dan interaksi sihat antara komuniti, sekali gus membentuk asas perpaduan nasional.

Mengukuhkan Semangat Keprihatinan dan Empati

Nilai empati merujuk keupayaan seseorang memahami dan merasai kesusahan orang lain. Nilai empati menjadi antara nilai teras dalam aktiviti kesukarelawanan. Masyarakat yang mempunyai nilai empati kebiasaannya lebih peka terhadap isu semasa, lebih penyayang dan harmoni, serta lebih memahami realiti hidup orang lain, sekali gus mengurangkan konflik. Nilai empati inilah yang membentuk masyarakat yang beretika dan prihatin.

Mewujudkan Sokongan Sosial Semasa Krisis

Dalam keadaan kecemasan seperti banjir, kebakaran atau bencana alam, sukarelawan sering menjadi antara barisan terawal memberikan bantuan. Sama ada dalam bentuk tenaga kerja, logistik, keperluan asas atau sokongan emosi, kehadiran mereka memberikan harapan kepada mangsa, memulihkan keyakinan masyarakat dan meningkatkan solidariti komuniti. Peranan penting ini membuktikan kemampuan masyarakat untuk bangkit bersama.

Menyemarakkan Budaya Kerja Berpasukan

Aktiviti komuniti seperti bergotong-royong, membersihkan kawasan sekitar dan mengagihkan bantuan makanan atau perubahan memerlukan kerjasama serta koordinasi yang menyeluruh. Melaluinya, hubungan kejiranan semakin erat, sikap tolong-menolong dapat diperkukuh serta komuniti dapat bersedia untuk bertindak secara lebih kolektif. Budaya kerja berpasukan ini dapat melahirkan jaringan sosial yang mantap.

Melahirkan Komuniti Bertanggungjawab dan Aktif

Kesukarelawanan membina nilai disiplin, tanggungjawab, inisiatif dan kepimpinan. Sukarelawan yang aktif cenderung menjadi anggota masyarakat yang lebih peka dan proaktif. Kesan pelibatan aktif sukarelawan menjadikan persekitaran lebih terurus, isu sosial dapat ditangani dengan lebih cepat dan jaringan sokongan komuniti menjadi lebih tersusun. Keadaan ini dapat menyumbang kepada kestabilan dan kematangan masyarakat.

Memperkasakan Peranan Kementerian Belia dan SukanĀ 

Sebagai kementerian yang memberikan tumpuan kepada generasi muda, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memainkan peranan strategik dalam mengukuhkan ekosistem kesukarelawanan. Antara usaha yang dilakukan termasuklah menyediakan platform rasmi untuk penyertaan belia, menggalakkan pelibatan dalam kelab dan persatuan berdaftar, serta menyokong dasar yang memartabatkan kesukarelawanan sebagai tunjang pembangunan sosial negara.

Inisiatif Kementerian Belia dan Sukan dalam Aktiviti Kesukarelawanan

  1. MyCorps

MyCorps ditubuhkan untuk melatih belia menjadi sukarelawan profesional yang bersedia menghadapi tugas di medan sebenar, termasuklah dalam misi antarabangsa, bantuan bencana dan projek pembangunan masyarakat. Program kesukarelawanan belia Malaysia yang berteraskan misi kemanusiaan dan pembangunan komuniti ini dilaksanakan di dalam dan di luar negara.

2. Sukarelawan Anak Malaysia (SATRIA)

SATRIA menjadi platform besar belia untuk memperoleh pengalaman langsung serta memupuk disiplin dan kepimpinan individu. Inisiatif yang dilaksanakan oleh SATRIA ini bertujuan menggembleng semangat belia untuk menyertai aktiviti khidmat masyarakat, bantuan bencana, pengurusan program dan pembangunan komuniti.

3. Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia (HKBM)

Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia merupakan sambutan tahunan yang dilaksanakan oleh KBS bagi meraikan sumbangan sukarelawan seluruh negara serta mempromosikan budaya kerja sukarela merentas komuniti.

4. Kajian Kesukarelawanan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES)

Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia merupakan badan yang bertanggungjawab menjalankan kajian khusus mengenai pelibatan masyarakat dalam aktiviti kesukarelawanan bagi merangka strategi yang lebih berkesan.

5. Perkaitan antara Hari Sukarelawan Antarabangsa dengan Agenda Belia Negara

Melalui program kesukarelawanan yang dianjurkan oleh MyCorps dan SATRIA, Kementerian Belia dan Sukan akan memastikan gerakan sukarelawan negara berkembang secara sistematik dan berterusan. Inisiatif ini bagi memastikan generasi belia mempunyai sikap berdedikasi dan berdaya tahan, mempunyai kesedaran sosial yang tinggi, mampu menyumbang tenaga dan kepakaran kepada masyarakat, serta bersedia menjadi pemimpin masa hadapan. Pendekatan ini juga selari dengan agenda pembangunan modal insan negara.

Kesukarelawanan merupakan mekanisme sosial yang penting dalam menyatukan masyarakat melalui nilai empati, kasih sayang, kerjasama dan tanggungjawab. Apabila budaya ini diperkasakan, perpaduan menjadi semakin kukuh, masyarakat menjadi lebih prihatin, negara lebih bersedia menghadapi cabaran serta kesejahteraan sosial dapat dipertingkatkan. Dengan sokongan berterusan daripada agensi seperti KBS, gerakan sukarelawan akan berkembang demi kebaikan masyarakat dan negara pada masa hadapan.

Aktiviti Kesukarelawanan yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan di Pusat Perlindungan Kucing Putrajaya, Presint 9.
Sukarelawan sedang membersihkan sangkar kucing dan kawasan sekitar.
Sukarelawan sedang memberikan makanan kepada kucing.
Sukarelawan sedang membersihkan kawasan sekitar Pusat Perlindungan Kucing.
Kredit Foto: Kementerian Belia dan Sukan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi