Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSeperti mana yang kita sedia maklum, Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) Ke-17 atau secara rasminya dikenali sebagai Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, berdasarkan pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi setara atau wilayah dalam Persekutuan Malaysia, sepertimana peruntukan asal dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), telah berlangsung dengan jayanya pada 29 November lalu.
Keputusan rasmi pada 30 November menunjukkan kecenderungan undian pilihan rakyat Sabah, iaitu sebanyak 1,148,476 juta orang atau 64.35% daripada keseluruhan pengundi berdaftar berjumlah 1,784,843 orang telah memilih dua parti tempatan, iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan sebagai pilihan utama pada PRN kali ini berbanding dengan parti yang lain.

Parti GRS telah berjaya memperoleh sebanyak 29 kerusi daripada jumlah keseluruhan 73 kerusi yang dipertandingkan, manakala Warisan memiliki sebanyak 25 kerusi. Jumlah kerusi parti yang lain adalah seperti berikut iaitu BN (6), Bebas (5), UPKO (3), Parti Solidariti Tanah Airku atau Star (2), PH (1), PN (1) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat atau ringkasnya KDM (1).
Berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi, tidak ada mana-mana parti yang berjaya mendapat sekurang-kurangnya 37 kerusi sebagai majoriti mudah (simple majority) ataupun 49 kerusi, iaitu dua pertiga (2/3) daripada keseluruhan kerusi untuk menubuhkan kerajaan negeri pasca PRN ke-17 ini. Situasi ini memungkinkan pelbagai proses rundingan dan tarik tali antara parti-parti yang bertanding. Namun begitu, situasi yang jelas pada ketika ini (sewaktu rencana ini ditulis), GRS telah berjaya menubuhkan sebuah kerajaan negeri yang baru hasil daripada sokongan dan pengiktirafan dari Parti PH (satu kerusi), UPKO (tiga kerusi) dan BN (enam kerusi), iaitu sebanyak 39 kerusi. Pengiktirafan dari parti-parti yang disebutkan adalah berasaskan kepada pembentukan 10 Kabinet Menteri utama Kerajaan Negeri Sabah yang diketuai oleh Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dari Parti GRS. Sebanyak 10 ADUN yang dilantik menganggotai kabinet negeri menyaksikan tujuh ADUN diwakili oleh GRS dan masing-masing satu ADUN dari UPKO, PH dan BN.
Walaupun pada dasarnya terdapat penentangan dari beberapa ADUN GRS dan Bebas terhadap pelantikan kabinet negeri khususnya penyertaan ADUN dari BN, namun kepimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji dilihat berupaya meredakan ketegangan dengan melantik sebanyak 17 ADUN ke jawatan Pembantu Menteri. Mereka terdiri daripada 12 ADUN GRS, empat ADUN Bebas dan satu dari STAR. Walau bagaimanapun, Presiden Parti STAR, Datuk Jeffrey Kitingan menafikan sokongan partinya terhadap kerajaan GRS kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji dan menyifatkan penglibatan seorang ADUN STAR tersebut adalah atas kehendak sendiri.
Parti Tempatan Lebih Dominan
Pelbagai kupasan telah diberikan oleh para penganalisis politik tentang keputusan PRN Sabah ke-17. Satu daripada perkara yang tidak dapat dinafikan ialah betapa dominannya pengaruh yang diterima oleh parti-parti tempatan berbanding dengan parti dari luar Sabah atau parti yang membawa agenda nasional seperti Pakatan Harapan (khususnya PKR dan DAP), Perikatan Nasional (PN) dan termasuklah juga Barisan Nasional (BN) yang telah sekian lama menghuni takhta politik kerajaan negara ini. Antara parti-parti nasional ini, BN memenangi sebanyak enam kerusi, iaitu kurang daripada 14 kerusi semasa PRN 2020 yang lalu. Manakala, parti PH-PKR dan PN hanya mampu memperoleh satu kerusi dan DAP pula tewas di kesemua lapan kerusi yang ditandingi.
Senario kemenangan dominan parti tempatan berbanding dengan parti nasional pada kali ini telah mengundang banyak tafsiran sehingga ada pihak yang mengatakan bahawa slogan ‘anti-Malaya’ mula berakar umbi dan mempengaruhi minda dan persepsi para pengundi. Perlu diakui bahawa sentimen menebal kenegerian sememangnya dizahirkan dalam kempen-kempen parti tempatan seperti ‘Selamatkan Sabah’ (Warisan) dan ‘Rumah Kita, Kita Jaga’ (GRS) yang disimpulkan dalam konteks slogan ‘Sabah untuk Rakyat Sabah’ (Sabah for Sabahans).
Namun demikian, parti-parti nasional juga memaparkan keprihatinan dan komitmen mereka untuk dengan menunjukkan sikap peduli dengan mengangkat hak rakyat Sabah menerusi slogan ‘Bikin Balik Sabah’ (BN), ‘Kasi Bagus Sabah’ (PN) dan ‘Komitmen Pakatan Harapan Sabah’ (PH). Malangnya, slogan parti-parti nasional ini gagal menarik minat undian rakyat Sabah, sebaliknya agenda pembangunan negeri yang dibawa oleh parti-parti tempatan terutamanya GRS dan Warisan lebih dilihat meyakinkan.
Dalam hal ini, penulis berpendapat bahawa kemenangan parti-parti tempatan dalam PRN kali ini bukanlah mencerminkan sentimen ‘anti-Malaya’ tetapi lebih kepada aspirasi rakyat Sabah untuk melihat negeri ini dinakhodai oleh kerajaan pimpinan dari parti negeri ini dan bukannya parti dari luar. Hal ini boleh dikaitkan dengan senario perkembangan transisi politik negara ini yang telah berubah sejak pasca dominan dua pertiga era BN berakhir pada tahun 2018 yang lalu.
Berakhirnya era dominasi BN sebagai political leviathan yang memusatkan semua kuasa dan pengaruh di negara ini telah memberikan ruang kepada semua aktor politik termasuklah di Sabah dan Sarawak untuk mengemudi bahtera hala tuju politik di negeri masing-masing. Bahkan gabungan politik nasional yang lain seperti Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN) masih tidak berupaya mengembalikan era dominan satu parti atau gabungan parti.
Walaupun sesetengah pihak melihat era dominasi satu parti atau gabungan parti sebagai kepimpinan ala diktator, namun inilah kestabilan politik negara dapat dinikmati jika dibandingkan dengan era pasca dominasi BN yang menyaksikan berlakunya kekerapan perubahan Kerajaan Persekutuan seperti yang berlaku kepada kerajaan PH tahun 2018-2020, PN 2020-2021 dan pimpinan Datio’ Sri Ismail Sabri 2021-2022. Pasca PRU 2022 pula memberikan peluang kepada PH sekali lagi di bawah pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ataupun untuk mengemudi pemerintahan negara bersama-sama dengan BN dan sokongan dari parti Sabah dan Sarawak. Akan tetapi, suasana politik masih tidak sama kerana gabungan ataupun pakatan pada peringkat federal ini tidak berjaya meraih undi dua pertiga seperti undian yang dimiliki oleh BN pada masa lalu.
Keadaan ini secara tidak langsung menggoyahkan keyakinan rakyat Sabah terhadap pengaruh parti-parti nasional ini dan menyebabkan kecenderungan mereka beralih kepada parti-parti tempatan semasa PRN ke-17 ini. Malah, Sabah yang dahulu dikenali sebagai deposit tetap untuk BN kini peranannya boleh bertindak sebagai antara king maker (penentu) bagi membentuk sebuah kerajaan pada peringkat persekutuan.
Selain daripada itu, isu-isu hak negeri seperti MA63 dan pemulangan semula 40% hasil bersih Persekutuan terhdap Sabah (berlandaskan Perkara 112C dan 112D dalam Perlembagaan Persekutuan), di samping slogan tik-tok ‘Roti Gardenia’, sering kali diwacanakan dalam kempen-kempen pilihan raya yang menyebabkan sentimen ‘Sabah untuk Rakyat Sabah’ begitu dirasai dan diterjemahkan oleh para pengundi pada PRN ini.
Dalam memerihalkan isu tuntutan 40% hasil bersih Persekutuan kepada Sabah, kerajaan pimpinan masa kini sewajarnya tidak menganggapnya sebagai bebanan tetapi sebahagian daripada penunaian tanggungjawab dan juga sebagai pelaburan jangka panjang Kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan sosioekonomi negeri Sabah. Hal ini demikian kerana kemakmuran ekonomi yang bakal dijana oleh Negeri di Bawah Bayu ini bukan sahaja akan mendatangkan manfaat kepada rakyat Sabah tetapi juga kepada seluruh warga Malaysia. Interaksi sosioekonomi antara Kerajaan Persekutuan dengan Negeri Sabah akan lebih erat dan seterusnya membuka peluang ekonomi yang lebih luas memandangkan Sabah diperkaya dengan hasil-mahsul sumber asli dan sektor ekopelancongan yang pelbagai.
Secara keseluruhannya, isyarat para pengundi Sabah pada PRN ke-17 ini tidaklah boleh dianggap sebagai suatu gerakan politik yang tidak mesra kepada Kerajaan Persekutuan, namun boleh disifatkan sebagai aspirasi dan harapan rakyat di negeri ini yang inginkan pembelaan dan penunaian amanah berasaskan Perjanjian Malaysia 1963 yang telah dipersetujui oleh kepimpinan tertinggi Persekutuan dan Negeri dalam memakmurkan bidang sosioekonomi dan yang lebih penting untuk mengeratkan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Sentimen dan persepsi salah sangka perlulah dinoktahi dan semua pihak perlulah menerima keputusan pasca PRN Sabah ke-17 dengan berlapang dada dan berfikiran dengan lebih terbuka.
Profesor Dr. Asmady Idris ialah Dekan dan Pensyarah Program Hubungan Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan kmanusiaan, Universiti Malaysia Sabah.