Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSetiap negara yang berdaulat bukan sahaja memerlukan wilayah, institusi dan undang-undang, tetapi juga pemikiran perundangannya sendiri. Tanpa asas pemikiran yang berakar pada sejarah, nilai dan pengalaman tempatan, undang-undang berisiko menjadi sekadar salinan atau lanjutan mekanikal kepada tradisi luar. Dalam usaha membina jati diri perundangan negara, Malaysia turut berhadapan dengan persoalan ini. Namun begitu, dalam perjalanan tersebut, muncul satu sumbangan pemikiran yang semakin mendapat perhatian melalui karya, hujah dan kerangka analisis yang konsisten, iaitu jurisprudens watan dan fiqh al-watan yang diasaskan oleh Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain.

Sumbangan beliau tidak terhenti pada wacana akademik semata-mata, malah telah mendapat pengiktirafan negara. Sejak tahun 2018, beliau telah menghasilkan 10 buah buku berkaitan watan yang memenangi Anugerah Buku Negara, sebelum dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Khas Tokoh Buku Negara 2024/2025 (Pengasas Jurisprudens Watan dan Fiqh al-Watan). Pengiktirafan ini bukan sekadar menghargai pencapaian individu, tetapi menandakan kemunculan satu aliran pemikiran perundangan watan yang semakin matang dan berwibawa dalam wacana nasional.
Jurisprudens watan yang diasaskan oleh Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi bukan sekadar satu istilah baharu, tetapi satu kerangka pemikiran perundangan yang tersusun dan berprinsip, dibangunkan atas kesedaran bahawa undang-undang tidak pernah wujud dalam ruang kosong. Sebaliknya, hukum sentiasa terbentuk melalui hubungan dengan sejarah, kedaulatan, autoriti politik dan nilai masyarakat. Dalam konteks Malaysia, pendekatan ini menuntut agar undang-undang difahami melalui pengalaman sejarah Melayu-Islam, kedudukan Raja-raja Melayu, perlembagaan negara, serta kesinambungan tradisi hukum tempatan yang telah lama berakar sebelum kemerdekaan.
Keunggulan pemikiran beliau terserlah melalui pembinaan kerangka kontinum (continuum framework) yang menjadi teras jurisprudens watan. Berpandukan Surah al-Shūrā (42:13), beliau menegaskan bahawa syariat Allah bersifat berterusan merentas zaman dan umat. Surah al-Mā’idah (5:48) pula dijadikan asas untuk memahami kepelbagaian bentuk perundangan dalam satu kesatuan wahyu. Pendekatan ini menolak pandangan yang memisahkan agama daripada realiti negara moden, dan pada masa yang sama menolak kecenderungan mentafsir undang-undang secara ahistorikal atau terpisah daripada konteks watan.
Melalui kerangka ini, konsep watan diangkat daripada sekadar latar geografi atau identiti budaya kepada satu kategori pemikiran perundangan yang sah. Watan difahami sebagai entiti berdaulat yang memiliki sejarah hukum dan autoriti tersendiri, bukan ruang neutral yang boleh diisi oleh mana-mana sistem undang-undang tanpa mengambil kira pengalaman dan nilai tempatan. Pendekatan ini memberikan implikasi besar terhadap cara perlembagaan difahami, khususnya dalam menilai kedudukan Raja-raja Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan, serta prinsip kedaulatan undang-undang yang berakar pada sejarah negara.
Kekuatan jurisprudens watan juga terletak pada keupayaannya bergerak melampaui perbahasan teori kepada aplikasi dalam bidang perlembagaan dan kehakiman. Analisis Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi terhadap peruntukan seperti Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan memperlihatkan bahawa kerangka watan boleh digunakan sebagai pendekatan tafsiran yang lebih seimbang dan kontekstual, tanpa terikat sepenuhnya kepada kerangka pemikiran Westminster. Pada tahap ini, jurisprudens watan berkembang sebagai satu pendekatan pemikiran yang praktikal dan relevan dengan realiti undang-undang negara.
Daripada asas jurisprudens inilah lahirnya fiqh al-watan, iaitu fiqh yang berfungsi untuk mengurus realiti kenegaraan, institusi dan dasar awam secara berperingkat dan berkeutamaan. Fiqh al-watan tidak terbatas kepada perbahasan hukum individu semata-mata, sebaliknya memberikan tumpuan kepada bagaimana prinsip syariah dapat diterjemahkan secara berhemah dalam pengurusan negara dan penggubalan dasar awam, selaras dengan sejarah dan perlembagaan Malaysia.
Keberhasilan fiqh al-watan mencapai tahap aplikatif dan berwibawa diperkukuh secara signifikan melalui pengenalan kaedah PoCFAM (Potential, Challenges, Facilitation, Aulawiyyāt and Maqāṣid) untuk menjelaskan prinsip etika tadbir urus bertaraf dunia (the World Class Good Governance Ethics) yang dikonseptualkan oleh Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi. PoCFAM bukan sekadar alat analisis hukum, tetapi satu kerangka pembuatan keputusan beretika dan strategik yang mampu mengintegrasikan nilai, realiti dan tadbir urus.
Melalui pengenalpastian potential, sesebuah watan atau institusi tidak dilihat dari sudut masalah semata-mata, tetapi daripada kekuatan dan peluang yang boleh dimanfaatkan. Analisis challenges pula memastikan keputusan dibuat secara realistik dan bertanggungjawab. Elemen facilitation menekankan elemen persekitaran serta peranan institusi, undang-undang dan kepimpinan sebagai pemudah cara, manakala aulawiyyāt menjamin keutamaan ditentukan secara adil dan berperingkat. Keseluruhannya diselaraskan dengan maqāṣid syariah, menjadikan PoCFAM satu pendekatan yang selari dengan prinsip patuh syariah, berteraskan akauntabiliti, keadilan dan kebijaksanaan, serta mengukuhkan fiqh al-watan sebagai panduan keputusan kenegaraan yang berwibawa.
Secara keseluruhannya, sumbangan Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain terletak pada kejayaannya membina satu tradisi pemikiran perundangan watan yang asli, berwibawa dan relevan. Jurisprudens watan dan fiqh al-watan yang diasaskannya bukan sahaja memperkayakan khazanah ilmu, tetapi turut membuka ruang baharu kepada pembinaan negara yang lebih berdaulat dari sudut pemikiran dan perundangan. Dalam dunia yang berdepan krisis legitimasi undang-undang dan identiti negara, gagasan ini wajar dilihat sebagai satu usaha serius ke arah kedaulatan ilmu dan keadilan berteraskan watan.
Prof. Madya Dr. Hanif Md Lateh merupakan Timbalan Pengarah Seksyen Pemindahan Ilmu, Pusat Pemindahan Ilmu dan Pendidikan Berterusan, Universiti Sultan Zainal Abidin.