Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangHari Radio Sedunia merupakan sambutan antarabangsa yang diraikan pada setiap 13 Februari bagi menghargai radio sebagai medium komunikasi yang menyampaikan maklumat, pendidikan dan hiburan kepada masyarakat sejagat.
Sejarah radio bermula pada akhir abad ke-19 apabila penemuan gelombang elektromagnet oleh tokoh sains seperti Guglielmo Marconi telah membuka jalan kepada penghantaran isyarat tanpa wayar, sekali gus menjadikan radio atau tetuang udara (istilah lama bahasa Melayu) merujuk pada alat yang menyebarkan suara melalui udara.
Sejak digunakan secara meluas pada awal abad ke-20, radio menjadi medium utama penyebaran berita, suara perjuangan, hiburan rakyat serta alat komunikasi penting semasa peperangan dan bencana, sekali gus membuktikan kekuatan pengaruhnya dalam kehidupan manusia.
Oleh itu, sambutan Hari Radio Sedunia bukan sekadar mengenang sejarah penciptaannya, malah menegaskan bahawa radio sebagai tetuang udara terus relevan dan berfungsi walaupun dunia kini bergerak pantas pada era digital dan kecerdasan buatan.
Sejujurnya, radio tetap memainkan peranan penting dalam era digital sebagai medium komunikasi yang mudah diakses, pantas dan dipercayai oleh masyarakat. Walaupun pelbagai platform media baharu muncul, radio tidak memerlukan capaian Internet atau peranti canggih, lantas menjadikannya saluran maklumat yang inklusif untuk semua lapisan masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar atau ketika berlakunya gangguan teknologi.
Sebagai contoh, semasa bencana alam seperti banjir besar di beberapa buah negeri Malaysia, stesen radio tempatan menjadi saluran utama untuk menyampaikan amaran awal, lokasi pusat pemindahan, panduan keselamatan dan perkembangan terkini keadaan cuaca. Pendengar yang tinggal di kawasan terpencil, tiada capaian Internet atau telefon pintar, masih boleh mendengar siaran radio melalui penerima mudah alih atau kereta, untuk memastikan mereka mendapat maklumat penting tepat pada masanya.
Semasa kejadian gempa bumi atau gangguan elektrik di kawasan tertentu, radio menjadi medium komunikasi yang menyampaikan mesej rasmi pihak berkuasa, membolehkan masyarakat membuat persediaan atau bertindak sewajarnya tanpa panik.
Oleh itu, kewujudan radio pada era digital bukan sahaja melengkapi media moden, malah membuktikan bahawa radio terus relevan sebagai suara masyarakat yang berfungsi merentas masa dan perubahan teknologi.
Selain sebagai saluran maklumat, radio berperanan penting dalam menyatukan masyarakat serta memupuk nilai pendidikan dan budaya. Melalui rancangan bual bicara, slot pendidikan, drama radio dan siaran berunsur budaya, radio menjadi ruang perkongsian idea yang mendidik, merapatkan jurang sosial serta menggalakkan kefahaman antara pelbagai latar belakang pendengar.
Sebagai contoh, program radio seperti “Atma Bahasa” di Radio Perak FM merupakan rancangan bahasa yang bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka melalui Munsyi Dewan Jemputan turut menjadi wadah memperkenalkan dialek tempatan.
Begitu juga di stesen radio lain yang menyediakan slot siaran komuniti di stesen-stesen tempatan yang menampilkan pengajaran dan pembeajaran bahasa Melayu, dialek tempatan, muzik tradisional, cerita rakyat dan wawancara bersama-sama dengan tokoh masyarakat. Pendengar dari bandar dan luar bandar boleh mendengar pengalaman, budaya dan kisah kehidupan penduduk setempat, sekali gus memperkenalkan generasi muda kepada nilai tradisi dan sejarah tempatan.
Rancangan pendidikan seperti kuiz bahasa, tip kesihatan atau panduan pertanian yang disiarkan secara santai membantu menyalurkan ilmu secara interaktif, sambil menggalakkan pendengar aktif bertanya atau berkongsi pendapat melalui panggilan telefon atau media sosial.
Jelas sekali radio bukan sekadar alat hiburan, sebaliknya medium berpengaruh yang membentuk minda, menyatukan suara masyarakat dan menyokong pembangunan sosial pada era digital.
Di samping itu, pada era teknologi moden, radio turut berkembang dengan memanfaatkan kecerdasan buatan bagi meningkatkan kualiti penyiaran dan penyampaian kandungan. Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) membantu stesen radio merancang kandungan secara lebih sistematik, memperkemas kualiti audio, menganalisis minat pendengar, serta mempercepat penyebaran maklumat tanpa menjejaskan peranan manusia sebagai penyampai dan pencipta kandungan.
Sebagai contoh, teknologi AI digunakan dalam pemilihan muzik automatik, transkripsi siaran, terjemahan bahasa serta penyuntingan audio yang lebih efisien, sekali gus menjadikan penyiaran radio lebih dinamik dan relevan dengan kehendak pendengar masa kini.
Oleh itu, gabungan radio dan AI membuktikan bahawa radio bukan medium lapuk, sebaliknya medium yang mampu menyesuaikan diri dan terus berfungsi seiring kemajuan teknologi digital.
Seterusnya, radio juga berperanan sebagai medium inklusif yang menghubungkan komuniti di seluruh Malaysia, merapatkan jurang sosial dan budaya bangsa.
Dengan stesen radio tempatan di setiap negeri, rakyat boleh mendengar berita, muzik, program pendidikan dan bual bicara dalam bahasa yang difahami oleh mereka, sama ada Melayu, Cina, Tamil atau dialek tempatan, sekali gus membentuk rasa perpaduan dan identiti bersama.
Sebagai contoh, program di Radio Klasik atau rancangan bual bicara komuniti membantu pendengar di bandar dan luar bandar berkongsi pengalaman, isu tempatan dan budaya bagi membolehkan pendengar merasa suara mereka didengari walaupun berada di lokasi terpencil.
Dengan kata lain, radio bukan sahaja medium hiburan atau pendidikan, malah menjadi tetuang udara yang menyatukan masyarakat pelbagai kaum dan budaya, seterusnya menjadikannya elemen penting dalam pembangunan sosial dan komunikasi nasional.
Kesimpulannya, radio merupakan medium komunikasi yang telah melalui perjalanan panjang sejak penciptaannya dan terus memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat, pendidikan serta menyatukan masyarakat.
Sekiranya radio terus memanfaatkan kemajuan teknologi digital dan AI secara beretika, medium ini diyakini mampu kekal relevan serta berfungsi sebagai suara masyarakat yang dipercayai dan dekat dengan pendengar.
Sempena Hari Radio Sedunia, marilah kita menghargai peranan radio dan para penggiatnya yang tidak pernah jemu menyampaikan suara, cerita dan makna, agar radio terus hidup sebagai nadi komunikasi dalam dunia yang sentiasa berubah.