Diterbitkan pada 23 Februari 2026, 10:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dalam usaha mencapai pertumbuhan ekonomi mampan dan pembangunan sosial yang inklusif, Malaysia memerlukan sektor awam yang bukan sahaja cekap dari segi pentadbiran, malah beretika dan bertanggungjawab kepada rakyat. Keberkesanan reformasi tadbir urus bergantung pada integriti, orientasi etika dan kualiti pembuatan keputusan pegawai awam yang menterjemah dasar kepada hasil operasi.

Aspek akauntabiliti, ketelusan dan tadbir urus berpusatkan rakyat amat penting untuk memastikan inisiatif reformasi menghasilkan keputusan yang sahih dan berkesan. Walaupun kapasiti kewangan, kemajuan teknologi, dan modal insan penting, kualiti etika kepimpinan menentukan tahap kepercayaan rakyat dan legitimasi institusi, amat penting untuk kesejahteraan masyarakat.

Dalam konteks ini, perolehan awam merupakan fungsi kritikal dan berisiko tinggi bagi negara. Perolehan awam ialah mekanisme utama yang melibatkan sumber awam ditukarkan kepada barangan, perkhidmatan dan infrastruktur penting bagi pembangunan nasional. Secara global, tadbir urus perolehan yang berkesan dikaitkan dengan keberkesanan ekonomi, integriti pengurusan kewangan awam dan pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (OECD,2023). Di Malaysia, perolehan melibatkan perbelanjaan awam yang besar dan kuasa budi bicara yang luas, lantaran kelakuan etika penggubal keputusan adalah amat penting.

Walaupun terdapat rangka kerja undang-undang dan peraturan yang lengkap, ketidakpatuhan dalam perolehan awam masih berlaku. Masalah lazim termasuklah pelanggaran prosedur, konflik kepentingan, kekurangan ketelusan dan akauntabiliti yang lemah, menyebabkan kebocoran kewangan, kelewatan projek, serta ketirisan keyakinan rakyat terhadap institusi awam. Kajian empirik menunjukkan bahawa kegagalan ini selalunya berpunca daripada kecuaian etika dan amalan budi bicara pegawai kanan, termasuklah ketua agensi kerajaan. Kelemahan tadbir urus ini membuktikan bahawa pendekatan berasaskan peraturan semata-mata tidak mencukupi tanpa kesedaran etika pada peringkat kepimpinan.

Bagi menangani isu tersebut, artikel ini mencadangkan pendekatan Fiqh al-Watan yang dibina melalui penerapan Etika Tadbir Urus Bertaraf Dunia (World Class Good Governance Ethics -WCGGE) sebagai penyelesaian utama. Fiqh al-Watan dan WCGGE merupakan pemikiran watan dan kerangka konsep yang diasaskan oleh Wan Ahmad Fauzi (2020). Kepimpinan Nabi Muhammad (SAW) menjadi doktrin dan model tadbir urus beretika unggul. Kekuatan WCGGE terletak pada tiga dimensi utama, iaitu kesahan falsafah kontinum, doktrin dan prinsip watan berteraskan keadaan tempatan atau U’ruf, sebagai metodologi operasional.

Pertama, falsafah kontinum menekankan kepimpinan Nabi Muhammad (SAW) sebagai model tadbir urus etika bertaraf dunia. Nilai teras tadbir urus unggul, yakni amanah, kepatuhan kepada wahyu, menyeru kebaikan, mencegah kemungkaran, mengelak kemusnahan, akauntabiliti dan kepercayaan beragama yang mengarah kepada komitmen untuk menegakkan keadilan melalui amalan syura (perundingan). Nilai tersebut bersifat universal, berterusan dan trans-temporal, dalam mengukuhkan hujah bahawa elemen Syariah berfungsi sebagai perlembagaan moral hidup dalam tadbir urus moden, yang bukan sahaja melindungi umat Islam, malah turut menjamin keadilan dan kesejahteraan bagi bukan Muslim.

Kedua, doktrin dan prinsip watan mengangkat Syariah daripada kepatuhan normatif kepada kerangka dasar yang berwibawa dan sensitif konteks, menghormati kedaulatan watan, melindungi kepentingan awam dan mengambil kira realiti sosioekonomi serta institusi semasa. Dalam paradigma ini, Fiqh al-Watan menjadi jambatan antara wahyu, dalam konteks tempatan, dan tuntutan praktikal tadbir urus moden, bagi memastikan keputusan beretika kekal berprinsip tanpa terlepas daripada realiti kehidupan.

Ketiga, PoCFAM menjadikan WCGGE praktikal melalui proses pembuatan keputusan yang tersusun. Metodologi tersebut mengenal pasti potentials (potensi) tanpa menafikan realiti, mengurus challenges (cabaran) secara etika, memanfaatkan facilitation (kemudahan) institusi, sosial, alam sekitar dan undang-undang, menyusun aulawiyyat (keutamaan) secara hierarki dan berprinsip, serta memastikan keputusan selaras dengan Maqasid al-Shariah. PoCFAM menjadikan aspek tadbir urus etika bukan sekadar aspirasi tetapi operasi, terutamanya dalam domain perolehan yang melibatkan budi bicara tinggi.

WCGGE juga menekankan perbezaan antara pendekatan kontinum dengan dikotomi dalam sejarah tamadun. Tamadun kesinambungan menempatkan kuasa politik di bawah autoriti moral, menjadikan etika, undang-undang dan tadbir urus sebahagian daripada satu kesinambungan moral yang bersumber daripada tanggungjawab kepada Tuhan, amanah dan pencapaian maqasid. Sebaliknya, tamadun dikotomi memisahkan etika daripada kuasa dan undang-undang, menjadikan peraturan dan kedaulatan negara sebagai penentu utama, dengan etika berfungsi sebagai kawalan luaran atau retrospektif (Wan Ahmad Fauzi, 2018–2025).

Sejarah Eropah semasa Renaisans menekankan pemisahan agama dan kehidupan awam, manakala tamadun kontinum berteraskan Islam (abad kelapan hingga ke-16) menonjolkan tadbir urus etika menyeluruh, pentadbiran berkeadilan, keadilan ekonomi, dan kemajuan saintifik. Walaupun kemerosotan masyarakat Islam dikaitkan dengan pengabaian sistem etika Islam secara menyeluruh, warisan ini tetap relevan sebagai panduan normatif untuk reformasi tadbir urus kontemporari.

WCGGE menjadikan Nabi Muhammad (SAW) sebagai contoh universal kepimpinan beretika, diiktiraf oleh sarjana bukan Muslim. Michael H. Hart (1992) menyifatkan baginda sebagai “tokoh paling berpengaruh dalam sejarah manusia,” yang menekankan kepentingan model kepimpinan ini merentasi budaya. Integrasi WCGGE membolehkan kesedaran etika ditanamkan pada titik budi bicara pegawai kanan dalam keputusan perolehan, seterusnya mengurangkan ketidakpatuhan, memperkukuh akauntabiliti, memulihkan keyakinan rakyat, serta meningkatkan standard tadbir urus beretika negara.

Kesimpulannya, Fiqh al-Watan, melalui WCGGE dan PoCFAM, menyediakan penyelesaian komprehensif bagi menangani ketidakpatuhan dalam perolehan awam. Pendekatan ini membolehkan tadbir urus berubah daripada sekadar pematuhan prosedur kepada tadbir urus beretika dalam usaha memastikan sektor awam Malaysia berfungsi sebagai tiang pembangunan nasional yang mampan.

Penulis merupakan Penolong Pengarah Kanan di Jabatan Perkhidmatan Awam.

 

 

 

 

 

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi