Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDalam masyarakat yang semakin sibuk dan terpisah oleh urusan dunia, sebuah tradisi kecil seperti moreh mengingatkan bahawa kebersamaan juga merupakan ibadah.
Dalam suasana malam Ramadan yang tenang dan bercahaya, selepas saf-saf solat sunat Tarawih dileraikan, masyarakat Melayu terus menyuburkan budaya yang menyaksikan kemeriahan waktu malam selepas ibadah sunat pada bulan Ramadan, iaitu moreh. Di serambi masjid, di bawah khemah surau, bahkan di ruang legar restoran moden, jemaah duduk bersila menikmati juadah ringan sambil bertegur sapa. Tradisi ini kelihatan sederhana, namun di situlah terjalin simpulan ukhuwah, gotong-royong dan kebersamaan yang menjadi teras budaya masyarakat Melayu beragama Islam di Malaysia.
Moreh bukan sekadar makan lewat malam, namun sebagai ruang sosial yang mempertemukan komuniti selepas ibadah, menghubungkan generasi tua dan muda, serta menjadi wahana sedekah dan kebajikan sepanjang bulan yang penuh keberkatan.
Tradisi Turun Temurun dan Sejarah Istilah
Amalan berkongsi makanan selepas solat telah lama wujud dalam masyarakat Melayu, khususnya di masjid dan surau kampung. Namun begitu, penggunaan istilah moreh sendiri mempunyai sejarah yang menarik.
Beberapa tokoh masyarakat di Pulau Pinang menyatakan bahawa istilah tersebut telah digunakan sejak sebelum Perang Dunia Kedua bagi merujuk kepada jamuan selepas Terawih. Walau bagaimanapun, penyebaran meluas istilah moreh di seluruh Semenanjung Malaysia hanya berlaku sekitar 30 hingga 40 tahun yang lalu. Sebelum itu, jamuan selepas solat malam tidak mempunyai nama khusus, sekadar disebut sebagai “jamuan” atau “makan selepas Tarawih”.
Di Sarawak, perkataan moreh membawa makna makan lewat malam atau supper dalam dialek tempatan dan tradisi ini direkodkan telah wujud sekurang-kurangnya sejak 1950-an. Dari sudut etimologi, terdapat beberapa teori asal usul nama moreh. Ada yang mengaitkannya dengan asimilasi bahasa Jawa dan Melayu, iaitu gabungan perkataan mangan (makan) dan Tarawih, yang kemudiannya diringkaskan menjadi mareh atau moreh. Teori lain menyebut bahawa perkataan tersebut mungkin berasal daripada ungkapan ajakan moh Tarawih yang sering dilaungkan sebelum berkumpul untuk makan.
Bahkan, terdapat kisah rakyat di Pulau Pinang yang menceritakan seorang pegawai British yang terkejut melihat makanan dihidangkan selepas solat lalu berseru, Oh, there’s more! yang kemudiannya dilokalkan menjadi moreh.
Walaupun sukar untuk dibuktikan secara akademik, teori-teori ini menunjukkan bahawa moreh bukan sekadar istilah, tetapi refleksi interaksi budaya dan sejarah masyarakat setempat.
Fungsi Sosial: Ukhuwah dan Modal Sosial Komuniti
Dalam konteks sosiologi, moreh berfungsi sebagai mekanisme pengukuhan modal sosial komuniti sambil membuka ruang interaksi santai selepas ibadah formal, membolehkan jemaah beramah mesra tanpa kekangan masa dan struktur.
Bagi golongan dewasa, moreh menjadi medan bertukar khabar, merancang aktiviti kariah dan memperkukuh jaringan persaudaraan. Bagi warga emas, budaya ini merupakan ruang kebersamaan yang mengurangkan rasa sunyi. Manakala bagi kanak-kanak, juadah moreh sering menjadi motivasi untuk hadir ke masjid dan mengikuti solat berjemaah.
Tradisi ini juga memperlihatkan budaya gotong-royong yang masih hidup dalam masyarakat Melayu. Di kampung-kampung, ahli kariah khususnya kaum ibu akan berkumpul di dapur masjid untuk memasak secara sukarela. Bahan mentah disumbangkan penduduk, tenaga dicurahkan bersama, dan hasilnya dinikmati oleh seluruh komuniti.
Di kawasan bandar pula, jawatankuasa masjid menguruskan tabung khas atau menerima tajaan individu yang ingin bersedekah. Ada juga syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menaja hidangan moreh sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR). Fenomena ini menunjukkan bahawa moreh turut menjadi platform amal jariah yang signifikan sepanjang bulan Ramadan.
Dimensi Kerohanian dan Budaya Rehat
Walaupun moreh bukan tuntutan agama yang wajib, namun tradisi ini melengkapi suasana spiritual bulan Ramadan. Selepas tempoh fokus yang panjang dalam solat, waktu santai ini memberikan ruang untuk menyegarkan minda. Ada pandangan yang mengaitkan moreh dengan istilah Arab murīḥ yang membawa maksud sesuatu yang merehatkan walaupun hubungan linguistiknya tidak semestinya langsung.
Dari sudut psikologi, kebersamaan dalam suasana positif selepas ibadah meningkatkan rasa kepunyaan (sense of belonging) terhadap komuniti. Individu tidak hanya hadir sebagai jemaah yang berdiri dalam saf, tetapi sebagai anggota masyarakat yang saling mengenali dan menyantuni.
Hidangan Ikonik: Simbol Kesederhanaan dan Tenaga
Menu moreh lazimnya ringan, mudah dikongsi dan mengenyangkan. Hidangan tradisional seperti bubur menjadi pilihan utama kerana praktikal untuk dimasak dalam kuantiti besar.
Antara yang paling ikonik ialah Bubur Lambuk yang terkenal di Masjid Jamek Kampung Baru, iaitu dimasak dengan resipi rempah dan herba yang diwarisi turun-temurun. Selain itu, Bubur Kacang Hijau, Bubur Chacha dan Bubur Pedas (popular di Sarawak) turut menjadi pilihan.
Kuih-muih tradisional seperti kuih Seri Muka, Kuih Lapis, Kuih Kosui dan Belebat Ubi turut melengkapkan hidangan. Di sesetengah tempat, menu yang lebih berat seperti mee goreng, bihun goreng, nasi lemak mini atau laksa turut dihidangkan, khususnya selepas solat 20 rakaat.Minuman klasik seperti teh O panas atau kopi O pula menghangatkan lagi suasana malam.
Namun demikian, dari sudut kesihatan, pengambilan makanan semasa moreh perlu sesederhana yang mungkin. Makan berlebihan lewat malam boleh menyebabkan kenaikan berat badan, gangguan kitaran tidur, ketidakhadaman dan pedih ulu hati. Bagi pesakit diabetes, pemilihan makanan rendah gula dan seimbang penting bagi mengawal paras glukosa antara waktu berbuka dan sahur.
Moreh seharusnya berfungsi sebagai pengisi tenaga sederhana, bukannya menggantikan sahur atau menjadi pesta makan lewat malam.
Perkembangan Moden: Dari Serambi Masjid ke Kafe Kota
Sejak kebelakangan ini, konsep moreh turut mengalami transformasi. Di bandar-bandar besar, restoran dan kafe menawarkan “Set Moreh Khas Ramadan” dan beroperasi sehingga lewat malam. Fenomena ini memperlihatkan pertembungan antara tradisi dengan nilai komersialisasi.
Walaupun suasananya berbeza daripada serambi masjid, fungsi sosialnya masih sama, iaitu berkumpul selepas solat Tarawih dan menikmati hidangan bersama-sama. Namun persoalannya, adakah nilai gotong-royong dan sedekah masih terpelihara, atau sekadar menjadi trend gaya hidup masa kini?
Perubahan ini mencerminkan dinamika masyarakat Muslim kontemporari yang semakin urban dan berorientasikan perkhidmatan. Oleh itu, cabaran masa kini pastinya untuk mengekalkan roh kebersamaan moreh agar tidak terhakis oleh komersialisasi semata-mata.
Tradisi Seumpama Moreh dalam Dunia Islam
Walaupun istilah moreh unik di Malaysia, Singapura dan Brunei, amalan makan ringan selepas solat Tarawih wujud di kebanyakan negara Islam.
Di Indonesia, budaya takjil dan hidangan selepas solat malam turut meriah dengan kolak, gorengan dan kuih tradisional. Di Timur Tengah, waktu selepas Tarawih hingga sahur menjadi detik sosial yang hidup, dengan pencuci mulut seperti Qatayef di Mesir dan Luqaimat di negara Teluk dinikmati bersama-sama keluarga dan rakan-rakan.
Di Maghribi dan Algeria, teh pudina bersama pastri manis seperti Zlabia dan Makroud mengisi malam Ramadan. Manakala di India dan Pakistan, kawasan kejiranan Muslim meriah dengan jualan jalebi, halwa dan teh Kashmiri selepas solat.
Perbandingan ini menunjukkan bahawa budaya makan selepas ibadah malam merupakan fenomena sejagat dalam dunia Islam — cuma namanya berbeza, rasanya berbeza, tetapi tujuannya serupa, iaitu mencipta nilai kebersamaan.
Kesederhanaan sebagai Prinsip
Akhirnya, kekuatan moreh bukan terletak pada jenis hidangan atau kemeriahan jamuan, tetapi pada nilai yang diangkatnya, iaitu ukhuwah, sedekah, gotong-royong dan kesederhanaan.
Pada era masyarakat yang semakin individualistik, moreh menjadi ruang sosial yang merapatkan jurang serta menyatukan golongan kaya dan sederhana dalam satu hamparan, menikmati juadah yang sama tanpa hierarki.
Namun perlu diingatkan bahawa moreh ialah budaya masyarakat, bukannya sebagai kewajipan agama. Maka itu, pengambilan makanan selepas waktu Tarawih haruslah sederhana agar tujuan asalnya untuk mengimarahkan tempat ibadah dan mengeratkan silaturahim sesama bangsa dan agama tidak tersasar.
Di bawah cahaya lampu masjid yang malap dan angin malam Ramadan yang lembut, moreh terus hidup sebagai simbol kebersamaan yang mungkin hanya semangkuk bubur atau sekeping kuih, tetapi dalam kesederhanaan itu tersimpan makna besar tentang siapa kita sebagai masyarakat.