Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 mencatatkan peningkatan Gred Purata Kebangsaan (GPK) dengan 4.42 mata berbanding dengan SPM tahun 2024, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan KPM dalam usaha melahirkan generasi yang holistik, berpengetahuan, berdaya saing dan berintelektual.
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPM), YBrs.Dr. Mohd Azam Ahmad, dalam sidang media rasmi yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama,KPM pada pagi ini, mengumumkan bahawa GPK SPM bagi tahun 2025 ialah sebanyak 4.42, berbanding dengan 4.49 pada tahun 2024 dengan mencatatkan peningkatan sebanyak 0.07 mata.
“Secara keseluruhannya, pencapaian calon SPM tahun 2025 adalah lebih baik berbanding dengan calon SPM tahun 2024,” ujar beliau.
YBrs. Dr. Mohd Azam mengulas mengenai jurang pencapaian antara calon bandar dengan luar bandar mengecil dengan kedua-dua calon dari bandar dan luar bandar menunjukkan peningkatan berdasarkan Gred Purata Mengikut lokaliti.
Calon bandar mencatatkan peningkatan sebanyak 0.07 mata, manakala calon di luar bandar merekodkan peningkatan sebanyak 0.11 mata. Jurang pencapaian antara kedua-dua kategori ini kekal kecil, iaitu dengan perbezaan hanya 0.04 mata.
“Kejayaan ini dapat dilihat dengan keberkesanan warga KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan agensi sekolah untuk meningkatkan daya ketahanan, memberikan akses dan ekuiti kepada pelajar bagi melaksanakan intervensi secara berkesan,” jelasnya.
Beliau juga berkata bahawa sebanyak 366,435 calon (94.29 peratus) bagi calon baharu yang layak menerima sijil SPM, berbanding dengan 355,933 calon (94 peratus) pada SPM tahun 2024 yang menunjukkan peningkatan sejumlah 10,502 calon.
Bagi calon sekolah di bawah kelolaan KPM, sebanyak 329,272 calon (94.51 peratus) layak dianugerahkan sijil SPM tahun 2025, berbanding dengan sebanyak 319,016 calon SPM tahun 2024.
Sementara itu, bagi calon berkeperluan pendidikan khas (CBPK), lebih kurang 1516 calon (80.72 peratus) berjaya memperoleh sijil SPM dengan menunjukkan peningkatan sedikit, berbanding 78.3 peratus pada tahun 2024.

Secara keseluruhannya, daripada 95 mata pelajaran yang ditawarkan, sebanyak 63 mata pelajaran mencatatkan peningkatan prestasi, 29 mata pelajaran menurun, manakala tiga mata pelajaran tidak berubah.
Menyentuh pengiktirafan pensijilan SPM pada peringkat antarabangsa, beliau menegaskan bahawa pensijilan SPM merupakan satu pensijilan yang diperakui pada peringkat antarabangsa dengan pelibatan pakar pentaksiran pendidikan luar negara bagi menjamin mutu pentaksiran serta penetapan standard peperiksaan.
“Antara institusi yang menyumbang kepakaran dalam peperiksaan SMPM 2025 termasuklah Cambridge University Press and Assessment (CUPA), United Kingdom, New Zealand Qualifications Authority (NZQA) dan Institute of Accountant and Bookkeepers (IAB) United Kingdom,” tambahnya lagi.
Menutup sidang media berkenaan, YBrs. Dr. Mohd Azam menzahirkan rasa kesyukuran dan keterujaan atas pencapaian SPM tahun 2025, yang jelas mencerminkan keberkesanan pelbagai usaha yang telah dilaksanakan oleh KPM demi memastikan sistem pendidikan negara kekal berwibawa, bermutu, iklusif dan memberikan peluang yang adil kepada semua calon di seluruh negara.
Turut hadir dalam sidang media tersebut termasuklah Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sektor Perancangan dan Pembangunan KPM, YBhg. Dato’Wan Hashim Wan Rahim; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Sektor Dasar dan Kurikulum, YBrs. Dr. Rosmini Tungku Ahmad; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Sektor Operasi Sekolah, Tuan Zainal Abbas; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme), YBhg. Dato’ Amzan Abdul Malek, serta barisan pengurusan tertinggi KPM.