Diterbitkan pada 3 April 2026, 11:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengeluarkan surat edaran bertarikh 2 April 2026 mengenai pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) bagi perkhidmatan awam berikutan konflik yang berlaku di Asia Barat. 

Langkah strategik ini diambil oleh kerajaan untuk memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam mendepani krisis tenaga global dengan membenarkan Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan melaksanakan BDR secara berperingkat. 

Pelaksanaan ini adalah berdasarkan dasar, syarat, dan peraturan yang telah ditetapkan dalam Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (PPSM) Ceraian SR.4.1.2: Dasar Bekerja dari Rumah.

Menurut surat edaran tersebut, pegawai yang layak untuk melaksanakan BDR ini mestilah memenuhi dua kriteria utama, iaitu berkhidmat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, atau mana-mana ibu negeri, serta mempunyai jarak perjalanan sehala dari pejabat ke rumah yang melebihi 8 kilometer. 

Walau bagaimanapun, beberapa sektor dikecualikan daripada arahan ini, termasuk sektor pertahanan dan keselamatan (seperti Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Imigresen), sektor kesihatan (melibatkan pegawai perubatan, farmasi, jururawat dan lain-lain di bawah skim perkhidmatan kesihatan) serta sektor pendidikan yang terlibat secara langsung dengan sesi persekolahan.

Bagi memastikan penyampaian perkhidmatan tidak terjejas, Ketua Jabatan bertanggungjawab menentukan perkhidmatan penting (essential services) dan menyusun jadual BDR mengikut kesesuaian operasi. 

Bagi negeri yang mempunyai Hari Kelepasan Mingguan (HKM) pada hari Ahad, BDR ditetapkan pada hari Selasa hingga Khamis secara sepenuh hari, manakala BDR tidak dibenarkan pada hari Isnin dan Jumaat. Bagi negeri yang mempunyai HKM pada hari Jumaat (Kedah, Kelantan, dan Terengganu), BDR dilaksanakan pada hari Isnin hingga Rabu, manakala BDR tidak dibenarkan pada hari Ahad dan Khamis.

Sepanjang tempoh BDR, pegawai hanya dibenarkan bekerja dari rumah yang didaftarkan dalam Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS). Kehadiran pegawai perlu direkodkan menggunakan aplikasi SPOT-Me melalui fungsi geolokasi pada setiap satu jam bagi membolehkan Ketua Jabatan memantau keberadaan mereka. Selain itu, Ketua Jabatan perlu mengenal pasti, menyemak dan mengesahkan sasaran kerja serta output pegawai secara berkala. 

Arahan BDR ini berkuat kuasa mulai 15 April 2026 dan turut dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun serta Pihak Berkuasa Tempatan tertakluk kepada penerimaan pihak berkuasa masing-masing.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi