Diterbitkan pada 4 April 2026, 16:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Negara kehilangan seorang tokoh yang berwibawa, Tun Dr. Ling Liong Sik yang telah meninggal dunia pada pagi tadi.

Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar kepada dunia politik dan pendidikan tanah air, dengan meninggalkan legasi dan jasa yang akan terus dikenang oleh seluruh rakyat Malaysia.

Tun Dr. Ling Liong Sik dilahirkan pada 13 September 1943 di Kuala Kangsar, Perak. Beliau mendapat pendidikan awal di King Edward VII School, Taiping sebelum melanjutkan pelajaran di Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi. Kemudian, beliau menyambung pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) di University of Singapore pada tahun 1966.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Toh Puan Ong Ee Nah serta dikurniakan dua anak lelaki, iaitu Ling Hee Leong dan Ling Hee Keat.

Pada awal kerjaya, Tun Dr. Ling Liong Sik memulakan kerjaya sebagai pegawai perubatan di Hospital Besar Pulau Pinang sebelum bergiat aktif dalam politik dengan menyertai MCA pada tahun 1968.

Sepanjang perkhidmatan beliau sebagai wakil rakyat, beliau telah berkhidmat dengan cemerlang dalam beberapa dekad, termasuk pernah menjadi Ahli Parlimen Mata Kuching selama tiga penggal, bermula dari tahun 1974 hingga 1982, dan Ahli Parlimen Labis selama empat penggal bermula dari tahun 1986 hingga 1999.

Sepanjang tempoh tersebut, beliau juga pernah memegang pelbagai jawatan dalam kerajaan termasuk sebagai Setiausaha Parlimen, Timbalan Menteri Penerangan, Timbalan Menteri Kewangan dan Timbalan Menteri Pendidikan.

Jawatan terakhir Dr. Ling Liong Sik ialah sebagai Menteri Pengangkutan selama 14 tahun dari tahun 1986 sehingga beliau meletakkan jawatan pada tahun 2003.

Selain itu, sepanjang perkhidmatan di Kementerian Pengangkutan, beliau telah memacu inisiatif pemodenan berskala besar. Antara pencapaian terbesar beliau ialah mentransformasikan Pelabuhan Klang menjadi hab pemindahan global yang melonjakkan daya saing perdagangan antarabangsa Malaysia, di samping mencurahkan bakti dalam memastikan kelancaran pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai pintu masuk udara utama negara.

Sepanjang berkecimpung dalam arena politik, Tun Dr. Ling Liong Sik merupakan Presiden Keenam MCA dan telah mengemudi parti tersebut bermula dari 3 September 1986 hingga 23 Mei 2003. Sepanjang tempoh kepimpinannya, beliau telah memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kedudukan MCA dalam Barisan Nasional (BN) serta menstabilkan landskap politik negara.

Selain cemerlang dalam politik, beliau sentiasa komited terhadap kemajuan modal insan negara, khususnya menabur bakti dalam bidang pendidikan negara sebagai Canselor Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Pengerusi Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR).

Sebagai tanda penghargaan tertinggi ke atas jasa dan pengorbanan beliau kepada negara, mendiang telah dianugerahkan Darjah Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran Tun pada tahun 2004.

Kredit Foto: BERNAMA
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi