Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDunia pada tahun 2026 bukan lagi sekadar lakaran peta yang kita kenali sedekad lalu. Jika suatu ketika dahulu, dentuman meriam dan konflik geopolitik dianggap sebagai “babak ngeri” yang hanya menghuni skrin televisyen di ruang tamu, namun pada hari ini realitinya jauh lebih mencengkam. Kesannya tidak lagi terbatas di medan juang, sebaliknya merayap masuk ke dalam dompet, mengganggu ketenangan meja makan dan menggoncang kestabilan mental kita. Kita kini sedang berdiri di tengah-tengah “Polykrisis”, iaitu istilah yang menggambarkan pertembungan ribut sempurna antara konflik global, kerapuhan ekonomi dan transformasi radikal cara manusia berfungsi.
Menelusuri dimensi geopolitik, kita harus sedar bahawa peperangan moden tidak lagi sekadar tentang perebutan wilayah atau pertumpahan darah di parit kubu. Sebaliknya merupakan perang urat saraf yang melibatkan senjata alaf baharu: tenaga, keterjaminan makanan dan penguasaan mikrocip. Sebagaimana kata-kata hikmat yang sering diingatkan, “Apabila gajah sama gajah berjuang, kancil mati di tengah-tengah.” Dalam konteks pada hari ini, “kancil” tersebut ialah rantaian bekalan global yang kian rapuh.
Rentetan daripada itu, krisis tenaga yang tercetus akibat ketidaktentuan di wilayah strategik bukan sekadar angka yang berkelip pada papan tanda stesen minyak. Keadaan ini merupakan punca utama yang mencetuskan kesan domino kepada kos baja para petani, yang kemudiannya melonjakkan harga hasil bumi di pasar. Lebih merisaukan apabila negara yang digelar “bakul roti dunia” terperangkap dalam kancah konflik, serta menyebabkan bekalan gandum dan baja dunia terhenti seketika. Hal ini menjelaskan mengapa harga sekeping roti di kedai runcit tempatan boleh melambung tinggi secara mendadak. Oleh itu, memahami rantaian ini bukan lagi satu pilihan, tetapi keperluan agar kita tidak terus terpinga-pinga dihempas gelombang inflasi yang tidak menentu.
Tahun 2026 menyaksikan fenomena yang dipanggil sebagai sticky inflation atau inflasi melekat. Jika dahulu kita mengharapkan kenaikan harga barang hanyalah bersifat sementara, namun realiti pada hari ini membuktikan bahawa harga barangan seolah-olah sudah “selesa” pada kedudukan tinggi dan sukar untuk menyusut semula. Mantan Perdana Menteri United Kingdom, Margaret Thatcher pernah mengungkapkan, “Inflasi adalah ibu kepada pengangguran dan perompak halimunan kepada simpanan kita.” Kata-kata ini sangat relevan apabila nilai RM5,000 pada hari ini tidak lagi mampu membeli keselesaan yang sama seperti lima tahun yang lalu.
Bagi mendepani kuasa beli yang kian mengecil, setiap individu harus bertindak sebagai “pakar ekonomi peribadi” di rumah masing-masing. Strategi bertahan memerlukan anjakan paradigma daripada sekadar menyimpan wang tunai kepada penguasaan aset keras seperti emas yang bertindak sebagai pelindung nilai. Selain itu, proses audit perbelanjaan harus dilakukan secara radikal dengan membezakan antara keperluan yang mendesak dengan kehendak yang bersifat kosmetik. Memandangkan ekonomi pada hari ini bersifat tidak menentu, bergantung sepenuhnya kepada satu sumber pendapatan menjadi satu risiko yang sangat besar; seolah-olah meletakkan semua telur di dalam satu bakul yang reput.
Namun begitu, di sebalik kemelut angka dan peta, wujud satu ancaman yang lebih halus, tetapi berbisa, iaitu krisis kesihatan mental dan fizikal. Walaupun era pandemik fizikal sudah berlalu, tahun 2026 membawa “pandemik mental” yang dipacu oleh pendedahan berterusan terhadap berita buruk melalui media sosial. Budaya doomscrolling, iaitu tabiat menatap skrin tanpa henti untuk mencari berita konflik telah merosakkan sistem saraf manusia dan meningkatkan tahap kebimbangan (anxiety) secara global.
Seiring dengan itu, peralihan kepada budaya Bekerja dari Rumah (BDR) yang tidak berdisiplin telah mengundang gaya hidup sedentari. Tanpa pergerakan fizikal yang cukup, masyarakat kini berhadapan dengan risiko obesiti, sakit belakang kronik dan kekurangan vitamin D yang membimbangkan. Harus diingat bahawa inflasi turut menghentam sektor farmaseutikal, menyebabkan kos perubatan dan insurans melonjak. Dalam situasi ini, pepatah melayu, iaitu “mencegah lebih baik daripada mengubati” harus dijadikan azimat kerana pada tahun 2026, amalan gaya hidup sihat adalah pelaburan paling murah berbanding dengan kos rawatan di hospital.
Menyentuh tentang BDR, kaedah ini telah berevolusi daripada sebuah “kemudahan” semasa krisis menjadi satu “keperluan” operasi bagi syarikat untuk menjimatkan kos. Walau bagaimanapun, tanpa strategi yang betul, BDR boleh bertukar menjadi satu penyeksaan. Isu utama yang timbul ialah hilangnya garis pemisah antara ruang peribadi dengan ruang kerja. Apabila meja makan menjadi meja pejabat, otak manusia sering terperangkap dalam mod “sentiasa bekerja” yang akhirnya membawa kepada keletihan melampau.
Dari sudut ekonomi, walaupun pekerja menjimatkan kos petrol dan tol, mereka sebenarnya sedang memindahkan kos operasi syarikat ke rumah sendiri melalui peningkatan bil elektrik dan Internet. Oleh itu, pelaburan terhadap peralatan ergonomik bukan lagi satu kemewahan, tetapi satu keperluan demi menjaga kesejahteraan fizikal jangka panjang. Lebih parah lagi apabilamelibatkan isu isolasi sosial. Manusia, sebagai makhluk yang memerlukan interaksi, boleh menjadi tumpul kemahiran komunikasinya jika terlalu lama berkurung dalam dunia maya, yang seterusnya mengundang perasaan sunyi yang mendalam.
Bagi memastikan kita tidak sekadar “tenggelam” dalam arus tahun 2026, beberapa langkah proaktif harus diambil:
Kesimpulannya, tahun 2026 merupakan tahun yang mencabar ketabahan dan daya adaptasi manusia. Perang mungkin merobek peta dunia dan inflasi mungkin memaksa kita mengikat perut, namun krisis ini juga membuka ruang untuk kita menilai semula makna kehidupan yang sebenar.
Seorang tokoh pemikir pernah berkata, “Bukan yang paling kuat atau yang paling cerdik akan bertahan, tetapi mereka yang paling pantas menyesuaikan diri dengan perubahan.” Oleh itu, panduan terbaik untuk mengharungi tahun 2026 bukan sekadar terletak pada baki akaun bank anda, tetapi pada sejauh mana kentalnya jiwa dan secepat mana akal anda mampu menari mengikut rentak perubahan dunia yang kian rancak ini. Marilah kita melangkah dengan penuh waspada, namun tetap membawa obor harapan.