Diterbitkan pada 7 April 2026, 20:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengumumkan penawaran Geran Penyelidikan dengan peruntukan sebanyak RM350,000 pada tahun ini untuk merancakkan penyelidikan berkualiti tinggi serta menghasilkan penerbitan ilmiah yang berimpak tinggi, khususnya dalam lima bidang bahasa.

Perkara itu disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara, Dato’ Dr. Anwar Ridhwan dalam Majlis Perhimpunan DBP, petang tadi.

Dalam ucapannya, beliau berkata bahawa geran baharu ini memfokuskan kepada lima bidang tunjang utama, iaitu Bahasa dan Teknologi, Bahasa dan Persuratan Melayu, Sains Perubatan, Alam Melayu, Pengurusan dan Pemasaran, serta Media Baharu.

“Geran ini merupakan peluang berharga untuk terus mengukuhkan ilmu dan budaya serta memberikan inspirasi kepada generasi penyelidik dan intelektual masa hadapan.

“Diharapkan inisiatif ini akan memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan wahana pembangunan bangsa pada peringkat nasional dan antarabangsa,” jelas beliau.

YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan turut menjelaskan hala tuju organisasi melalui Rancangan Strategik DBP 2026-2030 bagi menghadapi cabaran lima tahun akan datang. Antara rancangan tersebut ialah memperkasakan ekosistem bahasa Melayu, memperluas penggunaan pada peringkat antarabangsa, mengoptimumkan keupayaan kewangan, memperkukuh agenda pendigitalan dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan.

Jelasnya, strategi ini dilaksanakan sejajar dengan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) yang memfokuskan pemerkasaan bahasa Melayu dalam era Kecerdasan Buatan (AI), galakan penyelidikan dan pengkomersialan, pemerkasaan industri kreatif berasaskan seni, budaya dan warisan.

Menyentuh tentang cabaran global dan ketidaktentuan geopolitik semasa, terutamanya impak konflik di Asia Barat, beliau menekankan keperluan DBP untuk mengadaptasi perubahan dalam pentadbiran dan pengurusan.

Bagi memastikan kesinambungan operasi dalam keadaan yang serba tidak menentu, YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan  memberikan bayangan bahawa perincian pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi penjawat awam akan diumumkan kelak, seiring dengan keperluan penyampaian perkhidmatan digital yang menuntut warga DBP untuk bekerja secara fleksibel dan kreatif.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara, Dato’ Dr. Anwar Ridhwan ketika menyampaikan amanat beliau dalam Majlis Perhimpunan DBP.

Beliau juga berkesempatan merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua warga kerja DBP dan berharap agar pengisian program ini dapat memberikan pemahaman mendalam mengenai nilai MADANI, mengukuhkan jati diri, menanamkan semangat patriotisme dan membina kesepaduan demi pembangunan negara dalam kalangan warga DBP.

Pada masa yang sama, majlis turut menyaksikan penyerahan sijil pengiktirafan Ahli Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam Malaysia (AKRAB) yang telah disempurnakan oleh YBhg. Sasterawan Negara, Dato’ Dr. Anwar Ridhwan  kepada 12 orang kakitangan DBP.

YBhg. Sasterawan Negara, Dato’ Dr. Anwar Ridhwan memberikan sijil pengiktirafan Ahli Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam Malaysia (AKRAB) kepada Perancang Bahasa, Encik Shafik Mat Badri.

Majlis juga diserikan dengan pengumuman pemenang bagi Pertandingan Hiasan Aidilfitri 2026 apabila kedudukan sagu hati keenam dimenangi oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, diikuti tempat kelima menjadi milik Jabatan Penerbitan, Buku Sastera dan Bahagian Buku Intelek dan Bahagian Peristilahan menduduki tempat keempat yang masing-masing menerima wang tunai sebanyak RM100.00 serta cek cura DBP.

Manakala, tempat ketiga disandang oleh Bahagian Buku Umum yang berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM200.00 serta cek cura DBP, diikuti naib johan dimenangi oleh Bahagian Buku Bahasa dengan membawa pulang wang tunai sebanyak  RM400.00 beserta cek cura DBP dan johan pertandingan tersebut menjadi milik Bahagian Pentadbiran Am yang berjaya membawa wang tunai berjumlah RM 600.00 berserta cek cura DBP.

Bahagian Pentadbiran Am dinobatkan sebagai johan bagi Pertandingan Hiasan Aidilfitri 2026.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Penyandang Kursi Institusi Raja-raja Melayu UiTM yang juga Ahli Dewan Negara, YB Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan; Presiden Universiti Multimedia, YBhg. Profesor Dato’ Mazliham Mohd Su’ud; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Puan Fauzilahyatun Mustafa; Ketua-ketua Bahagian serta karyawan DBP.

Kredit Foto: Khairul Azhar
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi