Diterbitkan pada 9 April 2026, 15:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah memulakan langkah tegas dengan membuka sebanyak 36 kertas siasatan berhubung dengan penyebaran berita palsu melibatkan krisis tenaga global di platform media sosial dan media digital.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan semalam, sebanyak 22 individu dari pelbagai lokasi di seluruh negara telah dipanggil untuk memberikan rakaman percakapan bagi membantu proses siasatan lanjut pihak berkuasa.

Setakat ini, sebanyak enam kertas siasatan telah dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk penelitian serta tindakan undang-undang seterusnya.

Siasatan terperinci ini dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang membawa hukuman berat jika disabitkan kesalahan.

Pesalah boleh berhadapan dengan denda maksimum sehingga RM500,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pihak SKMM menegaskan bahawa mereka memandang serius terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan platform digital yang bertujuan untuk mengelirukan masyarakat melalui penyebaran maklumat yang tidak sahih.

Menurut SKMM, mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi demi memastikan kestabilan maklumat dalam negara terus terpelihara.

Berdasarkan kenyataan yang sama, orang ramai diingatkan supaya sentiasa mengamalkan sikap bertanggungjawab ketika menggunakan kemudahan komunikasi.

Masyarakat digesa untuk tidak memuat naik atau berkongsi kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat serta menggugat ketenteraman awam, terutamanya ketika negara sedang berhadapan dengan situasi krisis tenaga pada peringkat global.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi