Diterbitkan pada 11 April 2026, 21:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Seremban – Kementerian Pendidikan (KPM) menganjurkan Program Gerakan Massa 2026 sebagai platform utama menzahirkan penghargaan kepada warga pendidik di seluruh negara, sekali gus mengenang jasa guru sebagai nadi pembangunan insan dan kemajuan negara.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Woh, kepentingan kolaborasi pelbagai sektor melalui pemerkasaan pelibatan ibu bapa, komuniti dan swasta (PIBKS) menjadikannya rakan strategik kepada kementerian.

“PIBKS bukan sekadar entiti pada nama, malah merupakan pemegang taruh yang menyumbang kepada perkembangan menyeluruh murid.”

“Sinergi antara sekolah dengan ibu bapa dan komuniti merupakan kunci utama untuk memastikan setiap dasar pendidikan dapat diterjemahkan dengan berkesan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Gerakan MASSA, petang tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata kekuatan ekosistem pendidikan negara berpaksikan dedikasi lebih daripada 420,000 warga pendidik yang menjadi nadi kepada pendidikan kira-kira 5.2 juta orang murid di seluruh negara.

Menurutnya, keberkesanan peranan tersebut turut diperkukuh melalui pelibatan ahli keluarga sebagai pemegang taruh yang menyalurkan input, serta pandangan konstruktif demi kemajuan anak-anak.

Menyentuh kecekalan guru, beliau turut berkongsi pengalaman peribadi ketika menghadapi krisis COVID-19, khususnya sepanjang pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Saya pernah mengambil inisiatif menggalas tanggungjawab sebagai pendidik kepada anak sendiri selama lima hari sepanjang tempoh PdPR. Hari pertama bermula dengan penuh keterujaan, namun memasuki hari kedua, cabaran mula dirasai apabila saya perlu memberikan tumpuan kepada pengajaran penulisan abjad.”

“Kemuncak cabaran berlaku pada hari kelima sehingga saya mengaku kalah dan berputus asa dalam proses PdPR,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa proses mendidik bukanlah sesuatu yang mudah, sebaliknya memerlukan kesabaran yang tinggi untuk membimbing murid sehingga melahirkan generasi berilmu.

Walau bagaimanapun, beliau menzahirkan rasa bangga dan kagum terhadap kecekalan warga pendidik yang terus beriltizam menabur bakti demi kecemerlangan murid, serta sistem pendidikan negara.

Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Woh ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Beliau turut memperincikan gagasan Guru Bitara yang menjadi teras pembangunan profesionalisme keguruan di bawah Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035.

“Guru Bitara ialah guru yang mengajar dengan ketinggian ilmu dan mendidik anak murid dengan penuh keikhlasan, sekali gus memastikan setiap proses pembelajaran memberikan makna mendalam kepada murid,” jelasnya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan PIBKS, Tuan Haji Kamil Abdul Halim berkata, PIBKS berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan pihak sekolah dengan masyarakat, di samping menyemai budaya menghargai jasa guru.

Menurutnya, peranan PIBKS telah berkembang daripada organisasi sokongan kepada penggerak utama yang menyumbang tenaga, idea, serta sokongan moral kepada warga pendidik.

“Guru bukan sekadar mendidik, sebaliknya membentuk kehidupan dengan mengenal pasti potensi dalam diri setiap murid yang mungkin tidak disedari masyarakat,” katanya.

Selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035, pelibatan aktif komuniti dilihat mampu menyokong pencapaian hala tuju pelan tersebut, khususnya menerusi Teras 5 yang menekankan pengukuhan sinergi antara sekolah dengan ibu bapa dan komuniti. Melalui kerjasama ini, pendidikan tidak lagi dilihat terasing di sekolah semata-mata, sebaliknya diperkukuh melalui sokongan padu masyarakat.

Pegawai Perhubungan PIBKS, Tuan Haji Kamil Abdul Halim ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Pada masa sama, Majlis Pelancaran Gerakan MASSA: #TerimaKasihCikgu Peringkat Kebangsaan 2026 turut berlangsung dan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Woh.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut termasuklah Ketua Setiausaha (KSU) KPM, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim; Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), YBrs. Encik Zainal  Abas, serta pegawai kanan KPM.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi