Diterbitkan pada 12 April 2026, 11:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Sebanyak 71.3 tan lebihan makanan berjaya diselamatkan di seluruh negara sepanjang bulan Ramadan lalu menerusi program bank makanan, iaitu Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB).

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YBhg. Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, jumlah tersebut merupakan hasil komitmen bersepadu yang melibatkan 119 bazar Ramadan di seluruh negara dengan penyertaan 2,875 orang sukarelawan.

Di Sabah, sebanyak 2.6 tan makanan berjaya diselamatkan dan diagihkan terus kepada golongan yang memerlukan.

Pencapaian ini bukan sahaja membantu komuniti, malah menjadi langkah berkesan dalam mengurangkan lambakan sisa di tapak pelupusan, serta meminimumkan pelepasan karbon dioksida (CO₂) demi kelestarian alam sekitar.

Sementara itu, syarikat Jetsin Sdn. Bhd., iaitu pembekal dan peruncit makanan sejuk beku secara rasmi menyertai Inisiatif i-FB sebagai rakan strategik di Sabah, semalam.

Kerjasama tersebut melibatkan Persatuan Jurumasak Sabah dan Persatuan Dapur Kita Sabah bagi memperkukuh program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ”Dapur Kita-Kita” yang dimulakan oleh syarikat berkenaan sejak Disember 2024.

Sebagai simbolik penyertaan, sebanyak 200 pek makanan bermasak disalurkan kepada golongan memerlukan di sekitar Kota Kinabalu semalam.

Program tersebut turut mendapat sokongan sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) di sekitar bandar raya itu.

Datuk Armizan menegaskan bahawa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menghargai keprihatinan pihak industri dalam menjayakan pendekatan ”Santuni Komuniti, Sayangi Alam, Selamatkan Makanan” yang menjadi teras utama inisiatif tersebut.

Beliau berkata, pelibatan aktif sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) merupakan kunci kepada keberkesanan pengurusan lebihan makanan secara sistematik.

Pada masa yang sama, kementerian melalui Sekretariat Inisiatif i-FB di bawah Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) sedang giat menyediakan Pelan Tindakan Food Bank Kebangsaan.

Pelan tersebut bertujuan memperkasakan matlamat sedia ada, termasuk mengenal pasti bentuk pengiktirafan yang wajar diberikan kepada mana-mana pihak yang menunjukkan komitmen dalam menyokong agenda keselamatan makanan negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi