Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian dalam Negeri (KDN) hari ini menggariskan pelan tindakan komprehensif bagi mendepani impak konflik geopolitik Iran-Amerika Syarikat yang memberikan tekanan kepada kestabilan ekonomi dan beban fiskal negara.
Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa walaupun rundingan diplomatik di Islamabad gagal membuahkan hasil, kerajaan memfokuskan kepada perkara yang berada dalam kawalan domestik, terutamanya melibatkan keselamatan bekalan tenaga dan pengukuhan penguatkuasaan sempadan.
Konflik yang berlarutan di Timur Tengah memberikan kesan secara langsung kepada Malaysia memandangkan 60 peratus hasil keperluan sektor hiliran (downstream) petrol dan diesel negara bergantung kepada minyak mentah yang dibawa melalui Selat Hormuz.
“Berdasarkan pemerhatian geografi, Selat Hormuz merupakan laluan kritikal bagi kapal tangki yang membawa bekalan minyak mentah dari negara Arab ke Malaysia. Laluan laut yang paling dalam terletak di sempadan perairan Iran, yang secara tidak langsung memberikan autoriti lebih besar kepada negara tersebut dalam mengawal aliran trafik maritim di situ,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam Perhimpunan Bulanan KDN, semalam.
Situasi ini amat signifikan memandangkan laluan berkenaan membekalkan kira-kira 60 peratus daripada keperluan sektor hiliran (downstream) negara, khususnya bagi operasi di Port Dickson, Melaka dan Pengerang.
“Walaupun jaminan bekalan tenaga bagi tempoh bulan April hingga Jun dilaporkan masih mencukupi, pihak kerajaan turut memberikan peringatan bahawa situasi berkemungkinan menjadi lebih kritikal sekiranya konflik geopolitik tersebut terus berlarutan tanpa penyelesaian,” ujarnya.

YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menambah bahawa kerajaan akan terus komited untuk melaksanakan strategi komunikasi yang telus bagi mempersiapkan rakyat menghadapi realiti ekonomi semasa.
“Tumpuan utama kerajaan adalah untuk menjaga kebajikan rakyat agar tidak terbeban dengan kenaikan harga barang atau gangguan bekalan, sekali gus mengelakkan “sindrom penafian” atau sikap terlalu selesa dalam kalangan masyarakat,” tambahnya.
Susulan peningkatan mendadak kos subsidi daripada RM700 juta kepada RM6 bilion sebulan, kerajaan telah menggerakkan PDRM bagi mengawal selia 170 stesen minyak di wilayah perbatasan sebagai langkah memaksimumkan impak pencegahan terhadap aktiviti penyeludupan dan memastikan subsidi negara tidak terus tiris.
“Kita akan bertindak lebih bijak menggunakan data sekiranya terdapat beberapa stesen minyak yang mencatatkan volum jualan luar biasa, penguatkuasaan akan terus dilakukan,” tambahnya.
Selain itu, kerajaan juga akan menguatkuasakan subsidi diesel nelayan yang sering menjadi sasaran penyeludupan berikutan perbezaan harga subsidi (RM1.65) dan harga pasaran (RM6.00) yang amat ketara.
Dalam perkembangan berkaitan, KDN menzahirkan komitmen memperkasakan kebajikan anggota keselamatan di perbatasan laut dengan menaik taraf prasarana pos kawalan yang daif, terutamanya di Pengkalan Hulu demi menjamin persekitaran kerja yang lebih kondusif dan selesa.