Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDalam kefahaman umum hari ini, fardu kifayah sering disempitkan kepada peranan golongan profesional, seperti doktor, peguam, jurutera atau jururawat. Selagi sebahagian masyarakat melaksanakannya, tanggungjawab itu dianggap telah tertunai. Namun begitu, tafsiran ini agak sempit dan tidak mencerminkan luasnya konsep tersebut dalam tradisi intelektual Islam. Jika dilihat menerusi susur galur sejarah, khususnya melalui Hukum Kanun Pahang (HKP), kita akan melihat bahawa fardu kifayah jauh lebih luas, iaitu merangkumi keseluruhan struktur pemerintahan dan kehidupan bermasyarakat.

HKP bukan sekadar teks undang-undang lama kerana merupakan satu model pentadbiran berteraskan pandangan alam bertauhid; yang menyaksikan agama, undang-undang dan pemerintahan tidak dipisahkan, tetapi disatukan. HKP yang disusun dan dikembangkan semasa pemerintahan Sultan Abdul Ghaffar Muhyiddin Shah (m.1592-1614) bukan sahaja mencerminkan keunggulan kepimpinan Baginda sebagai seorang pemerintah dan penggubal undang-undang, malah sebagai warisan intelektual yang melangkaui sempadan negeri. Melalui jaringan perkahwinan diraja dan pakatan politik dengan kesultanan Melayu lain seperti Johor, Aceh dan Patani, prinsip-prinsip yang terkandung dalam HKP tersebar dan mempengaruhi tradisi pemerintahan serantau. Dalam konteks ini, HKP bukan sekadar dokumen undang-undang negeri, tetapi manifestasi legasi Sultan Abdul Ghaffar sebagai penggerak kesinambungan peradaban Melayu-Islam.
Dalam kerangka ini, fardu ain mengatur tanggungjawab individu, manakala fardu kifayah membentuk tanggungjawab kolektif masyarakat. Kedua-duanya saling melengkapi dalam membina sebuah tamadun yang seimbang dan berfungsi.
Perkara yang sering dikategorikan sebagai urusan “duniawi” atau “sekular”, seperti pentadbiran, perdagangan, keselamatan dan keadilan, sebenarnya termasuk dalam ruang lingkup fardu kifayah. HKP mengatur perkara-perkara ini secara tersusun dan terperinci. Peranan Bendahara, Temenggung, Syahbandar dan Hulubalang bukan sekadar jawatan pentadbiran, tetapi merupakan manifestasi tanggungjawab kolektif untuk menegakkan keadilan, memelihara ketertiban, dan menjamin kesejahteraan masyarakat. Pemerintahan, dalam erti kata ini, bukan suatu aktiviti yang neutral atau sekular, namun satu amanah yang membawa tanggungjawab moral dan keagamaan.
Di puncak struktur ini berdirinya Sultan, yang peranannya dalam tradisi Islam boleh difahami sebagai seorang pemegang amanah Ilahi atau khalifah, yakni wakil yang dipertanggungjawabkan untuk menegakkan keadilan, memelihara maruah serta nyawa manusia, dan memastikan kelangsungan sistem masyarakat yang teratur. Kuasa Baginda tidak terpisah daripada pertanggungjawaban. HKP mencerminkan prinsip ini dengan meletakkan pemerintahan bukan sebagai alat kekuasaan mutlak, tetapi sebagai satu amanah moral dan undang-undang. Sultan memerintah bukan untuk dirinya sendiri, tetapi bagi pihak rakyat, memikul tanggungjawab utama untuk memastikan fardu ain dan fardu kifayah dilaksanakan. Dalam konteks ini, kedaulatan itu sendiri ditafsirkan sebagai amanah, bukan keistimewaan.
Satu kelemahan besar dalam pemikiran moden ialah pemisahan buatan antara agama dengan urusan dunia, yang membawa kepada anggapan bahawa pemerintahan berada di luar kerangka Islam. Dalam tradisi Melayu-Islam, pemisahan ini tidak pernah wujud. Perkara yang dilabel sebagai “sekular” pada hari ini sebenarnya adalah fardu kifayah yang telah distrukturkan melalui undang-undang dan institusi. HKP membuktikan bahawa mengurus kehidupan masyarakat adalah sebahagian daripada tuntutan agama itu sendiri.
Tidak kurang pentingnya ialah kaedah HKP berperanan dalam menguruskan masyarakat majmuk. Sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka, alam Melayu telah menjadi ruang pertemuan pelbagai bangsa dan agama, hasil daripada jaringan perdagangan dan interaksi antarabangsa. Kepelbagaian ini tidak dilihat sebagai masalah yang perlu diselesaikan, tetapi sebagai realiti yang perlu ditadbir. Prinsip-prinsip dalam HKP menekankan keadilan, tanggungjawab, serta pemeliharaan maruah dan nyawa manusia, nilai-nilai yang bersifat sejagat, namun berakar dalam pandangan hidup Islam.
Maka itu, di sinilah terletaknya kekuatan sebenar HKP yang mencerminkan gabungan keislaman dan kemelayuan yang bukan bersifat tertutup atau eksklusif, tetapi terbuka dan anjal. Berteraskan tauhid, sistem ini mampu menyesuaikan diri dengan perubahan zaman tanpa kehilangan asas moralnya. Inilah yang menjadikan HKP sentiasa berdaya tahan dan kekal relevan.
Jika dilihat kepada matlamat Islamisation of Knowledge (IOK), iaitu mengintegrasikan pandangan hidup Islam ke dalam disiplin ilmu, menyemai nilai dan etika dalam pendidikan, serta menterjemahkan akhlak dalam kehidupan, maka HKP sebenarnya telah lama melaksanakannya. Hal ini bukan sekadar kerangka teori, tetapi satu amalan nyata yang memperlihatkan ilmu, nilai dan pemerintahan disatukan.
Oleh itu, kita perlu meluaskan semula pemahaman tentang fardu kifayah kerana bukan sekadar memenuhi keperluan profesional masyarakat, tetapi meliputi tanggungjawab dalam memastikan keseluruhan sistem kehidupan, undang-undang, institusi dan pemerintahan, berfungsi secara adil dan beretika. Selagi aspek ini diabaikan, maka fardu kifayah dalam erti kata sebenar masih belum tertunai.
HKP mengingatkan kita bahawa tanggungjawab membina masyarakat yang adil tidak terletak pada individu semata-mata, tetapi pada sistem yang kita bangunkan bersama-sama. HKP turut mengajar kita bahawa pemerintahan bukan sekadar urusan dunia, tetapi sebahagian daripada amanah Ilahi yang dipikul oleh pemerintah sebagai khalifah dan dikongsi oleh masyarakat sebagai amanah. Mungkin yang paling penting, hal ini mengajak kita untuk menyedari bahawa apa-apa yang kita anggap sebagai “sekular” sebenarnya merupakan sebahagian daripada agama yang telah lama kita lupakan.
Penulis makalah, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj. Baginda juga merupakan calon ijazah sarjana serta Ketua Perlembagaan, Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM).