Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur– Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) meraikan kecemerlangan sebanyak 147 karyawan DBP bersempena dengan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 dan Anugerah Perkhidmatan (AP) DBP yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, hari ini.
Majlis Penyampaian APC Tahun 2025 dan AP DBP diadakan sebagai penghargaan kepada warga kerja DBP yang telah menunjukkan prestasi cemerlang, dedikasi tinggi serta komitmen berterusan dalam usaha memartabatkan bahasa dan sastera. Sebanyak 61 karyawan terpilih sebagai menerima pengiktirafan APC bagi tahun 2025.
Majlis ini turut meraikan pengiktirafan menerusi AP DBP, iaitu melibatkan sebanyak 86 karyawan yang telah mencapai tempoh perkhidmatan 15 tahun hingga 37 tahun di DBP sebagai simbol penghargaan terhadap kesetiaan dan sumbangan mereka kepada organisasi.
Majlis ini disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), YBhg. Dato’ Wan Hashim Wan Rahim. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyatakan bahawa pengiktirafan ini mencerminkan komitmen, disiplin serta kesungguhan warga kerja DBP dalam melaksanakan amanah perkhidmatan awam dengan penuh integriti dan dedikasi.

Menurut beliau, pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Fasa Dua pada Januari 2026 bukan sekadar melibatkan pelarasan gaji, malah merupakan satu amanah besar agar penjawat awam terus meningkatkan produktiviti, keberkesanan penyampaian perkhidmatan dan budaya kerja cemerlang.
Kerajaan menghargai warga kerja yang menunjukkan keberhasilan, disiplin sahsiah dan budaya kerja cemerlang. Saya berharap penerima anugerah pada hari ini akan menjadi inspirasi kepada seluruh warga DBP.
Beliau menyifatkan bahawa warga DBP memainkan peranan penting dalam membina masyarakat berilmu, berbudaya dan beridentiti nasional melalui pemerkasaan bahasa kebangsaan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga DBP atas sumbangan dan pengorbanan sepanjang tahun 2025 serta berharap pengiktirafan yang diterima menjadi dorongan untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada negara.
Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa pengiktirafan tersebut diharapkan dapat menyuntik semangat kepada seluruh warga DBP untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada institusi dan negara.
Kesetiaan anda untuk bersama-sama dengan organisasi DBP merupakan anugerah terbaik kepada di Dewan Bahasa dan Pustaka,” ujar beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa DBP akan terus memainkan peranan sebagai benteng terakhir dalam mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara.
Beliau menyatakan bahawa DBP akan terus bergerak selari dengan dasar kerajaan dalam memperkukuh aspek pendigitalan dan penyampaian perkhidmatan awam menerusi pelaksanaan kerajaan digital.
Selain itu, majlis ini turut menyaksikan pengumuman penerima Pemberian Insentif Berasaskan Prestasi (BIPs) kepada 20 karyawan DBP dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan tujuh karyawan DBP dalam Kumpulan Pelaksana yang memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan.
Kesemua 61 orang penerima APC 2025 menerima sijil penghargaan dan wang tunai berjumlah RM1,000 setiap seorang. Pengiktirafan ini diberikan atas komitmen padu yang telah mereka sumbangkan dalam memberikan khidmat terbaik kepada DBP dan masyarakat.
Sebanyak 86 orang penerima AP menerima sijil penghargaan dan wang tunai mengikut tempoh perkhidmatan masing-masing, iaitu perkhidmatan 15 tahun (sijil penghargaan dan RM200); perkhidmatan 20 tahun (sijil penghargaan dan RM350); perkhidmatan 25 tahun (sijil penghargaan dan RM500); perkhidmatan 30 tahun (sijil penghargaan dan RM750); perkhidmatan 35 tahun (sijil penghargaan dan RM1,000); dan perkhidmatan 37 tahun (sijil penghargaan dan RM5,000).
Melengkapkan majlis pengiktirafan ini, para penerima BIPs dihadiahkan dengan ganjaran satu tangga kenaikan gaji tahunan sepanjang tahun ini sebagai tanda penghargaan atas khidmat cemerlang yang telah mereka pamerkan sepanjang tahun 2025.

Majlis ini turut disertakan dengan Pelancaran Portal Kamus DBP yang dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), YBhg. Dato’ Wan Hashim Wan Rahim diiringi oleh pengurusan tertinggi DBP.
Yang turut hadir pada majlis hari ini ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Tuan Haji Mohd. Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, Encik Zulfa Hamzah; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyeldikan, Puan Fauzilahyatun Mustafa serta Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Encik Abang Haliman Abang Julai.