Diterbitkan pada 5 Jun 2026, 17:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Selepas lebih empat dekad penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), persoalan yang semakin wajar diberikan perhatian bukan lagi berkaitan dengan jumlah jualan buku atau bilangan pengunjung yang hadir setiap tahun. Sebaliknya, perhatian perlu diperluas kepada persoalan yang lebih besar, iaitu bagaimanakah PBAKL menjadi pencetus pembinaan tamadun ilmu dan penghibridan teknologi pada masa hadapan?

Dalam dunia yang sedang berubah akibat geopolitik global, kecerdasan buatan [artificial intelligence (AI)], ekonomi digital dan persaingan kuasa dunia, PBAKL perlu dilihat lebih daripada sekadar pesta buku. PBAKL harus berperanan sebagai wahana yang menggerakkan pembinaan tamadun. Sejarah dunia membuktikan bahawa setiap tamadun besar dibina berasaskan budaya membaca, penyelidikan dan penghasilan ilmu.

Tamadun Barat berkembang melalui institusi seperti universiti, perpustakaan dan tradisi penyelidikan yang kukuh. Revolusi sains dan teknologi di Eropah lahir daripada perkembangan budaya ilmu sejak zaman Renaissance dan revolusi pencetakan. Buku menjadi medium utama penyebaran idea, falsafah dan pengetahuan saintifik yang akhirnya melahirkan kuasa teknologi Barat.

China pula membina kekuatannya melalui gabungan pendidikan, penyelidikan dan pembangunan teknologi secara besar-besaran. Dalam beberapa dekad kebelakangan ini, China bukan sahaja muncul sebagai pusat pengeluaran industri dunia, malah turut membuat pelaburan yang besar dalam pembangunan universiti, makmal penyelidikan, kecerdasan buatan, robotik dan teknologi masa hadapan. Budaya membaca dan pembangunan ilmu dijadikan asas kepada pembinaan kuasa negara moden.

Keadaan yang sama dapat dilihat di Iran. Walaupun berhadapan dengan sekatan geopolitik dan tekanan antarabangsa, negara tersebut tetap memberikan perhatian yang besar terhadap tradisi ilmu, institusi pengajian tinggi dan penyelidikan teknologi. Iran berjaya membangunkan keupayaan dalam bidang kejuruteraan, teknologi pertahanan, perubatan dan sains melalui sistem pendidikan dan budaya intelektual yang kukuh. Hal ini menunjukkan bahawa kekuatan sesebuah negara bukan bergantung pada ekonomi semata-mata, tetapi juga pada kemampuan membina budaya ilmu dan penyelidikan secara berterusan.

Dalam konteks Malaysia, persoalan yang perlu dibangkitkan ialah sama ada budaya membaca dan gerakan buku negara telah menjadi asas pembinaan tamadun ilmu dan penghibridan teknologi.

Pada hakikatnya, PBAKL mempunyai potensi yang besar untuk menjadi pencetus gerakan tersebut. Selama ini, PBAKL telah berjaya menyemarakkan budaya membaca, melahirkan banyak penulis dan mengembangkan industri penerbitan tempatan. Namun begitu, cabaran dunia pada hari ini menuntut peranan yang lebih besar daripada sekadar menganjurkan pesta jualan buku tahunan.

Hubungan antara Selat Hormuz, China dan industri buku Malaysia memperlihatkan bahawa dunia penerbitan masa ini tidak boleh dipisahkan lagi daripada sistem global. Harga tenaga, logistik antarabangsa, teknologi pencetakan dan geopolitik ekonomi turut memberikan kesan kepada perkembangan dunia ilmu. Dalam keadaan ini, pembinaan tamadun masa hadapan memerlukan negara memiliki:

  • budaya membaca yang kuat;
  • sistem penyelidikan yang matang;
  • universiti yang berdaya saing; dan
  • kemampuan menghasilkan teknologi sendiri.

Di sinilah peranan universiti dan pusat penyelidikan menjadi semakin penting. Universiti tidak boleh berfungsi sebagai tempat pengpenghibridaneluaran sijil semata-mata atau menjadi institusi akademik yang terpisah daripada masyarakat. Sebaliknya, universiti perlu berperanan sebagai pusat penghasilan idea, inovasi dan teknologi yang menggerakkan negara ke hadapan. Budaya membaca yang dipupuk melalui PBAKL pula perlu disambungkan kepada budaya penyelidikan di universiti dan institusi ilmu.

Kelahiran idea penghibridan teknologi juga penting untuk membentuk model pembangunan dan teknologi Malaysia yang lebih sesuai dengan identiti tempatan dan cabaran masa hadapan. Oleh itu, negara memerlukan:

  • teknologi yang memahami budaya masyarakat;
  • pembangunan yang mempunyai nilai kemanusiaan; dan
  • inovasi yang tidak memisahkan manusia daripada akar sejarah dan identitinya.

PBAKL boleh menjadi platform awal untuk mencetuskan minat membaca, pemikiran kritis dan budaya ilmu dalam kalangan masyarakat. Daripada budaya membaca inilah lahirnya generasi pelajar, penyelidik, saintis, penulis dan inovator masa hadapan. Dalam erti kata lain, pesta buku merupakan pintu masuk kepada pembinaan tamadun ilmu.

Walau bagaimanapun, pembinaan tamadun moden pada hari ini tidak memadai dengan membaca buku semata-mata. Negara juga perlu bergerak ke arah pembangunan teknologi hibrid, iaitu gabungan antara ilmu kemanusiaan, budaya, teknologi digital dan kecerdasan buatan. Negara maju bukan sahaja membina teknologi, malah turut melahirkan insan yang mampu menghubungkan teknologi dengan nilai budaya serta pemikiran strategik.

Dalam era kemajuan teknologi kecerdasan buatan, manusia dapat memperoleh maklumat dengan cepat melalui pelantar seperti ChatGPT. Namun begitu, penggunaan teknologi semata-mata tidak mampu melahirkan tamadun tanpa budaya ilmu dan pemikiran yang mendalam. Teknologi boleh membantu manusia memperoleh data dan maklumat, tetapi manusia tetap memerlukan falsafah, sejarah, nilai budaya, imaginasi dan kebijaksanaan untuk membina sebuah tamadun yang lestari.

Semua keperluan tersebut dibentuk melalui budaya pembacaan dan penyelidikan. Oleh sebab itu, PBAKL perlu berkembang daripada sekadar ruang jualan buku kepada sebuah gerakan ilmu nasional yang menghubungkan buku, universiti, penyelidikan, teknologi, industri kreatif dan pembangunan negara.

PBAKL juga boleh menjadi medan pertemuan antara penulis, saintis, ahli teknologi, penyelidik dan pembuat dasar bagi membincangkan masa hadapan Malaysia. Negara memerlukan ekosistem ilmu yang mampu menyatukan dunia penerbitan dengan universiti dan pusat inovasi. Sekiranya hubungan ini berjaya diwujudkan, budaya membaca tidak akan terhenti pada pembelian buku semata-mata, sebaliknya berkembang menjadi budaya penyelidikan dan penciptaan teknologi.

Dalam sejarah tamadun dunia, perpustakaan dan pusat ilmu sentiasa menjadi asas kepada kemajuan sesebuah negara. Tamadun Islam membina Baitul Hikmah, manakala Barat membangunkan universiti penyelidikan. China pula membina pusat teknologi dan makmal kecerdasan buatan. Malaysia juga perlu membina tradisi ilmu yang mampu melahirkan tamadunnya sendiri berdasarkan identiti tempatan serta keperluan masa hadapan.

Dalam konteks ini, PBAKL boleh menjadi titik permulaan kepada gerakan ketamadunan baharu Malaysia. Hal ini demikian kerana PBAKL bukan sekadar pesta buku tahunan, tetapi juga berfungsi sebagai ruang untuk membina masyarakat yang gemar membaca, berfikir, menyelidik dan mencipta teknologi. Masa hadapan negara bukan sahaja ditentukan oleh kekuatan ekonomi atau politik, tetapi juga oleh kemampuan membina budaya ilmu yang melahirkan masyarakat berfikiran kritis dan berinovasi.

Kesimpulannya, peranan PBAKL pada masa ini telah melangkaui usaha pemupukan budaya membaca. PBAKL mempunyai potensi besar untuk menjadi pencetus kepada gerakan pembinaan tamadun ilmu dan teknologi sekiranya disokong oleh pelibatan aktif universiti, institusi penyelidikan dan sektor pembangunan teknologi. Dalam dunia yang semakin dipengaruhi oleh kecerdasan buatan dan geopolitik global, negara yang berjaya membina budaya ilmu akan lebih berupaya membangunkan tamadunnya sendiri serta bersaing pada peringkat antarabangsa.

 

Ismail Hashim Yahaya merupakan pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa. Beliau sering mentafsir perkembangan isu semasa daripada perspektif semiotik dan naratif.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi