Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 menutup tirai dengan mencatat rekod baharu jumlah pengunjung apabila merekodkan kehadiran sebanyak 2 416 009 orang setakat pukul 6.00 petang semalam, sekali gus mengatasi rekod tahun 2025 sebanyak 2 160 956 pengunjung.
Majlis Penutupan PBAKL 2026 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Woh.
Penganjuran PBAKL 2026 selama 10 hari dari 29 Mei 2026 hingga 7 Jun 2026 melibatkan 232 pempamer yang terdiri daripada 209 pempamer tempatan dan 23 pempamer antarabangsa dengan jumlah keseluruhan sebanyak 1 210 reruai.
Dalam ucapannya YB Wong Kah Woh berkata, peningkatan jumlah pengunjung yang dicatatkan saban tahun membuktikan bahawa budaya membaca dan industri perbukuan negara terus berkembang dengan baik.

Tambah beliau, sekiranya diimbas kembali jumlah pengunjung yang dicatatkan sejak tahun 2023, setiap tahun PBAKL merekodkan peningkatan kehadiran pengunjung dan berjaya mencipta rekod baharu. Pada tahun 2023, PBAKL merekodkan 1.6 juta pengunjung sebelum meningkat kepada 1.8 juta pada tahun 2024. Pada tahun 2025 pula, buat pertama kalinya jumlah pengunjung berjaya melepasi angka dua juta dengan catatan 2.1 juta pengunjung.
“Untuk meneruskan pemecahan rekod ini bukan sesuatu yang mudah. Namun pada tahun ini, sekali lagi terbukti bahawa semangat dan kerja berpasukan, serta usaha Kerajaan MADANI membuahkan hasil,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kejayaan PBAKL bukan hanya diukur melalui jumlah pengunjung, malah turut didorong oleh kemajuan ekosistem perbukuan digital negara yang semakin berkembang.
Menurut beliau, Malaysia kini mempunyai ekosistem perbukuan digital yang semakin matang dan mampan melalui pembangunan platform Book Capital. Pendigitalan dalam proses perbukuan dan penyertaan lebih daripada 1 000 penggiat industri menjadikan akses kepada lebih daripada 900 000 judul buku kini lebih mudah, lebih pantas dan lebih inklusif.
“Pada hari ini, tidak kiralah anak-anak kita di bandar mahupun di luar bandar, di Semenanjung ataupun di Sabah dan Sarawak, semuanya mempunyai peluang yang lebih adil untuk mendapatkan akses kepada bahan bacaan berkualiti tanpa batasan geografi,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan infrastruktur digital seperti sistem tempahan automasi reruai dan platform Book Capital telah membuka akses pasaran yang lebih luas, adil dan demokratik kepada semua penggiat industri perbukuan yang berusaha mengembangkan perniagaan mereka.
Pada majlis yang sama, YB Wong Kah Woh merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi selaku Negara Tamu dan Negeri Pahang sebagai Negeri Tamu PBAKL 2026 atas sumbangan mereka dalam memeriahkan penganjuran pada kali ini.
Beliau berkata, penyertaan Arab Saudi sebagai Negara Tamu telah memberikan pengalaman baharu kepada para pengunjung dan meletakkan penanda aras yang tinggi dalam aspek penyediaan pavilion dan pameran antarabangsa.
Majlis penutupan turut menyaksikan penyampaian Anugerah Reruai PBAKL 2026 kepada para pempamer yang menampilkan kreativiti, inovasi dan pengurusan reruai terbaik sepanjang penganjuran pesta buku tersebut.
Bagi kategori Anugerah Agensi Kerajaan, Negeri Tamu Pahang dinobatkan sebagai pemenang, manakala Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Dalam kategori Anugerah Reruai Biasa, Buku Bestnya muncul juara, diikuti Karya Bonda Publication di tempat kedua dan Rakuten Kobo di tempat ketiga.
Anugerah Reruai Sederhana pula dimenangi oleh Mangosteen Books, manakala Naseehat Holding Sdn. Bhd. dan The Patriots masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Bagi kategori Anugerah Reruai Mega, Program Jelajah Sekolah Blink dinobatkan sebagai pemenang, diikuti Popular di tempat kedua dan Kingdom of Saudi Arabia di tempat ketiga.
Anugerah Reruai Paling Mesra Pengunjung dimenangi oleh Negeri Tamu Pahang, manakala Little Quokka X Guru Bumi 204 dan Pinko Creative masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Sementara itu, Anugerah Reruai Paling Inovatif dimenangi oleh Kingdom of Saudi Arabia, diikuti Negeri Tamu Pahang di tempat kedua dan The Patriots di tempat ketiga.

Kejayaan para pemenang mencerminkan tahap kreativiti, inovasi dan komitmen yang tinggi dalam menyediakan pengalaman terbaik kepada pengunjung sepanjang PBAKL 2026.
PBAKL 2026 sekali lagi membuktikan peranannya sebagai platform utama pembangunan industri perbukuan negara dan medium penting dalam memperkukuh budaya membaca, memperluas akses kepada ilmu dan memartabatkan ekosistem penerbitan negara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, YBhg. Datuk Wan Hashim Wan Rahim; Penasihat JawatanKuasa Pengelola PBAKL 2026, YBrs. Tuan Haji Mohd Khair Ngadiron; Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, YBhg. Datuk Dr. Hazami Jahari; dan para penggiat industri buku negara.